Perubahan dunia gastronomi memastikan rasa tradisi kekal berakar dengan memori dan identiti. Tahun ini, Marriott Bonvoy sekali lagi mengangkat keindahan kulinari tempatan menerusi kembalinya The Malaysian Kitchen, sebuah siri santapan nasional yang meraikan kepelbagaian dan kehalusan warisan makanan Malaysia.

Tarikh Pelancaran
Dilancarkan pada 31 Mac 2026, inisiatif ini menyatukan barisan cef berbakat dari hotel dan resort Marriott Bonvoy di seluruh negara. Ia mempersembahkan interpretasi moden terhadap hidangan klasik yang telah diwarisi turun-temurun. Ia juga berkonsep untuk memberi pengalaman menjamu selera dan menunjukkan satu perjalanan rasa yang menghubungkan masa lalu dan kini. Segala-galanya diolah dengan teknik kontemporari tanpa mengorbankan rasa asal hidangannya.
Bermula daripada kehangatan rempah Negeri Sembilan hingga kesegaran hasil laut Sabah dan Kedah. The Malaysian Kitchen membuka ruang untuk para tetamunya menghayati Malaysia melalui setiap suapan. Setiap hidangan membawa naratif tersendiri mengenai keluarga, komuniti dan tradisi yang membentuk landskap kulinari negara.
Lima Hotel dan Pelbagai Resipi
Di Putrajaya Marriott Hotel, Sous Chef Mohd Hairi Sahmizam bin Rosli mempersembahkan rasa yang kaya dan berani melalui hidangan seperti Daging Masak Lemak Cili Padi dan Ayam Kuzi bersama Roti Jala. Resipi yang sinonim dengan majlis perayaan dan perkahwinan. Sentuhan beliau mencerminkan pengalaman lebih dua dekad dalam mengolah masakan Melayu dengan penuh ketelitian.
Sementara itu di Renaissance Johor Bahru Hotel. Executive Sous Chef Hamizi Abd Hamid mengetengahkan pengaruh silang budaya Johor melalui Kacang Pool dan Mee Rebus Daging Tetel. Hidangan yang menggabungkan elemen Timur Tengah, Melayu dan India dalam satu harmoni rasa yang mendalam.
Di Borneo, Le Méridien Kota Kinabalu mempersembahkan warisan Sabah melalui cef Kelvin Kilin. Hidangan seperti Hinava Ikan Tenggiri dengan sentuhan limau dan halia serta Sinalau Sapi yang diasap, mencerminkan keaslian tradisi Kadazan-Dusun dan kekayaan hasil bumi tempatan.

Kembali ke ibu kota, Courtyard by Marriott Kuala Lumpur South menampilkan sentuhan peribadi Chef Hasnaerdawaty Md Hanapi. Nasi Dagang Tradisi Kelantan bersama gulai ikan tongkol dan Daging Kerutuk menjadi bukti bagaimana resipi keluarga mampu diangkat ke pentas gastronomi moden. Dalam masa sama ia tetap memastikan hangat rasa asalnya.

Di pulau legenda, The St. Regis Langkawi pula memberi penghormatan kepada warisan pesisir Kedah melalui interpretasi Sous Chef Mohd Fauzi Hashim. Hidangan seperti Gulai Panas Ikan Tenggiri dan Laksa Kedah membangkitkan nostalgia kampung nelayan dengan rasa yang kaya dan menyentuh jiwa.
Melangkaui sekadar siri kulinari, The Malaysian Kitchen adalah penghormatan kepada memori kolektif rakyat Malaysia. Setiap resipi adalah cerita, setiap aroma adalah kenangan dan setiap cef adalah 'penjaga' warisan yang terus menghidupkan tradisi dalam bentuk baharu.
Para tetamu boleh mula menikmati pengalaman ini bermula 10 April 2026 di hotel dan resort Marriott Bonvoy yang mengambil bahagian seluruh Malaysia.

