Selepas 'Ada Apa Dengan Cinta?' mencipta fenomena dan menjadi nadi kepada generasi awal 2000-an, kisah cinta antara Rangga dan Cinta kini kembali bernafas dalam bentuk yang lebih segar dan penuh emosi dalam 'Rangga & Cinta.' Filem arahan Riri Riza dan diterbitkan oleh Mira Lesmana ini bukan sekadar mengulang nostalgia tetapi menghidupkan semula kisah ikonik itu dengan sentuhan moden serta alunan lagu-lagu klasik ciptaan Melly Goeslaw yang diberi nafas baru.

Temubual Bersama Dua Pelakon Utama 'Rangga & Cinta'
Ceritakan tentang pengalaman anda bekerja bersama pengarah dan produksi untuk filem ini.
El Putra: Saya rasa sangat gembira kerana ini merupakan projek pertama saya dan dapat bekerja bersama individu yang benar-benar bersemangat terhadap seni dan kerja mereka. Riri sebagai pengarah sangat lembut dan menyokong kami sepanjang proses ini, manakala Mira pula sangat prihatin dan sentiasa memberi bimbingan. Suasana di set sangat positif, profesional dan sihat dengan etika kerja yang tinggi. Bagi saya secara peribadi, pengalaman ini benar-benar luar biasa.
Leya Princy: Ia sangat menyeronokkan! Bekerja dengan Miles Films untuk filem pertama saya adalah satu rezeki besar. Saya belajar begitu banyak perkara baru dan pengalaman berharga daripada mereka yang begitu bersemangat dan berpengalaman lama dalam industri ini. Rasanya seperti saya diberi bekalan ilmu yang sangat bernilai untuk masa hadapan.
Apakah cabaran terbesar yang anda hadapi untuk menjayakan watak masing-masing?
El Putra: Sudah tentu ini cabaran besar buat kami, kerana watak-watak ini telah pun diwujudkan dengan sangat baik oleh Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra sebelum ini. Jadi bagi saya, membawa watak Rangga merupakan satu penghormatan besar. Namun pada masa yang sama, saya perlu memberikan nafas baru dan interpretasi tersendiri agar tidak sekadar meniru versi sebelumnya.
Leya Princy: Cabaran utama bagi saya ialah memahami semula zaman remaja pada era yang saya sendiri belum lahir. Untuk menjiwai watak Cinta, saya perlu mengkaji suasana tahun 2000-an. Saya banyak bertanya kepada ibu bapa saya sendiri tentang bagaimana kehidupan remaja mereka pada waktu itu, cara mereka bergaul, berpakaian dan berfikir. Dari situ, saya cuba membayangkan dan apply didalam filem ini.

Bagaimana keserasian antara anda berdua dibina? Adakah ia datang secara semula jadi atau melalui proses tertentu?
El Putra: Kami berdua datang daripada latar belakang dan budaya yang berbeza. Tapi daripada perbezaan itulah kami membina hubungan dan chemistry watak kami. Ia berkembang secara semula jadi apabila kami memahami antara satu sama lain.
Leya Princy: Kami banyak berbincang dan bertukar pandangan tentang cara menjiwai watak supaya semuanya terasa lebih tulen. Walaupun minat kami berbeza, kami mudah berhubung. Sejak pertemuan pertama, kami sudah berbual panjang dan itu membuatkan kami cepat serasi.

Jika anda boleh pilih satu babak kegemaran dalam filem ini, yang manakah paling bermakna dan kenapa?
El Putra: Saya suka semua babak muzikal yang ada dalam filem ini. Ia memberi satu perasaan yang surreal dan magical terutama sekali ketika Rangga bermain piano untuk Cinta sambil menyanyikan lagu tentang seseorang. Suasana dan emosi dalam babak itu sangat menyentuh hati.
Leya Princy: Bagi saya setiap scene dimana saya berada di bilik tidur Cinta! Set itu dibuat sangat selesa sehingga terasa seperti bilik saya sendiri! Malah ada satu adegan di mana saya tertidur sambil membaca buku ‘Aku’ dan ya, itu memang saya betul-betul tertidur kerana tempatnya terlalu selesa!

