
Patek Philippe mengembalikan semula komitmen berterusannya terhadap nilai perkhidmatan dengan pembukaan semula Pusat Servis yang berlokasi di Singapura. Ia bergerak sebagai pusat penyelenggaraan dan pemulihan jam tangan di seluruh rantau Asia.
Sebagai Manufacture Genevan tertua dan satu-satunya yang kekal bebas serta dimiliki oleh keluarga, Patek Philippe percaya perkhidmatan sebagai tonggak utama identitinya — satu komitmen yang dihargai setara dengan savoir-faire dalam penciptaan jam tangan baru sejak 1839.
Oleh itu, setiap hubungan yang terjalin dengan para pelanggannya berlandaskan satu janji berpanjangan iaitu untuk menjaga setiap jam tangan yang pernah dihasilkannya, serta menyelenggara, membaiki dan memulihkan setiap jam tangan Patek Philippe.
Janji yang diikat ini terus menjadi asas falsafah pembuatan bagi memastikan setiap jam tangan mengekalkan ketepatan, keaslian penciptaan dan nilai sentimental yang bernadi buat generasi akan datang.
Dengan keluasan keseluruhan 8,193 kaki persegi, Pusat Servis yang diperbaharui ini dicipta bagi memastikan kemudahan yang dipertingkatkan, direka untuk memberi pengalaman terbaik perkhidmatan serta persekitaran kerja yang sihat untuk para artisan.
Selain bengkel teknikal, premis yang diperluaskan ini turut menampilkan ruang khusus untuk pelanggan, termasuk dua ruang istirahat yang elegan bagi sesi tayangan istimewa jam tangan, pembentangan khusus dan demonstrasi interaktif oleh pakar jam tangan Patek Philippe.
Bengkel ini, yang dipertingkatkan melalui susun atur baharu, mengekalkan empat stesen terasnya: Essential Maintenance, Movement Intervention, Case Intervention, and Final Control. Ia sekali gus memastikan setiap peringkat perkhidmatan dilaksanakan dengan ketepatan dan penuh ketelitian.
Penggunaan ruang telah dioptimumkan bagi mengintegrasikan peralatan terkini, peningkatan ergonomik, serta menyokong kecekapan aliran kerja para artisan. Pusat Servis ini menempatkan pasukan Perkhidmatan Pelanggan seramai 33 orang, termasuk 16 pembuat jam yang masing-masing menyumbang kepada penjagaan menyeluruh setiap jam tangan yang diamanahkan kepada mereka.
Deepa Chatrath, Pengarah Urusan, Patek Philippe Asia Tenggara berkata "Sebagai sebuah perusahaan milik keluarga, kami berbesar hati dapat menemani para pelanggan kami sepanjang perjalanan seumur hidup mereka bersama Patek Philippe."
Dia menambah “Pembukaan semula Pusat Servis kami di Singapura memperbaharui janji tersebut — untuk menjaga setiap jam tangan, dan setiap kisah yang terkandung di dalamnya, dengan dedikasi dan kepakaran yang sama seperti yang mentakrifkan ketukangan kami. Setiap jam tangan, sama ada yang baru diperoleh atau diwariskan merentasi generasi, terus dihargai dan dipelihara dengan penuh penghormatan.”
