
Satu usahama dijalin antara tiga badan besar bagi memartabatkan seni dan budaya di kalangan masyarakat. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur baru-baru ini memeterai satu memorandum bersama Istana Budaya dan Malaysia Philharmonic Orchestra (MPO) dalam rencana besar tahun ini iaitu Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL).
Festival dilaksanakan tidak hanya sekadar mahu memperkasakan pembangunan bakat muzik di kalangan anak muda tetapi juga turut menggalakkan penyertaan aktif masyarakat dalam kegiatan seni budaya yang inklusif, memberi impak dan bertaraf antarabangsa.
Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur dalam ucapannya, "FOKL bukan sekadar program persembahan muzik, sebaliknya ia juga menjadi platform pembangunan ekosistem seni dan budaya melalui penglibatan para pelajar yang terpilih." Menerusi acara ini DBKL turut menjalin kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra bagi membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur sebagai satu lagi usaha membina potensi generasi muda.
Acara ini turut disertakan dengan forum khas Orchestra Festival Forum yang menjadi ruang perkongsian ilmu, kepakaran dan pengalaman bagi membina ekosistem orkestra yang kukuh di Malaysia. Kerjasama dengan MPO dan Istana Budaya ini juga memperkukuh peranan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa menerusi komitmen ASEAN dan juga sebagai persiapan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
Melalui penglibatan aktif dalam program berfokuskan ASEAN seperti MGMAC, ASUF dan AGMF, Kuala Lumpur akan terus dikenali sebagai pintu masuk bagi budaya dan seni serantau. FOKL pula akan diteruskan sebagai platform budaya yang menyatupadukan komuniti di seluruh rantau ini.