Trend kecantikan menggunakan sardin ini sudah tersebar luas di TikTok hingga menyebabkan stok sardin di pasar raya habis!

Siapa sangka, sardin yang selama ini dianggap sekadar hidangan ringkas di dapur kini diangkat sebagai makanan wajib dalam rutin kecantikan wanita moden. Baru-baru ini, ketika menelusuri TikTok, saya dibanjiri dengan pelbagai video yang mendakwa pengambilan sardin secara harian mampu memberikan kulit yang lebih sihat dan glowing. Trend yang semakin tular ini sememangnya membangkitkan rasa ingin tahu saya untuk menyelami sendiri rahsia di sebalik ikan kecil yang sarat dengan khasiat ini.
Segalanya bermula apabila model terkenal, Anok Yai, mendedahkan pada tahun yang lalu bahawa sardin merupakan antara makanan yang sering diambil bagi membantu mengekalkan kulit wajahnya yang sihat. Pendedahan itu kemudiannya disusuli oleh pempengaruh digital, Toni Bravo, yang mencetuskan gelombang baharu apabila kerap berkongsi pelbagai resipi berasaskan sardin yang bukan sahaja menyelerakan, malah didakwa menyokong kesihatan kulit.
Tidak mengambil masa yang lama, fenomena ini bertukar menjadi obsesi global. Peminat kecantikan di seluruh dunia mula menyerbu pasar raya dan memborong tin sardin demi merasai sendiri manfaat yang diperkatakan. Kegilaan tersebut dilaporkan begitu luar biasa sehingga jenama popular, Trader Joe's, terpaksa mengehadkan pembelian kepada hanya dua tin sardin bagi setiap pelanggan. Nampaknya, dalam dunia kecantikan hari ini, sardin bukan lagi sekadar makanan dalam tin, tetapi telah muncul sebagai bintang baharu dalam perbualan tentang kulit sihat dan berseri.
@hypebae Sardine sales after the @Victoria’s Secret 📈 #AnokYai keeps her glow poppin’ with a little tinned fish 🐟 Video: Hypebae #vsfashionshow #vsangel #victoriassecret #beautytok ♬ original sound - HYPEBAE
Namun, di sebalik fenomena yang semakin hangat diperkatakan ini, ramai pakar tampil berkongsi pandangan yang lebih seimbang. Ada yang berpendapat bahawa sehingga kini masih belum terdapat kajian klinikal yang kukuh dan sahih yang membuktikan pengambilan sardin dalam tin semata-mata mampu memberikan perubahan ketara terhadap kecantikan kulit. Pada masa yang sama, ada juga yang mengakui bahawa sardin sememangnya kaya dengan nutrien yang diketahui baik untuk kesihatan kulit, antaranya asid lemak omega-3 yang membantu menguatkan lapisan pelindung kulit, vitamin D yang menyokong pertumbuhan serta pemulihan sel-sel kulit dan kandungan protein yang penting untuk penghasilan kolagen bagi mengekalkan keanjalan kulit.
Walaupun tiada bukti klinikal yang benar-benar mengesahkan sardin sebagai rahsia mendapatkan kulit yang glowing, tidak dapat dinafikan bahawa ikan kecil ini tetap menawarkan pelbagai khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh dan kulit secara keseluruhannya. Seperti trend kecantikan yang lain, pemakanan seimbang dan rutin penjagaan kulit yang konsisten masih menjadi asas utama untuk memiliki kulit yang sihat dan berseri. Namun, jika anda ingin turut sama mencuba trend yang sedang tular ini, apa salahnya? Mana tahu, ikan kecil dalam tin yang sederhana inilah rahsia baharu yang mampu memberikan kulit wajah lebih sihat dan bercahaya seperti yang sering diwar-warkan di TikTok! Selamat mencuba.

