Di musim perayaan ini, masa yang ditunggu-tunggu adalah untuk berkumpul bersama keluarga, menikmati pelbagai juadah enak dan menziarahi sanak saudara. Namun, dengan jadual yang padat dan aktiviti yang berterusan, ramai yang mengalami keletihan dan kehabisan tenaga. Oleh itu, penting untuk kita tahu cara untuk mengatasi keletihan agar dapat menikmati perayaan dengan lebih ceria dan bermakna.
Jaga Pemakanan
Semasa hari raya, kita cenderung untuk menikmati pelbagai makanan berlemak dan bergula tinggi seperti rendang, lemang, kuih raya dan minuman manis. Walaupun makanan ini menggoda selera, pengambilan yang berlebihan boleh menyebabkan rasa lesu dan tidak bermaya. Oleh itu, amalkan juga pemakanan yang seimbang dengan mengutamakan makanan yang kaya dengan serat, protein dan vitamin untuk balance kan semula cara pemakanan.

Minum Air Secukupnya
Dehidrasi boleh menyebabkan keletihan dan mengganggu fungsi badan. Dengan cuaca panas serta aktiviti yang sibuk, badan mudah kehilangan air. Pastikan anda minum sekurang-kurangnya lapan gelas air sehari untuk kekal terhidrat dan bertenaga. Kurangkan pengambilan minuman berkafein atau bergas kerana ia boleh menyebabkan dehidrasi.

Dapatkan Rehat yang Cukup
Kurang tidur boleh menyebabkan tubuh menjadi lesu dan tidak bertenaga. Walaupun sibuk beraya, pastikan anda mendapatkan tidur yang mencukupi, sekurang-kurangnya enam hingga lapan jam sehari. Jika rasa terlalu letih, luangkan masa untuk tidur sebentar seperti power nap selama 10-15 minit bagi menyegarkan kembali badan dan minda.

Kawal Jadual Beraya
Kunjungan ke rumah saudara dan kawan-kawan adalah sebahagian daripada tradisi hari raya. Namun, terlalu banyak rumah untuk dikunjungi dalam satu hari boleh menyebabkan keletihan. Atur jadual ziarah dengan bijak dan beri ruang untuk berehat di antara lawatan supaya tubuh tidak keletihan.

Bersenam Ringkas
Walaupun sibuk dengan aktiviti beraya, cari sedikit masa untuk melakukan senaman ringan seperti regangan, berjalan kaki atau yoga. Senaman dapat membantu melancarkan peredaran darah, meningkatkan tenaga dan mengurangkan rasa letih.

Elakkan Tekanan Berlebihan
Persiapan raya, perjalanan jauh dan jadual padat boleh menyebabkan tekanan yang akhirnya membawa kepada keletihan. Urus masa dengan baik, elakkan tekanan yang tidak perlu dan cuba bersikap lebih santai. Luangkan masa untuk berehat dan nikmati saat-saat berharga bersama keluarga tanpa tergesa-gesa.
