Langgan

Lelaki Yang Menghidupkan Semula Schiaparelli

The Man Who Brought Schiaparelli Back To Life
6 minit untuk membaca
Published: October 30, 2025

Menghilang dari radar selama 60 tahun, rumah fesyen asal Paris yang terkenal dengan rekaan surreal ini kembali bernyawa dengan sentuhan daripada Pengarah Kreatif, Daniel Roseberry.

Masa seolah terhenti, persis sebuah muzium di dalam bangunan Schiaparelli yang berlokasi di 21 Place Vendôme, Paris. Mengisi segenap ruang bangunan neo-classical ini adalah karya seni, artifak dan koleksi arkib milik pengasasnya, Elsa Schiaparelli sejak 100 tahun lalu. Antara yang tidak ternilai harganya termasuk lukisan asli oleh Salvador Dalí, karya seni pemberian daripada Marcel Vertès serta bekas abu rokok keemasan yang digunakan klien kala mencuba gaun satu ketika dahulu.

Elsa Schiaparelli
Elsa Schiaparelli (Photo by Atelier Dorvyne/ullstein bild via Getty Images)

Di aras kedua pula terletaknya couture salon, tidak tersentuh sejak era Elsa Schiaparelli lagi. Berdiri di tengah segalanya adalah pengarah kreatif baharu, Daniel Roseberry yang kelihatan moden penuh kontra dengan keadaan sekeliling, hanya memakai seluar denim Carhartt, kemeja-t, topi baseball dan kasut biasa sahaja. 

Lelaki ini yang telah mentransformasi dan menghidupkan semula, lantas menjadi sebuah rumah couture moden hari ini. Dia juga di sebalik rekaan yang menjadi rebutan Beyoncé, Ariana Grande dan Doechii. Atau, menurut Pengarah Pembelian Fesyen di Harrods, Simon Longland, dia yang merubah Schiaparelli kepada ‘bukan hanya sebuah jenama, tetapi satu manifesto visual’.

Misi 'Schiapi-fied' Daniel Roseberry

Kini, seperti yang diterangkan sendiri oleh Daniel, keutamaannya adalah kelangsungan bisnes. Inilah jawapan utama mengapa sejak saat dia menyertai pada 2019, dia melipat gandakan penghasilan aksesori dan rangkaian sedia-pakai. Melangkau sempadan dari hanya tertumpu kepada rekaan couture semata-mata. Tahun ini, Schiaparelli melancarkan Soufflé, beg tangan hero terbaharu yang di-‘Schiapi-fied’ dengan perkasasan anatomi emas.

“Saya mahu pastikan ia kelihatan mudah untuk dibezakan, tetapi masih cukup mewah menggayakan rekaan couture,” kongsinya mengenai koleksi pakaian sedia-pakai dan aksesori. “Saya hanya mahu ia menjadi idaman buat wanita-wanita paling cool dalam kehidupan saya. Itulah tujuan saya menghasilkannya.”

Mission accomplished. Pengarah Fesyen di Bergdorf Goodman, Linda Fardo berkongsi kepada Daniel yang kliennya tidak membeli Schiaparelli. Mereka mengumpul Schiaparelli. Dia tidak menyaksikan ini sejak era Karl Lagerfeld di Chanel. Di Harrods di kota London pula, Schiaparelli merupakan adalah lima jenama yang menerima permintaan tertinggi. Sehinggakan, mereka menggandakan ruang pameran tiba musim panas kali ini.

“Apa yang berjaya dilakukan oleh Daniel tidak ramai pengarah kreatif mampu melakukan, dia menghasilkan perbendaharaan yang terasa kuno dan tentunya now. Hasil rekaan yang berani, dari segi teknikal kepada emosi, dan sentiasa diperhalusi dengan naratif. Dia memahami kemewahan hari ini tidak hanya melalui fabrikasi, tetapi mengenai makna,” tambah Simon. “Apa yang lebih menarik adalah melihat gelagat klien. Mereka tidak hanya membeli jaket atau beg tangan - mereka kembali untuk visi yang menyeluruh.”

