Langgan

Kembali Ke Tempat Asal, Gucci Cruise 2026 Mementaskan Kekayaan Sejarah Florence

Gucci is Florence and Florence is Gucci!
2 minit untuk membaca
Published: May 17, 2025

Gucci Cruise 2026 mengirai 1001 rasa. Pangkas mulih ke Florence, bukan sekadar membawa kita bercengkerama. Namun di kota inilah lahirnya jenama Gucci. Mengangkut kita untuk menikmati simfoni kesejarahan Gucci, terbit rasa ingin tahu yang bersangatan tentang keasalan jenama ini. Lagi sekali, Gucci menarung lebih 100 batu dari Milan, merangkul kota Florence menjadi kanvas ilham untuk himpunan Cruise 2026 – menyelongkar apa yang terbuni di kota kelahiran ini, mencungkil seni ketukangan serta budayanya sebagai sendi rekaan.

gucci cruise
Palazzo Settimaanni di Florence

Kota Florence yang seindah maknanya (bermaksud ‘mekar’) mengirimkan kita tautan gerakan masa. Kala lampau, semasa dan merentas ke masa hadapan, yang berpadu sebagai titik keharmonian rekaan-rekaan Gucci Cruise 2026. Ia menyenangkan kita dengan gagasan ekspresi yang pelbagai menerusi pakaian serta aksesori yang terlihat seperti suatu plot revolusi. Gucci memilih lokasi Palazzo Settimanni di Florence untuk mementaskan himpunan Cruise 2026 kali ini. Mengapa Palazzo Settimanni? Kerana seni bina bersejarah ini adalah rumah arkib Gucci dan ideogram terbaik untuk menggambarkan rekaan-rekaan Cruise 2026. 

Gucci menenteng sebakul sejarah untuk dipersembahkan kepada kita. Ia menyerap riwayat Florence, mencorakkan satuan rangkuman gaya minimal sehinggalah yang bersifat maximal. Mendakap erat waktu lampau kota Florence yang menjadi kuasa besar dalam penghasilan fabrik, Gucci tidak alang-alangan dalam bab memilih material untuk rekaan-rekaannya. Broked, jacquard, sutera serta baldu digunakan sebaiknya dengan suntikan mewah, manakala material renda diolah merupa layering, dengan hiasan sulaman strass dan aspek-aspek ini tersusun rapi dalam memerihalkan kaitan dengan sejarah Gucci. 

FLORENCE, ITALY - MAY 15: A model poses backstage at the Gucci Cruise 2026 fashion show at Gucci Archive on May 15, 2025 in Florence, Italy. (Photo by Alena Zakirova/Getty Images for Gucci)
FLORENCE, ITALY - MAY 15: A model poses backstage at the Gucci Cruise 2026 fashion show at Gucci Archive on May 15, 2025 in Florence, Italy. (Photo by Alena Zakirova/Getty Images for Gucci)
FLORENCE, ITALY - MAY 15: A model poses backstage at the Gucci Cruise 2026 fashion show at Gucci Archive on May 15, 2025 in Florence, Italy. (Photo by Alena Zakirova/Getty Images for Gucci)
FLORENCE, ITALY - MAY 15: A model poses backstage at the Gucci Cruise 2026 fashion show at Gucci Archive on May 15, 2025 in Florence, Italy. (Photo by Alena Zakirova/Getty Images for Gucci)

Motif ikonik GG Monogram terihat tidak berantaraan menghiasi himpunan Gucci Cruise 2026 dan grafik tunggal G pula diperbaharui – pada gancu tali pinggang, inlays dan bahagian tumit kasut. Retrospeksi Gucci kali ini juga berlanjutan ke menaruh pengaruh strong shoulders yang sepertikan ilham pola pakaian vintaj, mengusik pojok akal kita untuk meneka-neka ia cedokan fesyen era Renaissance mahupun era 80-an. 

Rangkaian leather goods sudah tentu tidak disampingkan. Betapa pentingnya rangkaian item kulit ini kerana kaitannya dengan nadi permulaan Gucci di kota ini. Ia ditampilkan dengan cantuman ikonisiti Gucci pada item-item yang berteraskan inspirasi arkib Gucci, namun digarap dalam rupa transisi ke reka bentuk baharu serta kelihatan kasual. Beg baharu Gucci Giglio pula muncul sebagai tanda menghormati Florence dan giglio – yakni perkataan Itali yang bermaksud bunga lili yang menjadi simbol utama Florence.

gucci cruise

Tanda penghormatan yang mencucuk ke dalam ingatan dan meraup sekali kepuasan, Gucci mengakhiri pertunjukan Cruise 2026 dengan finale istimewa – menyandiwarakan pertunjukan dengan membenarkan model-modelnya berjalan ke luar piazza, menungkai tapak ke luar jalanan yang seakan-akan memperlihatkan mereka menelusuri masuk ke kota Florence menandakan perjalanan baharu. Gucci is Florence, Florence is Gucci!

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down