Apakah harapan anda terhadap sambutan penonton di Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda?
El Putra: Saya berharap penonton di Malaysia dapat merasakan emosi yang dibawa oleh watak Rangga dan Cinta, rasa cinta, rindu dan keindahan hubungan mereka dalam filem ini.
Leya Princy: Saya ingin generasi muda dapat membayangkan kehidupan sekolah menengah yang penuh impian, sama seperti saya ketika menonton Ada Apa Dengan Cinta buat pertama kali. Saya harap apabila mereka menonton Rangga & Cinta, mereka akan berkata, “Saya mahu jadi seperti mereka!” Bagi generasi millennial pula, semoga mereka dapat mengimbau nostalgia dan merasai semula kehangatan cinta dan persahabatan.
Temubual Bersama Riri Riza dan Mira Lesmana
Apakah proses bagaimana pengalaman anda bekerja dengan barisan pelakon baru untuk filem ini.
Mira Lesmana & Riri Riza: Proses ini sebenarnya sama seperti mana-mana penghasilan filem lain, kami perlu mencari individu yang benar-benar sesuai untuk menghidupkan watak-watak dalam filem ini. Namun, kali ini sedikit berbeza kerana ‘Ada Apa Dengan Cinta’ mempunyai identiti dan gaya lakonan tersendiri yang sudah ikonik. Jadi kami perlu mencari bakat baru yang mampu membawa semangat watak itu, tetapi dengan tambahan elemen nyanyian, tarian dan muzikal.
Kami juga menjalankan sesi uji bakat terbuka dan dalam talian untuk mencari mereka yang bukan sahaja berbakat tetapi juga mampu menghidupkan karakter dengan jiwa yang baru. Akhirnya, kami memilih pelakon baru sepenuhnya untuk memberi nafas segar untuk filem ini.

Apakah cabaran terbesar yang anda hadapi dalam menjayakan filem ini?
Mira Lesmana & Riri Riza: Sudah tentu ada cabaran, kerana ini merupakan filem remake daripada karya yang sangat ikonik dan dikenali ramai. Lagu-lagunya juga sangat popular, jadi kami sedar sejak awal bahawa pasti akan ada perbandingan dengan versi asal.
Cabaran utama ialah bagaimana kami dapat membimbing pelakon baru ini agar kekal yakin dan tidak rasa terbeban dengan legasi sebelumnya. Dari segi penceritaan pula, kami perlu mencari keseimbangan kerana filem ini bersifat muzikal yang penuh tenaga, namun pada masa yang sama masih mengekalkan elemen cinta dan persahabatan yang menjadi inti utama kisah ini.
Bercakap tentang elemen muzikal, dari mana datangnya idea untuk menjadikannya filem muzikal?
Mira Lesmana & Riri Riza: Idea ini sebenarnya sudah lama kami fikirkan sejak pandemik lagi. Ketika itu, kami merancang untuk melakukan ‘Ada Apa Dengan Cinta: The Musical’. Lagu-lagu ciptaan Melly Goeslaw sangat kuat secara lirik penuh dengan emosi dan penggunaan kata ‘Aku’ yang sangat peribadi. Dari situlah lahir idea menjadikan filem ini dalam bentuk muzikal, kerana lagu-lagu tersebut sudah pun mengandungi jiwa watak itu sendiri.
Kami pernah mempertimbangkan untuk menjadikannya siri atau filem dan selepas melihat kejayaan beberapa karya muzikal lain, kami akhirnya memutuskan untuk merealisasikan idea ini kerana muzikal sentiasa relevan dan segar.

Jika anda boleh pilih satu babak kegemaran dalam filem ini, babak mana yang paling bermakna dan mengapa?
Mira Lesmana: Saya paling menyukai babak di mana Cinta marah kepada Rangga melalui surat sambil menyanyikan lagu baru berjudul ‘Untuk Rangga’. Babak itu sangat emosional kerana walaupun dia marah, kita tahu dalam diam dia menyimpan rasa suka terhadap Rangga. Ia menggambarkan fasa in denial yang epic.
Saya juga suka babak ketika Rangga menyanyikan ‘Suara Hati Seorang Kekasih’, di mana sisi rapuhnya terserlah. Kita melihat bahawa Rangga yang dahulu kelihatan kuat, kini lebih terbuka dan sensitif.
Riri Riza: Saya paling suka babak pembukaan dan penutup, kerana kedua-duanya menggambarkan dunia cinta dan kisah antara Rangga dan Cinta dengan cara yang sinematik dan berbeza daripada filem asal.

Apakah harapan anda terhadap sambutan penonton, khususnya daripada generasi muda?
Mira Lesmana: Untuk generasi muda, saya ingin katakan filem ini untuk anda! Kerana ini kisah tentang zaman muda, tentang cabaran dan perjalanan mencari diri. Generasi sebelum ini sudah ada versi mereka, jadi sekarang giliran anda. Biarkan ia menjadi milik generasi baru.
Riri Riza: Kami berharap penonton dapat merasai emosi dan kerumitan cinta yang sama seperti dahulu. Dan yang paling penting, saya rasa bagus apabila watak wanita kini dapat mengekspresikan diri mereka dengan lebih bebas sesuatu yang saya percaya penonton di Malaysia juga dapat rasakan dan kaitkan. Mudah-mudahan ‘Rangga & Cinta’ akan menjadi sebahagian daripada kenangan indah buat semua.


