Trend old money tidak pernah pudar pesonanya. Ia melambangkan keanggunan abadi, gaya klasik yang lahir daripada dunia mereka yang berstatus, namun tetap memancarkan kesederhanaan yang menawan. Dalam era moden ini, estetika old money kembali mencuri perhatian generasi muda. Bukan sekadar pada fesyen dan potongan pakaian, tetapi turut meresap ke dalam dunia kecantikan. Daripada pilihan solekan yang lembut dan teratur, haruman yang halus namun berkesan, hinggalah kepada rutin penjagaan diri yang penuh disiplin, semuanya memancarkan definisi keanggunan tanpa berlebih.

Hari ini, tumpuan saya adalah pada sesuatu yang lebih halus, tetapi tidak kurang pentingnya, haruman. Bagi saya, aroma bukan sekadar aksesori, tetapi identiti yang melekat pada setiap langkah dan kehadiran. Setiap pilihan bauan mencerminkan sisi diri. Ada yang gemar akan nota manis, pedas berherba, oud yang mewah, sitrus yang segar atau juga bedak yang lembut dan bersih. Namun persoalannya, apabila kita berbicara tentang old money, aroma bagaimanakah yang benar-benar menghidupkan jiwa keanggunan itu?
Bagi saya, haruman old money adalah aroma yang berbisik lembut tentang kemewahan. Ia tidak menjerit untuk menarik perhatian, namun hadir secukupnya. Hanya beberapa semburan sudah mampu meninggalkan jejak memori pada ruang yang dilalui. Cukup untuk membuatkan seseorang berpaling semula, tertanya-tanya dari mana datangnya pesona itu dan pada saat itu, aroma tersebut telah pun berbicara tentang cita rasa mewah si pemakai tanpa perlukan kata-kata.
Haruman sebegini biasanya hadir dalam nota yang tenang dan seimbang, tidak terlalu tajam, tidak terlalu manis. Ia sering berinspirasikan keharuman bunga iris atau kayu sandalwood yang hangat, berbanding oud yang kuat dan dramatik. Dibalut dalam kelalang minimalis dengan rekaan yang bersih, setiap titisan membawa kisah dan warisan tersendiri. Satu pernyataan tentang legasi, bukan sekadar wangian yang ‘menjual’ nota-nota klise. Inilah haruman yang wajar anda cari, haruman yang memancarkan kemewahan tanpa perlu menunjuk.
Haruman Old Money Terbaik Pilihan Pengarah Kecantikan ELLE

Ormond Jayne Vetiveria EDP, RM1250/88ml
Nota vetiver sendiri sudah menjadi salah satu elemen utama yang membangkitkan aura old money. Ia menghadirkan rasa elegan melalui gabungan aroma kehijauan dan kayu-kayan yang halus, memancarkan kemewahan yang tenang dan berakar pada keaslian. Kompleks tetapi menawan, vetiver membawa dimensi smoky yang lembut, sedikit leathery dengan suntikan sitrus dan floral yang seimbang. Hasilnya, satu komposisi yang versatil, cukup sofistikated untuk lelaki, namun tetap mempesona pada wanita.
Vetiveria, haruman terbaharu daripada Ormonde Jayne, menzahirkan sisi segar dan ringan daripada nota klasik ini. Ia dibuka dengan percikan Sicilian lime, snowbell dan juniper berry yang memberikan kejelasan aroma, sebelum berpadu indah dengan lapisan vetiver, Timur pepper dan verdant moss di dasar. Keseluruhannya menghasilkan bauan yang moden, halus dan berdisiplin.

Chloé Atelier des Fleurs Santalum, RM1100/50ml
Sandalwood antara nota ikonik yang sering dikaitkan dengan aura old money. Popular dan digemari oleh para pakar haruman, nota ini menghadirkan kehangatan yang selesa, lembut dan sedikit berlemak, aroma kayu-kayuan yang seolah memeluk kulit dengan keanggunan semula jadi. Ia juga menjadi asas klasik yang kekal sepanjang masa, terkenal dengan daya tahan dan kehalusannya yang abadi.
Keistimewaan sandalwood terletak pada versatilitinya. Ia mudah berpadu dengan pelbagai nota lain seperti vanila, amber, rempah, dan kayu-kayuan, menjadikannya asas yang sempurna untuk ciptaan haruman mewah. Salah satu interpretasi terindah terhadap nota ini dapat dilihat dalam Chloé Atelier des Fleurs Santalum. Dicipta oleh Marypierre Julien, haruman ini diinspirasikan daripada kipas sandalwood yang dibawa pulang oleh neneknya dari Australia, aroma lembut yang sentiasa diingatinya setiap kali kipas itu dilibas, mewangikan seluruh ruang.
Aroma yang dihadirkan oleh Santalum ini menyingkap keindahan yang tenang, manis tanpa berlebihan, lembut tanpa kehilangan karakter, dan timeless dalam setiap semburan. Ia adalah bentuk keanggunan yang tidak perlu dijelaskan, hanya dirasai.

BDK Parfums Impadia, RM1085,100ml
Bergamot dan rose antara dua aroma klasik yang sering dikaitkan dengan dunia old money, satu simbol keanggunan yang halus dan abadi. Bergamot, yang berasal daripada keluarga buah oren, memiliki karakter segar dengan rasa masam dan sedikit pahit. Meskipun jarang dinikmati sebagai buah, kulitnya telah lama menjadi sumber minyak pati bernilai tinggi. Sejak dahulu lagi, ekstrak bergamot sering dikaitkan dengan aroma Earl Grey Tea yang ikonik, elegan, tenang dan penuh tradisi.
Sementara itu, rose kekal sebagai ratu segala bunga, lambang kemewahan dan keanggunan sejati. Aromanya menghadirkan kesegaran yang lembut namun berkarakter feminin, bersih dan romantis. Ia adalah nota yang timeless, memancarkan keindahan yang tidak berlebihan tetapi cukup untuk meninggalkan kesan mendalam. Setiap semburan berasaskan mawar seakan membisikkan pesona klasik yang tidak pernah lapuk.
Semuanya diadun sempurna dalam BDK Parfums Impadia, haruman yang menghadirkan interpretasi moden terhadap keanggunan klasik. Sejurus semburan pertama, aromanya memikat, pada pandangan saya, ia satu floral fruity gourmand yang mewah, menggoda namun tetap berdisiplin. Komposisinya bermula dengan nota Bergamot, Mandarin dan Pear, diikuti oleh lapisan Bulgarian Rose, Turkish Rose serta African Orange Flower. Keseluruhannya disempurnakan dengan kehangatan Akigalawood, Vanilla Absolute dan Sandalwood di dasar.
Hasilnya haruman old money mengikut persepsi saya adalah sebuah haruman yang mencipta kenangan, aroma yang membuatkan setiap langkah diingati, setiap kehadiran dirasai. Sebuah wangian yang mendefinisikan elegan sebenar, tenang, berkelas dan abadi.