Daniel Roseberry
Daniel Roseberry (Photography by Antoine Doyen)

Schiaparelli Sebelum Daniel Roseberry

Sebelum Daniel menyertai rumah fesyen ini, nama Schiaparelli tidak lagi bergema di luar arena fesyen. Elsa Schiaparelli atau lebih terkenal dipanggil Schiap mengasaskan rumah fesyennya pada 1927, lantas mengubah lanskap fesyen awal abad ke-20 dengan desain pakaian dan himpunan couture surrealist yang berani dan mengejutkan! Seperti gaun tengkorak ikonik yang menampilkan sangkar rusuk tiga-dimensi. Beliau adalah seorang wanita yang sentiasa memandang ke masa hadapan, memperkenalkan pementasan koleksi bertema (pertama untuk jenama fesyen Paris), melancarkan kolaborasi bersama artis seni seperti Salvador Dali dan Man Ray, serta mempunyai rangkaian haruman yang cukup berjaya.

Malah, Coco Chanel yang merupakan pesaing rapat pernah menggelarnya sebagai ‘that Italian artist who makes dresses.’ Tetapi selepas Perang Dunia Kedua, lanskap fesyen mula berubah dan Schiaparelli menutup pintu buat kali terakhir pada 1954, hilang dari radar buat selamanya. Sehinggalah usahawan fesyen, Diego Della Valle membeli jenama itu pada 2006 dan menghidupkan semula sebagai rumah couture selepas 60 tahun. 

Darah Kreatif Daniel Roseberry

Daniel tidak mengenali jenama ini dengan mendalam ketika mengambil alih kerusi pengarah kreatif selepas sedekad bersama Thom Browne, di mana dia telah meniti tangga karier sehingga bergelar pengarah desain. “Ketika di sekolah fesyen, saya masih  ingat akan satu persembahan slaid, dan menyaksikan gaun tulang dan gaun udang karang itu. Dan saya seperti, love the bone dress. Gaun udang karang itu pula… saya tidak menyukainya sama sekali,” kongsikan sambil tersenyum. “Tetapi saya sedar Elsa telah mengubah fesyen. Dan saya tidak akan menyatakan tidak kepada peluang ini.” Namun, apabila menyertai label yang sarat warisan sejarah dan kod rekaan yang kompleks dengan membawa perspektif segar, ia menghidupkan sesuatu yang luar biasa. Seperti Elsa, ia telah melahirkan seorang artis yang sebenar.

Kreativiti mengalir deras di dalam darah. Ibunya, kedua-dua nenek serta dua daripada bapa saudara dan adiknya sendiri, kesemuanya merupakan artis. Dia dibesarkan bersama karya seni yang dihasilkan oleh keluarga. “Asas kepada segalanya yang saya lakukan lebih dipengaruhi oleh seni berbanding fesyen, dan ini disebabkan oleh cara saya dibesarkan,” jelasnya. Ketika membesar, dia bercita-cita untuk menjadi seorang juru animasi di Disney. Apabila meningkat remaja pula, idea fesyen itu mula menyelinap ke dalam diri. Selepas tamat pengajian di sekolah menengah, dia menjadi seorang mubaligh Kristian selama setahun dan hampir menyertai seminari.

Namun, kilauan cahaya terang kota New York mula menyinari dan dia bertekad untuk berhijrah ke ibu kota fesyen Amerika Syarikat itu. “Thankfully,” ujarnya sambil ketawa. New York membuka 1001 peluang buat Daniel. “Ia adalah lokasi saya menjadikan seorang manusia. New York membuat saya dewasa.” Dia menuntut di sekolah fesyen, tetapi berundur awal selepas terpilih sebagai pelatih amali bersama pereka fesyen yang semakin meningkat naik, Thom Browne. Dari situ, dia tidak berpaling ke belakang. Walau bagaimanapun, 10 tahun di dalam industri fesyen New York yang pantas telah memberikan kesan kepada dirinya. Dia membuat keputusan untuk berhenti. Bersedia untuk keluar dari dunia fesyen, Schiaparelli pula bertanya khabar. 

