Langgan

Ini Wangian Pencetus Rasa Hangat Bersama Si Dia

Wanita dan wangian sukar untuk dipisahkan, namun setiap wanita punya idea dan aroma berbeza-beza menggambarkan personaliti masing-masing.
2 minit untuk membaca
Published: September 7, 2026

Berbicara tentang haruman, setiap daripada kita sememangnya mempunyai cita rasa yang berbeza. Ada yang gemarkan aroma kelapa yang segar, ada yang obses dengan nota vanila malah ada juga yang lebih menggemari wangian berasaskan herba dan rempah yang memberikan sentuhan yang lebih pedas.

Dalam dunia olfaktori hari ini, eksplorasi haruman juga semakin menarik dan tidak lagi terhad kepada nota bunga atau buah-buahan semata-mata. Kini, wangian hadir dengan inspirasi yang lebih luas. Daripada aroma gourmand hinggalah objek dan elemen di sekeliling kita, menjadikan pengalaman menghidunya sesuatu yang lebih unik dan sukar untuk dijangka.

Jika anda tanyakan kepada saya, aroma yang sering menangkap jiwa sudah tentu nota klasik seperti vanila dan kasturi menjadi pilihan. Baru-baru ini saya menonton sebuah video temu bual bersama Nicole Kidman. Dia memberitahu yang dia cukup menggemari nota Patchouli di dalam harumannya, "I'm a Patchouli girl..."

Cukup menarik kerana tidak semua menggemari aroma tersebut!

Jadi apa pula wangian dan aroma pilihan anda? Jika masih buntu dan belum punya atau masih tercari-cari haruman baru yang ingin dicuba, ELLE ada menyediakan senarai pilihan aroma baru yang membangkit rasa romantik bersama si dia!

Chanel Mademoiselle Crush Absolu Eau de Parfum

    Hadir dengan aura memikat yang sangat sukar ditolak. Aroma daripada nota amber yang sangat intens ini membuka deria dengan percikan nota laici dan limau gedang, sebelum menyerlahkan lagi menerusi nota floral bunga mawar dan melur yang cukup sensual. Nota patchouli ikonik Coco Mademoiselle kemudiannya diperkaya dengan sentuhan amber, menghasilkan wangian yang magnetik, berani dan begitu mempesona.

    d'Annam Bubble Tea Eau de Parfum

      Dikenali menerusi haruman realistik yang menghidupkan aroma makanan, tempat dan kenangan, d’Annam memperkenalkan haruman terbaru hasil interpretasi minuman ikonik Taiwan yang cukup ceria dan fun. Haruman ini menggabungkan teh hitam, susu segar, gula perang dan mutiara tapioka untuk menghasilkan aroma manis dan berkrim. Aroma manis ini mampu bertahan pada kulit sehingga lima ke enam jam.

      Burberry Goddess Amber Vanilla Eau de Parfume Intense

      Haruman terbaru di dalam keluarga Burberry Goddess yang dilancarkan pada tahun ini. Hadir dengan aroma Amber Vanilla, menghasilkan interpretasi yang lebih mendalam dan juga manis. Sejenis haruman intens yang dibuka dengan nota lavender dan pati sirap maple, kemudian diserlahkan dengan teras yang kaya dengan aroma vanila seperti Vanilla Caviar, Vanilla Absolute juga Roasted Vanilla. Nota amber kemudian disuntik sebagai nota dasar yang menghangatkan lagi haruman sensual dan memikat ini.

      Carolina Herrera Good Girl Jasmine Absolute Eau De Parfum

      Istimewa bersempena ulang tahun ke-10 rangkaian Good Girl, botol stiletto ikonik ini tampil dengan sentuhan baharu! Buat pertama kalinya, kelalang tumit hitam ikonik ini dihiasi dengan paten bunga melur serta perincian permata berinspirasikan couture. Ia melambangkan kesucian, kewanitaan juga kekuatan. Aromanya pula terdiri daripada gabungan bunga melur, toffee karamel berserta kacang tonka. Kemudian disempurnakan dengan nota benzoin menjadikan ia haruman yang cukup intens dan sukar untuk dilupakan.

      ADVERTISEMENT
      Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
      LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
      Subscription Form
      magnifiercrosschevron-down