Menitik perjalanan yang serasa seperti tiada berlabuh di minggu fesyen Milan, seturut dengan ‘cucukan’ rasa dingin awal pagi hari Khamis di Palazzo del Ghiaccio tidak menghitamkan jurnal fesyen kami dalam menghayati himpunan Ian Griffiths untuk Max Mara musim bunga/panas 2026. Sebaik menjebak kaki ke arena acara, terlihat representasi Malaysia, Eyka Farhana dan Ameera Khan tersisip di antara kepadatan undangan-undangan yang hadir bersama. Faye Peraya pula datang menyusul, lalu kedengaran pekikan peminat-peminatnya di luar.

Max Mara Musim Bunga/Panas 2026, mengilhamkan era Rococo
Astaka serba putih seakan ‘putih kinantan’ menyimbah seluruh parterre Palazzo del Ghiaccio. Ia mengisi inti makna pentas Max Mara musim bunga/panas 2026, yang menyemak era Rococo sebagai tunjang inspirasi. Ian Griffiths kali ini menulis rencana silam untuk himpunannya dan dipandu dengan satu perspektif moden imaginatif. Look pertama yang terlihat adalah sehelai kot trench bercantuman dengan lengan baju ‘beropol’ kedutan ‘tidak sekata’ yang secara halus menjentik akal budi audiens tentang jurusan era Rococo Max Mara.
Mengapa darjah Rococo dijulang? Mengubati ingatan kita kepada era yang menghargai seni dan budaya? Bikin kening kita berkerut-kerut memikirkan sosok Madame de Pompadour? Barangkali, ya. Sejujurnya, himpunan Max Mara dengan tunjang inspirasi ini tidaklah sukar dimengertikan oleh cerapan. Sungguhpun, isian dukungan gagasan tersebut dipadukan secara tidak terlalu literal.
Apa yang nyata, keharmonian rekaan-rekaan Max Mara banyak bersendikan aspek tailoring kemas - kot trench yang diperbaharui rupanya, blazer serta sut yang dipertingkatkan nada rekaannya. Lantas, menyerlahkan logik dimensi Max Mara yang peduli pada perbezaan isme dalam memerihalkan inspirasi musim ini.
Tafsiran rekaan-rekaan Ian berlanjutan ke siluet sarat kuntuman yang memimik bentuk daun atau korola bunga pada jaket serta skirt mini, skirt-skirt pensil penuh motif floral dan tekstur merupa ‘bertih jagung’. Aksesori-aksesori yang menjadi penyempurna gaya Max Mara adalah cekak kepala elastik dan tali pinggang elastik yang melilit midrif.
Idea ini membentuk penglahiran ekspresi kontra yang menjadi matlamat Max Mara. Ia bukan satu anekdot, sebaliknya ia adalah visual khayalan Max Mara. Membayangkan era Rococo moden dan berpaut pada kata kunci “as if”. Seolah-olah wanita-wanita era Rococo ini memecah tradisi, mengomposisikan aturan gaya kontemporari untuk mereka. Membarui mereka.
Malah, look yang digayakan oleh Alex Consani sewaktu menoktahi pentas, dia memanifestasikan drama, menyedarkan kita kepada kualiti mewah wanita era Rococo terutamanya Madame de Pompadour - kecirian estetika yang signifikan dengan era Rococo.
Keutuhan ceritera nostalgia moden ini berbetulan pula dengan nukilan kata penulis Novala Takemoto yang menjadi prinsip utama. Novala menegaskan gambaran era Rococo yang mengutamakan keanggunan serta fantasi, yang mengungguli konvensional dan moral. “Semangat punk rock dan anarkisme mengatasi mana-mana falsafah,” seperti yang tertulis dalam nota pertunjukannya.
















