
Seni tekstil dalam budaya Melayu mencerminkan kehalusan kemahiran, ketekunan serta daya cipta masyarakat terdahulu yang diwarisi sejak berzaman. Kepelbagaian bentuk dan motif yang dihasilkan memperlihatkan mutu tekstil yang tinggi, diperkukuh dengan teknik pembuatan halus seperti tenunan, sulaman dan cantingan. Misalnya, kain songket memerlukan proses rumit dalam menyusun ratusan benang sebelum ditenun satu demi satu dengan penuh teliti bagi menghasilkan corak yang cukup menawan. Batik pula hadir dengan pelbagai teknik unik seperti batik blok, batik canting dan batik skrin.
Songket dan Batik terus menjadi simbol tradisi dan biasa dilihat dalam kebanyakan pakaian tradisional mahupun pentas fesyen moden hingga ke hari ini. Sementara realitinya, dunia tekstil Melayu sebenarnya jauh lebih luas dan mendalam. Masih menyimpan seni yang masih belum dikenali, difahami dan dihargai, terutamanya oleh generasi muda. Di negara yang begitu kaya dengan kepelbagaian budaya seperti Malaysia, adalah penting bagi kita untuk mengenali akar warisan kita. Bukan sebagai memori peninggalan dahulu kala, tetapi sebagai sumber inspirasi dan kebanggaan dalam meneruskan legasi peninggalan nenek moyang kita.

Temu bual bersama John Ang, pengumpul tekstil dan Pengarah Samyama
Penemuan bahawa dunia masih kekurangan maklumat tentang tekstil Melayu telah membakar semangat ingin tahu John Ang. Daripada situlah segalanya bermula, lalu tercetuslah sebuah obsesi yang mengubah arah hidupnya. Satu perkara membawa kepada yang lain, dan John mula menelusuri akar sejarah, mengkaji setiap benang warisan, serta mengumpul tekstil-tekstil Melayu demi memahami khazanah agung ini dengan lebih mendalam. ELLE berpeluang berbual bersama figura penting dalam dunia seni tekstil Melayu ini untuk menyelami fikirannya dan mongorek pandangannya.
Daripada ratusan jenis tekstil di Nusantara, apa yang membuatkan tekstil Melayu menonjol dan unik?
Ini sebenarnya bergantung kepada siapa yang melihatnya. Secara umum, tekstil Melayu tidak menonjol. Ia bersifat halus dan sederhana, baik daripada segi corak mahupun warna, persis seperti kelembutan sifat orang Melayu itu sendiri. Saya menggambarkannya sebagai keindahan tersembunyi yang dihasilkan melalui teknik yang sangat mahir. Ia adalah sejenis keindahan yang merendah diri dan tidak mencuba untuk menonjol, namun apabila digunakan dalam jahitan pakaian, ia menghasilkan gaya yang anggun dan sopan. Keanggunan yang tenang itulah, pada pendapat saya, merupakan teras kepada keunikan tekstil Melayu.
Cabaran terbesar dalam usaha memulihara dan mempopularkan tekstil tradisional Melayu hari ini?
Tanggapan bahawa tekstil ini milik masa lalu - bahawa ia sudah lapuk dan tidak lagi relevan. Untuk mengatasi hal ini, kesedaran yang lebih mendalam perlu diwujudkan agar memahami tekstil ini sebenarnya, bersifat timeless. Dengan pendekatan yang tepat, ia boleh diolah semula menjadi gaya klasik yang sesuai untuk pemakaian kontemporari.
Peranan yang boleh dimainkan oleh generasi muda dalam mewarisi dan memelihara seni tekstil ini?
Golongan muda boleh memainkan peranan hanya dengan menggunakan tekstil tradisional dalam apa jua cara yang mereka mampu. Sama ada tali leher daripada songket, jam tangan bermotifkan batik, getah rambut pua kumbu atau juga dengan memadankan seluar batik dengan kebaya sebagai ganti kepada kain sarung tradisional. Malah, menggayakan kebaya dengan seluar denim atau menghasilkan baju kurung denim dan kebaya linen juga merupakan penyesuaian moden terhadap siluet warisan. Inisiatif kecil tetapi kreatif seperti ini mampu memastikan tekstil tradisional Melayu dan fesyen terus kekal relevan dan diwarisi.

Adakah kerajaan memainkan peranan yang mencukupi dalam mendokumentasi dan mempromosikan seni tekstil Melayu?
Saya boleh katakan bahawa peranan kerajaan dalam mempromosikan tekstil Melayu adalah sangat minimum, malah hampir tidak ketara. Kebanyakan promosi yang dijalankan jelas menunjukkan kekurangan pemahaman terhadap apa sebenarnya yang membentuk tekstil Melayu. Namun begitu, terdapat juga usaha yang wajar diberikan penghargaan. Sebagai contoh, promosi terhadap Adiguru (tukang mahir) adalah sesuatu yang terpuji, seperti yang dapat dilihat dalam pameran di Muzium Kraf yang sangat menggagumkan. Walau bagaimanapun, kebanyakan Adiguru ini telah berusia lewat 70-an hingga 90-an, dan malangnya, kita jarang melihat penggiat muda tekstil diketengahkan atau diberikan sokongan pada tahap yang sama. Dalam nada yang lebih membangkitkan harapan, Yayasan Hasanah telah mula menawarkan geran untuk menggalakkan penggiat muda meneruskan seni mereka, terutamanya dalam bidang seperti keringkam, telepuk, songket, limar, pua kumbu, sulaman, tenunan dan anyaman. Ini merupakan satu langkah yang menggalakkan. Langkah ini diharapkan berkembang menjadi usaha yang berterusan dan bermakna untuk ke arah pemeliharaan serta evolusi tekstil Melayu.
Satu mesej kepada rakyat Malaysia mengenai tekstil tradisional kita?
Selongkarlah almari datuk dan nenek anda. Tanya mereka tentang kisah di sebalik tekstil lama yang anda temui. Ini adalah khazanah berharga yang sering menyimpan sejarah keluarga. Dan jika berpeluang, lawatilah pameran tekstil Melayu. Anda pasti akan terkejut dengan betapa banyak yang boleh dipelajari hanya dengan melihat dan menyentuh tekstil yang sebenar.
