
Ketika pentas karpet merah Cannes dipenuhi gaya memukau – secara teorinya, gaya yang ultra elegan, ketat dan minimalis (mengikut kod pakaian yang ditentukan). Apa yang lebih menarik perhatian sebenarnya adalah gaya-gaya yang 'tidak penting', yang tidak mencukupi untuk Montée des Marches. Contohnya, Alba Rohrwacher tampil dengan gaya retro ketika tiba di Lapangan Terbang Nice. Dia mengenakan jaket denim acid-wash dengan sulaman pada kelimnya, kasut sukan denim sepadan dan beg 'IT' dengan pesona bohemian.
Beg bahu gaya hippie-chic yang dikenali sebagai Nellcôte ini diperbuat daripada suede dengan hiasan fringes dan studs – ia ibarat mimpi gypsy dengan tanda Valentino Garavani. Sejak debut pertamanya di pentas Resort 2025, ia terus menjadi kegilaan ramai. Sekali gus menyerlahkan pesona rekaan Alessandro Michele yang berpaksikan khazanah arkib. Beg ini digayakan di atas kot eco-fur-trimmed, bersama pajama, weskot dan turban – satu penghormatan penuh kepada subbudaya yang lahir di Haight-Ashbury, San Francisco.


Di situlah datangnya inspirasi, ledakan tenaga kreatif dan radikal melalui muzik, seni visual dan kesedaran minda yang meluas. Dan, lahirlah gerakan anti-fesyen yang ditakdirkan untuk terus dirai sepanjang zaman.
Mungkin itulah yang menjadikan kempen beg Nellcôte ini terasa seperti sebuah perjalanan merentas masa sambil diiringi alunan gitar elektrik dalam semangat tradisi acid rock yang autentik. Beg disandang secara santai di atas jaket bercorak haiwan yang dipadankan bersama seluar pendek ketat, tubuh pula hanyut dalam nostalgia tarian hula hoop. Seolah-olah seperti berada di padang rumput festival Monterey. Jelas, kempen ini adalah imbasan penuh gaya meliputi kebebasan, kespontanan dan daya tarikan muzik yang abadi.
Bayangkan gaun mini beropol, seluar denim pendek, kemeja grafik berinspirasikan tahun 1960-an, serta baju sejuk kait – kesemuanya mencipta estetika ceria yang menggabungkan keaslian dengan sedikit keberanian.
Beg Dambaan Ramai!
Dalam masa yang sama, kedua-dua siluet beg bahu dan tote berjaya menawan hati ramai termasuklah bintang filem, supermodel, pelakon dan 'IT-girls'. Setiap daripada mereka terpesona dengan sentuhan barat yang dipersembahkan dalam beg rekaan baharu Valentino.


Antaranya termasuk pelakon berbakat Alba Rohrwacher. Seperti yang dinyatakan, dia memilih beg ini untuk melengkapkan penampilannya ketika tiba di Cannes. Alexa Chung pula memilih versi tote, dipadankan dengan jeans dan jaket kulit. Vittoria Ceretti juga memilih gaya tote di Ibiza, lengkap dengan gaya studs yang sepadan dengan fetish suede barunya. Dan sudah tentu, beg Nellcôte ini turut menjadi pilihan dalam almari Bella Hadid! Si gadis moden yang tidak dapat dipisahkan daripada but koboi dan suasana Tex-Mex, di antara gaya boho dan Wild West yang bergaya.
Namun, tempat yang paling sempurna untuk beg Nellcôte ini tetap seperti yang digambarkan menerusi lensa Julie Greve. Di kalangan sekumpulan rakan yang sedang menantikan muzik secara langsung, dalam bingkai yang dipenuhi dengan permainan dan pelukan yang membangkitkan aura fesyen tahun 60-an dan 70-an. Kempen ini menghidupkan semula semangat ketidakpatuhan fesyen pada era itu, yang kini dipersembahkan semula dalam pertunjukan fesyen terbaru Valentino, Le Méta Théâtre Des Intimités.
Artikel diolah daripada ELLE Itali.