Istiadat pernikahan Diraja yang berlangsung secara tertutup hari ini mempertemukan Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, dengan suri hati baginda, Yang Mulia Datin Paduka Seri Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz. Upacara penuh adat dan makna ini telah berjalan lancar, menyaksikan pasangan Diraja selamat diijabkabulkan dalam suasana penuh khidmat serta bersejarah.

Gambar: @selangorroyalofficial
Sesungguhnya, detik bersejarah ini turut dinanti-nantikan oleh semua untuk menyaksikan keanggunan YM Datin Paduka Seri Afzaa Fadini pagi pernikahan yang penuh istimewa. Di ELLE Malaysia, kami juga tidak terkecuali menantikan momen indah ini. Lebih istimewa lagi, sentuhan magis jurusolek tempatan (yang juga merupakan salah satu juri buat ELLE Malaysia Beauty Awards 2025), Ahmadani, bersama penata gaya rambut tersohor, Ckay Liow, dijangka menghasilkan gandingan serasi yang bakal merealisasikan penampilan ratu sehari yang benar-benar sempurna.

Jurusolek Profesional Ahmadani
Kami sempat menemu bual Ahmadani pada malam sebelum berlangsungnya hari bersejarah ini. Jujur diakui, perasaan teruja bercampur gementar tetap hadir dalam dirinya tatkala diberi tanggungjawab menyolek wajah kesayangan rakyat jelata Selangor.
Namun keyakinan kami tidak berbelah bahagi bahawa Ahmadani mampu menghadirkan sentuhan terbaik. Dalam perbualan, dia turut berkongsi tentang keperibadian YM Datin Paduka Seri Afzaa yang begitu disenangi serta jelas dengan kehendaknya sendiri, sesuatu yang memudahkan proses dalam merealisasikan ilham solekan ratu sehari.
Difahamkan, YM Datin Paduka Seri Afzaa cenderung kepada solekan yang menonjolkan sisi ‘cool tone’ bagi melengkapi tona semula jadinya. Pada pagi bersejarah itu, beliau disarungkan sentuhan solekan yang tidak berlebihan, seiring dengan keanggunan istiadat Diraja. Hasilnya, seri wajah tampak segar, lembut berkilau, dan memancarkan aura mempesona sempurna untuk momen sakral nan abadi.
Itulah juga sebab utama YM Datin Paduka Seri Afzaa memilih Ahmadani kerana keyakinannya terhadap kepakaran jurusolek ini dalam menyesuaikan solekan pernikahan yang anggun tanpa berlebihan.

Antara produk yang digunakan di sesi percubaan solekan. Dilakukan lebih awal bagi memastikan keserasian antara Ahmadani dan YM Datin Paduka Seri Afzaa, di samping menentukan pilihan produk yang tepat untuk disarungkan pada hari istimewa ini.
Istimewa, Ahmadani berkongsi dengan ELLE antara produk yang digunakan buat YM Datin Paduka Seri Cik Afzaa Fadini

Bagi memastikan hasil solekan tampil sempurna dan flawless, Ahmadani memulakan persiapan kulit wajah dengan Bobbi Brown Vitamin Enriched Face Base Moisturizer & Primer sebagai langkah asas. Sentuhan seterusnya hadir dengan Surrealskin™ Foundation daripada Makeup by Mario yang memberikan kemasan natural namun penuh litupan. Menurut Ahmadani, Cik Afzaa sendiri amat menggemari penggunaan bronzer dan untuk melengkapi solekan pernikahan kali ini, beliau memilih Luminous Silk Bronzing Powder daripada Giorgio Armani Beauty, pilihan ideal untuk menyerlahkan dimensi wajah yang lembut dan berseri.

Untuk menyerikan pipi, Ahmadani memilih Luminous Silk Cheek Tint Shine daripada Giorgio Armani Beauty dalam tekstur cecair. Menurutnya, formula jenis ini lebih serasi dipadu bersama bedak asas, terutama untuk majlis pernikahan, kerana memberikan kemasan natural tanpa risiko bercapuk. Bagi bibir pula, tampil ringkas dan segar dengan kombinasi lip liner bersama lip gloss atau lip oil, memandangkan beliau kurang gemar solekan bibir yang terlalu heavy.

Sentuhan mata dilengkapkan dengan Master Mattes™ Eyeshadow Palette daripada Makeup by Mario, manakala kilauan akhir disempurnakan dengan Bio-Radiant™ Gel-Powder Highlighter rona Peach Quartz daripada Haus Labs by Lady Gaga, mencipta seri wajah yang anggun namun tetap tampak effortless.

Sebagai sentuhan terakhir pada mata, Ahmadani memilih Eye Defining Pencil serta pensel kening daripada Tom Ford Beauty, duo mewah yang menyempurnakan keseluruhan penampilan. Solekan kemudiannya diperkemaskan dengan Veil Translucent Setting Powder daripada Hourglass untuk memastikan kemasan natural yang halus dan tahan lama. Bagi mengunci hasil akhir, Ahmadani mengaplikasikan teknik tiga lapisan setting spray dimulakan dengan MAC Cosmetics Fix+ Matte Setting Spray, diikuti Charlotte Tilbury Airbrush Flawless Setting Spray dan disempurnakan dengan One/Size On ‘Til Dawn Setting Spray, rahsia di sebalik solekan pengantin yang kekal segar sepanjang hari istiadat.


