Landskap gastronomi mewah ibu kota disenadikan dengan Nobu Kuala Lumpur yang terus mengangkat pengalaman menjamu selera mewah. Tetamu dijamu melalui sebuah persembahan makan eksklusif yang mewah meraikan ketelitian, keseimbangan dan kehalusan rasa.
Sepanjang 1 hingga 31 Mei 2026, restoran ikonik ini memperkenalkan Special Omakase by Chef Hervé Courtot. Sebuah perjalanan kulinari yang disusun dengan penuh teliti, menampilkan rasa hidangan bermusim yang memikat deria.

Kehadiran Chef Hervé Courtot di Kuala Lumpur dari 2 hingga 5 Mei juga menjadikan pengalaman ini lebih istimewa. Sudah tentu membuka peluang kepada para tetamu untuk menyaksikan sendiri sentuhan kreatif dan disiplin teknik yang menjadi teras pendekatan beliau.
Setiap hidangan dalam omakase ini menjadi sebuah naratif rasa yang menonjolkan integriti bahan premium. Setiap masakan disediakan perlu melalui teknik yang tepat dan keharmonian cita rasa. Ia selari dengan falsafah kontemporari Jepun-Peru yang menjadi identiti Nobu.
Penawaran Hidangan
Perjalanan rasa dimulakan dengan Oyster and Scallop with Yuzu Soy yang menjadi pembuka selera. Rasanya yang segar dengan nota sitrus yang bersih, diikuti Botan Ebi Carpaccio with Caviar mempamerkan kelembutan rasa manis udang bersama kaviar. Pilihan Nobu Style Sushi seterusnya pula menzahirkan rasa kesederhanaan dan kemahiran masakan klasik yang menjadi signature jenama ini.
Momentum rasa diteruskan dengan King Crab with Strawberry Amazu Ponzu and Yuzu Kosho Salsa. Satu kombinasi berani yang mengimbangi keasidan buah dan sentuhan pedas halus. Sementara Smoked Halibut with Black Pepper Chili Garlic Sauce memperkenalkan dimensi rasa yang lebih mendalam dengan elemen salai yang lembut.

Sebagai kemuncak set, Grilled Beef Tenderloin with Cauliflower and Portobello disajikan dengan komposisi yang memuaskan dan elegan. pengalaman ini ditutup dengan manisan Chocolate Ichigo and Yuzu. Pemanis mulut ini menjadi penamat yang menyatukan kemanisan coklat dengan kesegaran sitrus menyenangkan.

Harga dan Tempahan
Ditawarkan pada harga RM1,200++ seorang, set omakase edisi terhad ini satu pengalaman yang disusun dengan tempo terancang dan penuh kehalusan masakan. Berteraskan ketepatan, keseimbangan dan estetika yang tidak berlebihan, sajian ini mencerminkan komitmen berterusan Nobu dalam menghidangkan momen kulinari yang benar-benar refined.

