
Wanita serba boleh, Tia memulakan kariernya hanya sebagai seorang model sambilan, tiada hala tuju yang jelas membawanya ke lapangan seni, namun kini dialah pelakon, penyanyi dan ikon memperkasakan wanita masa kini yang cukup dikenali di Taiwan. Wanita kelahiran Taipei ini mula dikenali dengan menjadi vokalis kumpulan pop wanita iaitu Dream Girls. Tia berjaya membawa nama Dream Girls cukup popular di Asia waktu kemuncaknya itu sebelum bergerak solo.
Tahun 2022 boleh dikatakan tahun yang melonjakkan nama Tia sekali lagi di persada nyanyian. Lagunya ‘Goodbye Princess’, seolah memberi ilusi yang dia bukan lagi Tia Lee yang dulu. Gaun kembang, sebuah cerita fantasi, gadis yang dahulunya satu dunia puja, sudah dibuang jauh.
Ternyata lagu itu menceritakan seluruh hidupnya, bermula dengan pengalaman revolusinya, dan visi Tia untuk masa hadapan. Tidak hairanlah lagu itu begitu mendapat sambutan dan sudah mencecah sehingga 174 juta tontonan di YouTube. Lagu itu juga memberi impak yang besar sehingga menjadi satu gerakan dengan melancarkan kempen #EmpowerHer untuk organisasi hak asasi wanita di seluruh dunia.
Dalam industri yang dihujani artis-artis membina empayar atas dasar pengaruh, ekspresi diri dan perniagaan, Tia Lee ternyata lain daripada yang lain. Dia menggunakan pengaruhnya untuk menginspirasi lebih ramai wanita, tampil tegar dan cukup bersemangat untuk melebarkan sayapnya di mata dunia.
Berbekalkan hampir dua dekad di dalam industri, pelbagai tawaran sudah ditunaikan, peragaan, pengacara TV, berlakon, ikon, so what’s next untuk Tia Lee?

ELLE: Bagaimana perjalanan Tia dalam industri hiburan bermula?
Tia: Saya memulakan kerjaya saya sebagai model pengiklanan dan percetakan. Daripada situ, saya berhubung dengan sebuah agensi yang membuka peluang untuk saya meneroka pelbagai peranan dalam industri hiburan.
E: Apa yang membuatkan Tia memilih nyanyian dan persembahan sebagai laluan utama kreatif?
T: Pada awalnya, saya tidak mempunyai arah tuju yang jelas. Saya hanya memanfaatkan setiap peluang yang muncul sambil belajar dan menerima cabaran baharu sepanjang perjalanan itu.
E: Bilakah waktu yang Tia rasa menjadi diri Tia sendiri? Adakah di atas pentas, di studio atau jauh dari perhatian umum?
T: Saya rasa apa yang saya lakukan setiap hari memang adalah diri saya yang sebenar. Saya suka menjadi diri sendiri dalam melakukan rutin harian, mengecapi apa yang dimiliki sekarang atas usaha sendiri dan menemui kepuasan dalam perkara-perkara kecil.

E: Apakah pencapaian yang paling Tia banggakan setakat ini?
T: Saya telah mencipta EmpowerHer! Inisiatif ini memang saya dedikasikan untuk memperkasakan wanita. Menjadikan sesuatu yang asalnya cuma idea kepada kenyataan. Walaupun dengan usaha yang kecil tapi jika dilakukan secara konsisten, boleh membawa perubahan yang cukup besar dan berbaloi. Melalui projek ini, saya bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, secara tidak langsung saya turut berkembang secara peribadi, rasa lebih bertanggungjawab dan lebih bahagia.
E:Ceritakan dengan lebih lanjut mengenai gerakan #EmpowerHer dan bagaimana Tia menghidupkannya?
T: Sebenarnya, semasa mencipta lagu ‘Goodbye Princess’, saya menggunakan muzik dan seni visual untuk menceritakan perjalanan peribadi saya. Melalui lagu ini, saya ingin menyampaikan satu mesej dan semua hasil daripada projek ini disalurkan untuk menyokong memperkasakan wanita.
Bagi ramai wanita, stereotaip dan prasangka masyarakat boleh menjadi beban yang berat untuk ditanggung. Itulah sebabnya saya ingin melancarkan inisiatif ini, untuk membantu wanita mendapatkan kembali keyakinan mereka dalam masa-masa sukar dan membina kehidupan yang lebih bahagia. Melalui projek ini, kami menyediakan sokongan praktikal untuk membantu mereka mencari pekerjaan, dengan harapan mereka juga dapat mencipta kehidupan yang mereka impikan.
E: Bagaimana Tia menggarap diri untuk menjadi seorang individu yang diinspirasi?
T: Saya percaya bahawa kita perlu menerima ketidaksempurnaan diri kita dan dalam masa yang sama fokus kepada apa yang kita perlukan. Dengan memahami apa yang sebenarnya kita perlukan untuk kita berkembang, barulah kita boleh menjadi individu yang kita aspirasikan dan memberi inspirasi.
E: Melihat evolusi Mandopop hari ini, di mana Tia melihat peranan Tia di dalamnya?
T: Saya rasa Mandopop kini semakin pelbagai dan lebih kreatif dalam menggabungkan elemen-elemen yang berbeza. Hadirnya pencipta generasi muda membawa tenaga baharu ke dalam industri. Bagi saya, saya berharap karya saya dapat memperkenalkan perspektif baharu dan menunjukkan bagaimana muzik dan fesyen boleh digabungkan dan memberi impak lebih segar.

E: Apakah cerita atau emosi yang paling tepat untuk Tia sampaikan melalui muzik sekarang?
T: Buat masa sekarang, saya ingin ekspresikan bagaimana wanita memperkasakan diri mereka apabila mereka kian matang. Tidak kira apa cabaran yang dihadapi, saya berharap muzik saya dapat memberi keberanian kepada semua untuk menerima diri mereka sendiri dan bersinar dengan cara mereka tersendiri.
E: Lagu manakah yang Tia rasa paling tepat mencerminkan diri dan mengapa?
T: Sudah tentu lagu tersebut adalah ‘Goodbye Princess’, Lagu ini menggambarkan perjalanan peribadi saya daripada seorang yang agak ragu-ragu dalam mengekspresi diri kepada seorang yang kini lebih yakin dan bebas menjadi diri sendiri.
E: Apa yang memberi inspirasi kepada kreativiti Tia sebagai seorang artis?
T: Setiap perkara kecil yang berlaku dalam kehidupan saya dapat memberi inspirasi, begitu juga benda baru yang saya pelajari turut menyumbang inspirasi kepada saya. Namun, sokongan daripada peminat adalah motivasi terbesar saya. Ia mendorong saya untuk mencipta karya yang benar-benar memberi kesan dan menyentuh hati orang ramai.
E: Bagaimana Tia kekal merendah diri dalam industri yang sentiasa berubah?
T: Bagi saya adalah penting untuk kita menghadapi fikiran yang mendalam dengan sejujurnya serta mempunyai matlamat dan rancangan yang jelas. Tipulah jika saya tidak pernah melalui saat-saat sukar, saya juga pernah ditolak, tidak disukai dan sebagainya. Bumi ini berputar, jadi kadang kala kita di atas kadang kala di bawah, bagaimana kita melaluinya dan menerimanya itu yang penting. Sekiranya kita tercicir di tengah jalan, cuba buka minda dan tenangkan diri, dan jangan biarkan kerisauan itu mengaburi diri. Ketabahan yang kita lihat adalah hasil daripada menghadapi cabaran hidup dengan berani.
Baca temu bual penuh menerusi edisi Julai 2025