
Jenama pembuatan jam tangan Swiss, NORQAIN yang mula diperkenalkan pada 2018, meneruskan ilham penciptaan jam tangan dengan penghasilan Freedom 60 Chrono 40mm “Enjoy Life” sebuah interpretasi keceriaan penuh warna dalam penghasilan jam kronograf sukan klasik.
Jam tangan yang penuh warna ini dihasilkan sebagai sebuah dedikasi akan semangat musim panas yang menggembirakan. Ia menjemput pencinta dunia arloji untuk tampil berbeza dengan misi yang ditetapkan "Enjoy Life".
Berlatar ilham musim panas, kempen terbaru Freedom 60 Chrono dilatari penuh keceriaan elemen seperti ais krim gelato dalam rona pastel yang membangkit mood kegembiraan.

Selain menyerlahkan sisi musim panas bagi koleksi ini, jenama NORQAIN mahu memonjolkan dua ciri reka bentuk utama yang menjadi fokus penghasilan koleksi ini. Bagi koleksi pertama, tiga subdial kronograf dipadan dan dipersembahkan dalam rona segar seperti hijau, merah jambu dan biru buat pertama kali.
Ciri khas kedua ada pada penunjuk tarikh 1, 8, 15, 22 dan 29 pada setiap bulan. Paparan tarikh akan menggantikan nombor biasa dengan ilustrasi berbentuk kon ais krim. Memberi definisi keceriaan dan keterujaan berbeza yang menjadi refleksi dalam kehidupan. Kesemuanya yang dihasilkan menerusi koleksi ini memberi sesuatu yang cukup menggirangkan.