Langgan

Ulasan Filem: Rangga & Cinta

Kelahiran Semula Rangga & Cinta
2 minit untuk membaca
Published: November 7, 2025
El Putra dan Leya Princy pemeran utama Rangga & Cinta

Ada Apa Dengan Cinta? Benar-benar mengubah landskap perfileman Indonesia yang pernah lumpuh seketika sebelumnya kembali dengan harapan besar bahawa generasi pelapis perfileman dengan pendidikan formal dan praktis. 

Lebih dua dekad mengepungi perasaan, membentuk pemikiran dan mengikat penonton dengan lagu-lagu malar segar Mellly Goeslaw, nadinya bersambung dengan penceritaan baru, segar dan berganti generasi.

Rangga & Cinta arahan pengarah prolifik Riri Riza membawakan ramuan serupa dengan sedikit kesegaran penceritaan, kata bual dan tentu sekali wajah-wajah baru yang melatari filem ini.

Dengan sebuah pengalaman filem muzikal, drama dan cinta – ia kekal pada latar masa, tempat dan perwatakan yang dekat dengan kita sebagai penonton Ada Apa Dengan Cinta?.

Pesona Rangga & Cinta

Kali ini dua watak utamanya berganti persona. El Putra dan Leya Princy mengepalai dua perwatakan yang cukup kita kenal dengan sebaiknya. Saya harus benar memuji lakonan Leya Princy kerana dia benar-benar menghidupkan watak Cinta dengan begitu cemerlang tanpa perlu dibandingkan dengan Dian Sastrowardoyo. 

Pengucapannya sangat baik, begitu juga bahasa tubuh, stail dan presence di layar perak cukup kuat dalam memberi pentafsiran baru watak Cinta.Hal ini sebetulnya benar-benar membantu filem ini bergerak dengan cukup kuat kerana jika mahu berdasar jalan ceritanya, kita semua sudah tahu dan faham akan kesudahannya.

El Putra punya potensi namun masih banyak ruang untuk diperbaiki. Lakonannya ada ketika terasa tidak begitu natural dan terlihat terlalu dibentuk berbanding Leya Princy yang lebih natural. Namun dia masih punya pesona layar yang mampu membuatkan kita mahu mengenal siapa Rangga yang baru ini.

Alur Cerita

Yang memberikan rasa baru dalam filem reboot ini Adalah elemen muzikalnya. Tidak keterlaluan dan mendominasi keseluruhan filem tetapi ia dihadirkan pada saat ia benar-benar diperlukan. Riri Riza bijak dalam menyusun plot dan menjaga tempo filem ini agar ia tidak terasa kosong.

Penceritaan sama ada diisi dengan babak-babak penting yang diolah semula mengikut relevan perwatakan dan latar. Arahan seni filem ini kemas dan menepati setiap babak yang disusun. Tidak dibuat keterlaluan hanya kerana mahu menyerlah tetapi cukup untuk melengkapi kehendak skrip dan lakon layarnya.

Kelahiran semula Rangga & Cinta

Rangga & Cinta dihasilkan sebagai sebuah filem yang sederhana. Biarpun ia dibarisi pelakon generasi baru tetapi saya kira ia tidak dibuat untuk generasi kini kerana berdasarkan latar masa dan budayanya ia masih terikat di era 2000. Jadi ia jelas dibikin untuk generasi penonton Ada Apa Dengan Cinta?. 

Jika anda mencari sesuatu yang terlalu berbeza filem ini tidak menawarkan itu. Keseluruhannya ia sebuah hasil yang menyenangkan namun ia bukanlah karya yang akan meninggalkan kesan untuk generasi hari ini kenang sehingga dua dekad mendatang. 

ADVERTISEMENT
ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down