LV Crayon, satu koleksi pensel bibir dengan 10 pilihan rona mewah dicipta hasil inspirasi daripada karya seni Pat McGrath
Tahun lalu, dunia kecantikan dikejutkan dengan pengumuman koleksi solekan pertama daripada rumah fesyen ikonik Louis Vuitton. Dengan sentuhan legenda kecantikan, Pat McGrath, selaku Pengarah Kreatif Kosmetik, rangkaian gincu dan palet mata yang diperkenalkan menerima sambutan luar biasa daripada pencinta kecantikan di seluruh dunia.
Tidak terhenti di situ, tahun ini Louis Vuitton sekali lagi berkongsi khabar gembira buat peminat kecantikan menerusi pelancaran LV Crayon, pensel penggaris bibir yang direka sebagai pelengkap sempurna kepada solekan bibir wanita moden. Hadir dengan ketelitian seni dan kemewahan yang menjadi DNA jenama ini, LV Crayon menjanjikan definisi bibir yang lebih sempurna dan sofistikated.

Ini bukan sebarangan pensel bibir, direka cukup mewah oleh Pat McGrath sebagai penghormatan kepada teknik ketepatan yang sering menjadi signatur solekannya setiap kali memperindahkan wajah peragawati pentas peragaan Louis Vuitton setelah hampir dua dekad. LV Crayon telah membuka lembaran baharu buat La Beauté Louis Vuitton. Pensel penggaris bibir pertama seumpamanya ini tampil dengan rekaan hujung yang berinspirasikan monogram ikonik rumah fesyen tersebut.
Dicipta untuk digandingkan bersama koleksi LV Rouge dan LV Baume, LV Crayon berfungsi melengkapkan, menyerlahkan dan memberikan kontras yang sempurna pada setiap solekan bibir. Teksturnya yang ringan, lembut seperti baldu serta diperkaya dengan formula berprestasi tinggi menjadikannya alat solekan presisi terbaik untuk kegunaan sepanjang hari, sekali gus menghasilkan definisi bibir yang lebih berani dan memukau.
“Setiap solekan yang pernah saya hasilkan untuk pentas Louis Vuitton bermula dengan garis bibir. Di situlah ketepatan bertukar menjadi seni. LV Crayon ialah alat kecantikan yang sewajarnya dimiliki oleh setiap wanita. Ia bukan sahaja mudah digunakan, malah cukup elegan untuk digenggam," ujar Pat McGrath, Pengarah Kreatif Kosmetik, La Beauté Louis Vuitton.

LV Crayon hadir dalam 10 rona mewah yang disunting khas, dipadankan dengan perincian sofistikated yang menyerlahkan keanggunan reka bentuknya. Menampilkan bentuk bunga monogram Louis Vuitton yang ikonik, LV Crayon diterjemahkan ke dalam rekaan pensil yang unik dan pertama seumpamanya. Ia direka oleh pereka industri Konstantin Grcic, bentuk ini bukan sahaja meraikan warisan rumah fesyen tersebut, malah memberikan ketepatan dan kawalan yang lebih optimum ketika menyarungkan pensel ini.
Tidak cukup dengan itu, setiap pensel disaluti kemasan kayu hitam pusam bertekstur lembut, setiap batang LV Crayon hadir dengan rasa mewah yang sama seperti mana-mana ciptaan Louis Vuitton. Ergonomiknya yang teliti menjadikan ia selesa digenggam, sekaligus menghadirkan pengalaman solekan yang lebih istimewa.
Setiap pensil menampilkan gradasi warna ombré yang mengalir daripada hujung berkilat kepada badan separa pusam, menjadikan pensel ini bukan sekadar alat solekan tetapi juga sebuah objek seni. Perincian kemasan yang teliti ini mencerminkan formulanya yang unggul, membuktikan bahawa setiap elemen direka dengan penuh kesempurnaan.
Kemewahan berterusan dengan sentuhan akhir yang cukup eksklusif yang hadir menerusi penutup berhias bunga monogram emas, menggemakan motif Monogram Canvas yang menjadi identiti Louis Vuitton, sekali gus melengkapi estetik mewah yang mana turut diperlihatkan pada koleksi LV Rouge.
LV Crayon menawarkan pengalaman solekan bibir yang memanjakan deria menerusi formula pensil bibir yang mewah dan berprestasi tinggi. Teksturnya yang lembut, berkrim dan mudah meluncur pada bibir diperkaya dengan peptida yang membantu menghidupkan semula bibir, sambil memberikan efek bibir yang lebih penuh dan kontur yang lebih terdefinisi. Hasilnya bukan sahaja serta-merta, malah kekal memukau sepanjang hari.
Menurut Pat McGrath, tekstur koleksi terbaru ini adalah sesuatu yang perlu dirasai sendiri,
“Ia menyatu pada bibir seperti lapisan kulit kedua, lembut, halus bak sutera dan luar biasa selesa. Dan yang paling mengagumkan, ia kekal sempurna untuk tempoh yang panjang.”
10 Rona Ikonik untuk Transformasi Bibir Tanpa Batas

Diperkenalkan dalam 10 rona pilihan yang direka untuk memenuhi pelbagai gaya dan ekspresi solekan bibir. Bermula daripada rona nude yang sofistikated dan rosewood yang elegan hinggalah kepada merah ikonik yang berani, setiap warna dipilih dengan penuh ketelitian bagi menawarkan kepelbagaian penampilan yang menyerlahkan personaliti pemakainya.
Rona-rona indah ini terdiri daripada 190 Beige Atlas, 191 Nude Rêverie, 192 Nude Quest, 193 Sépia Panorama, 290 Rose Whisper, 390 Pink Aurora, 490 Plum Comet, 690 Burnt Sienna, 854 Rouge Louis dan 896 Monogram Rouge.
Menurut Pat McGrath lagi, falsafah di sebalik koleksi ini adalah untuk memperkasakan kecantikan semula jadi tanpa menenggelamkannya.
“Saya sentiasa percaya bahawa alat paling berkuasa dalam kit seorang jurusolek adalah yang mampu menyerlahkan kecantikan tanpa menguasainya. Rona LV Crayon dibangunkan berlandaskan prinsip tersebut. Menampilkan pilihan nude dan rosewood yang paling sempurna, disunting dengan ketepatan mutlak, lalu diseimbangkan dengan rona merah Louis Vuitton yang ikonik untuk mencipta dimensi, karakter dan impak yang tidak dijangka.”
LV Crayon turut disertakan dengan rangkaian aksesori eksklusif yang direka sebagai item kekal dalam dunia La Beauté Louis Vuitton. Aksesori tersebut ialah berus pengadun bibir, pengasah juga beauty pouch. Setiap aksesori dihasilkan dengan falsafah yang sama, menggabungkan fungsi, ketelitian seni dan kemewahan abadi. Direka untuk digunakan dan dihargai selama bertahun-tahun, koleksi ini mencerminkan komitmen Louis Vuitton terhadap ketukangan unggul serta objek kecantikan yang melangkaui trend semasa.

