Langgan

Glamor dan Berprestij, Ini Solekan Pilihan Kami di Malam AJL40

Baik solekan pentas mahupun karpet merah, setiap yang hadir di malam AJL40 tampil dalam busana glamor berserta solekan dan gaya rambut yang cukup menawan!
3 minit untuk membaca
Published: August 17, 2026

Baik solekan pentas mahupun karpet merah, setiap yang hadir di malam AJL40 tampil dalam busana glamor berserta solekan dan gaya rambut yang cukup menawan!

Pada saya, acara tahunan muzik paling berprestij di Malaysia sudah tentu menjadi milik Anugerah Juara Lagu (AJL). Tahun ini cukup istimewa buat AJL kerana selain meraikan para finalis dan karya-karya terbaik, AJL turut meraikan empat dekad penganjurannya. Sedar tak sedar, perjalanan acara anugerah berprestij ini sudah menginjak usia 40 tahun.

Masih teringat sewaktu kecil, saya akan berkumpul bersama keluarga tidak sabar untuk menonton program TV ini. Melihat penyanyinya yang suatu ketika dahulunya baru ingin mula membina nama (kini telah menjadi legenda dan memiliki nama besar di dalam industri seni) adalah suatu kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Oleh kerana itu, bersempena merai ulang tahun yang ke-40, AJL telah memanggil nama-nama besar membuat persembahan dan paling mengujakan apabila melihat Dato' Sri Siti Nurhaliza tampil membuat kejutan dan kembali beraksi sebagai penyanyi jemputan pada malam Sabtu yang lalu. What a night!

Namun, bagi saya, salah satu perkara paling menyeronokkan setiap kali menonton acara anugerah seperti ini ialah melihat penampilan dari segi busana, solekan dan gaya rambut setiap selebriti yang hadir, termasuk mereka yang membuat persembahan. Sudah semestinya saya tidak sabar untuk melihat hasil magis para jurusolek dan penata gaya rambut yang bertanggungjawab menyiapkan para selebriti ini.

Dan rumusan saya, pada malam AJL40, kesemua yang hadir langsung tidak menghampakan! Jadi, tanpa membuang masa lagi, ayuh saya senaraikan pilihan solekan dan penataan gaya rambut terbaik pada malam itu!

Solekan Terbaik Pilihan ELLE di AJL40

  1. Misha Omar

Di saat Misha Omar tampil di atas pentas sebagai persembahan pembuka, para penonton baik di Unifi Arena di Bukit Jalil ataupun di rumah, kesemuanya terpukau dengan penampilan Misha pada malam itu. Daripada busana serba hitam cukup elegan oleh Gucci hingga ke gaya solekannya yang begitu minimalis, penampilannya berjaya mencuri perhatian. Bagi saya, jurusoleknya, Ahma Dani cukup bijak dalam membina dinamik pada keseluruhan solekan tanpa perlu berlebihan. Ahma Dani jelas menitikberatkan asas solekan yang sempurna dan mulus sebagai kanvas utama sebelum menambah elemen lain secara bersahaja. Pilihan bedak asasnya juga tidak menghairankan sudah tentu daripada Tom Ford, yang melengkapkan lagi kemasan kulit Misha pada malam tersebut.

2. Ernie Zakri

Penampilan Ernie Zakri pada malam AJL40 juga, pada saya, cukup memukau. Solekan bibirnya menjadi perhatian dan bagi saya, menjadi highlight kepada keseluruhan solekannya pada malam itu. Bijak sekali jurusoleknya, Sahir Sabri, yang memberi fokus kepada bahagian ini. Memandangkan Ernie tampil dengan nyanyian yang memukau menerusi alunan lagu balada, sememangnya fokus pada bahagian bibir itu terasa tepat. Pilihan rona merah, ditambah pula dengan sapuan glitters, menjadikan solekan bibirnya lebih menonjol dan berkarakter. Sementara itu, olesan pembayang bahagian mata dibiarkan dengan solekan yang minimal, namun bulu mata yang lebat menambahkan elemen dramatik kepada keseluruhan looknya.

3. Dayang Nurfaizah

Magis tangan Khir Khalid dan Juno Ko langsung tidak menghampakan. Pilihan mengenakan busana merah yang dipadankan pula dengan rona bibir merah sememangnya tepat, sekali gus menyerlahkan penampilan keseluruhan pada malam itu. Khir Khalid, melengkapkan solekan dengan olesan signatur smoky pada mata Dayang. Kemasan solekan mata magis tangan Khir sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Walaupun dandanan rambutnya kelihatan cukup sederhana, ia tetap complement dengan solekan serta keseluruhan looknya pada malam itu. Kesederhanaan pada rambut memberi ruang untuk solekan menjadi tumpuan, menghasilkan penampilan yang kemas, sofistikated dan cukup berkarakter.

4. Ziana Zain

Ziana Zain antara selebriti yang paling memukau pada malam itu, pada saya. Hadir dengan persembahan penutup yang penuh bertenaga bersama Amelina, Ziana tampil dalam busana serba kuning yang diserikan pula dengan solekan yang cukup on point. Ary Muzamer, jurusoleknya, bijak memilih rona-rona tanah dan gangsa yang begitu serasi dengan keseluruhan penampilannya. Kontur yang diaplikasikan dengan sempurna pula menyerlahkan setiap sisi wajah Ziana dengan begitu cantik, memberikan dimensi dan ketegasan pada raut wajahnya tanpa kelihatan berlebihan. Keseluruhannya, penampilan Ziana malam itu benar-benar mencuri perhatian.

5. Arabyrd

Solekan Arabyrd pada malam itu juga turut menarik perhatian saya. Bulu mata dengan efek cat eye yang dipadankan bersama gincu merah dan kontur yang on point menjadikan keseluruhan solekannya serba kena. Jurusoleknya, Ezad Ibrahim, bijak memilih bulu mata dengan efek sebegini untuk mencipta ilusi mata yang lebih panjang, sekali gus memberikan sentuhan yang cukup effortless. Bukan itu sahaja, gaya rambut micro bangs turut melengkapkan lagi look Arabyrd pada malam itu, menjadikannya tampil cukup cool dan edgy.

6. Nabila Razali

Antara solekan yang turut mendapat perhatian kami di ELLE! Susunan rhinestones pada wajah Nabila tampak begitu kemas, hasil tatahan dan solekan daripada Naqiah Rahim. Pilihan rona lembut seperti biru pastel pada mata juga cukup serasi dengan tona kulit Nabila. Aura solekan ini terasa begitu memukau, seakan-akan solekan yang diinspirasikan daripada Euphoria.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down