"I Have To Do This." - Daniel Roseberry

Di atas kertas, Daniel bukanlah pilihan yang ‘tepat’ untuk mengambil alih rumah fesyen ini. Seorang rakyat Amerika Syarikat yang tidak boleh bertutur dalam bahasa Perancis. Malah, pereka fesyen yang tidak pernah mereka koleksi couture. Tetapi, Diego Della Valle percaya kepada potensi miliknya. Dalam masa yang sama, ia juga adalah satu risiko yang besar buat Daniel. Walaupun dibekalkan dengan segalanya, dari sejarah kepada kemewahan arkib, menghidupkan semula jenama warisan jarang sekali akan berjaya. Lebih sukar untuk membuat jenama lama menjadi relevan berbanding memulakan sesuatu yang baharu. Walau bagaimanapun, dia tidak mudah menyerah. Dia merasakan ini adalah laluan yang tepat yang dia harus lalui. “I have to do this”.

Nekad melawan segala kemungkinan, dia berjaya. Bukan hanya berjaya, ianya lebih daripada itu. Tanpa pengiklanan berbayar, beroperasi dalam kesempitan wang jika dibandingkan dengan rumah couture gergasi seperti Dior dan Chanel, dan hanya mempunyai sebuah butik di Place Vendôme. Dia berjaya menjulang nama Schiaparelli sebagai antara yang ditunggu-tunggu dalam jadual Minggu Fesyen Paris, serta menjadi jenama impian di acara karpet merah. Bahkan, Schiaparelli berjaya membanjiri ruang digital terutama di laman Instagram selepas acara yang diserikan dengan selebriti ternama. Pementasan debut di Paris Couture Week (dan momen karpet merah yang menyusul kemudian) menghembuskan nafas kesegaran. Menurut sejarah, couture adalah sesuatu yang senantiasa eksklusif, mewah dan tertutup kepada umum. Tetapi, Schiaparelli dan Daniel Roseberry mengubah couture menjadi perbualan budaya. 

Kylie Jenner Dan Kepala Singa

Kes 1: Gaun mencuri pandangan yang dipakai oleh Lady Gaga ketika majlis mengangkat sumpah Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden pada 2021. 

Kes 2: Gaun tular dengan replika kepala singa yang digayakan Kylie Jenner ketika pementasan couture musim bunga 2023. Penuh kontroversi, ia mendominasi media sepanjang minggu. 

Kes 3: ‘Robot Baby’ yang diinspirasikan daripada makhluk asing yang membuat debut pada pementasan couture musim bunga 2024. 

Kes 4: Rekaan velvet dan tulle bersama skirt peek-a-boo yang digayakan Cynthia Erivo ketika acara tayangan perdana filem ‘Wicked’ di London. 

Daniel turut menyedari perubahan vibe yang ketara selepas pertunjukan koleksi pertamanya. “Ketika saya bermula pada 2019, tiada apa-apa yang menarik dalam dunia couture,” bilangnya. “Saya percaya sesuatu telah berubah sejak koleksi pertama saya, kerana sebelum itu cool-girl glam masih belum wujud. Couture terlalu selamat, dan ramai yang menyatakan acara karpet merah pula semakin membosankan. Kini, ramai pula yang merasakan ia menjadi terlalu viral,” tambahnya lagi. 

Pada setiap gaun singa dan robot baby, hadir juga momen yang lebih konservatif dan pada masa yang sama masih berkuasa. Seperti kala Michelle Obama memilih Schiaparelli untuk hadir ke American Portrait Gala, atau Jill Biden memakai semula sut rekaan khas untuk menghadiri acara pengebumian Pope awal tahun lalu. Spektrum sarat emosi jenama seperti ini yang cukup membanggakan diri Daniel. “Saya suka yang Elsa adalah seorang challenger dan beliau mempunyai sisi humor. Itulah juga yang saya akan teruskan,” kongsinya. Salvador Dalí pernah berkata, “Tiada siapa tahu bagaimana untuk menyebut Schiaparelli, tapi semua tahu apa maksudnya.” 

Teks: Tamison O’Oconnor

Foto: Getty Images & Launchmetrics Spotlight

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down