ELLE terbang ke Seoul, Korea Selatan dalam meraikan pelancaran koleksi UNIQLO : C untuk musim luruh/dingin 2025 dan berpeluang menemu bual Pengarah Kreatif UNIQLO, Clare Waight Keller di sana.

Sejak diperkenalkan pada musim luruh/dingin 2023, UNIQLO : C semakin mendapat perhatian sebagai salah satu koleksi UNIQLO yang paling dinanti-nantikan. Kini memasuki musim kelima, Pengarah Kreatif UNIQLO, Clare Waight Keller terus memperkembangkan estetika koleksi ini dengan keanggunan klasik yang digayakan dengan mudah untuk pemakaian harian.
Bertemakan ‘Modernity in Motion’, koleksi ini terus memperluas rekaan-rekaan kegemaran ramai. Ikuti temu bual eksklusif ELLE bersama Pengarah Kreatif UNIQLO, Clare Waight Keller:
Apakah yang menginspirasikan anda dalam penciptaan koleksi kali ini?
Saya bermula dengan melihat fabrik tweed klasik dari England. Ada beberapa fabrik vintaj yang mempunyai warna-warna cantik, dan itu benar-benar menginspirasikan palet warna kali ini. Saya suka mengolah semula tona itu menjadi fabrik moden dan bersih. Saya juga suka membayangkan koleksi ini dalam gerakan. Jadi bagi saya, pakaian mesti praktikal, tetapi tetap bergaya dan cantik.
Bagaimana anda menyatukan tiga elemen utama iaitu estetika, fungsi, dan material dalam koleksi UNIQLO : C?
Segala yang UNIQLO lakukan ada unsur prestasi dan fungsi. Peranan saya adalah membawakan sense of style. Dahulu, saya fikir UNIQLO hanya tentang item asas seperti kemeja-t. Tapi dengan UNIQLO : C, saya membayangkannya sebagai satu ‘total look’. Saya melihat bagaimana helaian lama boleh dipadankan dengan yang baharu, malah merentas musim.

Jika perlu memilih satu rekaan daripada koleksi ini untuk dipakai berulang-kali, yang mana pilihan anda?
Kemeja berleher tinggi musim ini. Proporsinya sangat cantik. Saya memakainya seharian semalam dan ia rasa segar, ringan dan mudah. Diperbuat daripada kapas halus yang selesa walaupun dalam cuaca panas dan lembap. Ia seperti memakai kemeja-t tetapi tampil chic.
Ini koleksi kelima anda bersama UNIQLO : C. Bagaimana pendekatan anda berkembang sejak bermula?
Pada awalnya hanya ada koleksi wanita. Sejak September lalu, kami menambah koleksi untuk lelaki juga. Kini, saya lihat ramai yang ‘cross-shopping’ – lelaki membeli helaian wanita, wanita membeli helaian lelaki. Jadi saya semakin bergerak ke arah rekaan uniseks, dengan lebih banyak fluidity dalam helaian masa depan.
Anda banyak bercakap tentang pergerakan dan kerap juga melancong. Bagaimana kembara mempengaruhi interpretasi fesyen anda?
Cepat dan perlahan. Perlahan dalam kerja fabrik, kerana ia memakan masa. Cepat bila idea perlu ke pasaran. Hidup saya sentiasa bergerak, jadi saya fikir tentang praktikaliti setiap hari: fabrik, potongan, dan rasa di badan. Saya perlukan pakaian yang boleh saya bawa dalam beg, sesuai untuk kerja siang dan acara malam. Fluidity penting kerana saya tidak mahu rasa terikat.

Latar belakang anda dari fesyen mewah. Bagaimana anda seimbangkan estetika itu dengan UNIQLO?
Bagi saya, prosesnya tidak banyak berubah. Cuma kini ia lebih mudah diakses. Dahulu, koleksi pentas peragaan adalah tentang imej dan pemasaran, dengan siluet besar dan dramatik. Di UNIQLO, saya menapis pengalaman itu menjadi sesuatu yang boleh dipakai semua orang. Misalnya, elemen lisu yang saya banyak guna di Chloé dan Givenchy — kini saya boleh bawa ke UNIQLO dalam bentuk yang lebih mudah dipakai. Setiap musim saya lihat semula helaian dari masa lalu, kemudian menterjemahkannya ke siluet baharu untuk UNIQLO.
Negara Asia kaya dengan fabrik, warna, dan corak tradisional. Apa yang mengagumkan anda?
Setiap kali saya melancong, saya menyerap budaya tempatan. Di Jepun, mereka obses dengan perincian kecil yang kemas. Itu sangat menginspirasikan. Di Seoul pula, saya banyak memerhati gaya jalanan kerana itulah identiti kota ini. Unsur-unsur itu saya bawa sedikit demi sedikit ke dalam koleksi.
Jika koleksi ini ada runut bunyi, lagu apa yang sesuai? Ada artis Britain yang menginspirasikan anda?
Kempen koleksi musim ini dirakamkan di Wembley. Dari sana, anda boleh lihat latar langit kota London. Jadi pasti ada sentuhan Brit Pop untuk runut bunyinya.
Akhir sekali, boleh cerita sedikit tentang kolaborasi dengan Cate Blanchett?
Ia kisah yang panjang. Saya ada sejarah bekerja dengan Cate di Givenchy, kami pernah bekerjasama untuk gaun karpet merah. Pengasas UNIQLO juga pernah bertemu Cate dalam projek kebajikan. Dari situ, idea ini tercetus dan akhirnya kolaborasi ini dapat terlaksana.
