Langgan

Pentas Pembuktian Aisha Retno

The A.I.S.H.A Experience
2 minit untuk membaca
Published: September 22, 2025
Aisha Retno menghiburkan peminatnya di Jio Space.

Menghadirkan diri dalam bidang nyanyian datang dengan cabaran - sama ada menemukan lagu yang terbaik mentafsir kerjaya sehingga mencari siapa sasaran pendengar. Aisha Retno satu daripada penghibur yang melalui transisi ini dengan caranya yang tersendiri.

"Mengikat Jiwa" sebuah pengenalan dan "W.H.U.T" menjadi batu loncatan untuk dia benar-benar diterima cukup meluas. Tidak hanya di persada muzik tempatan namun namanya bertumbuh besar di negara seberang Indonesia.

Setelah lebih lima tahun menghasilkan karya-karya yang membentuk kematangan bermuziknya, Aisha Retno hujung minggu lalu hadir dengan sebuah showcase diberi nama The Aisha Experience.Pentas ini menjadi medan untuk dia benar-benar melepasi satu fasa pembuktian bahawa dia harus dipandang serius dan diangkat sebaiknya bakat yang dimiliki. Menerusi persembahan lebih satu jam ini dia mempersembahkan kredibiliti berpentasnya.

Aisha membuka pentas dengan dua lagu dalam jaluran Nusantara EDM iaitu Samudera dan Jeda. Dia menari, menyanyi dan bergerak cukup bebas dalam radarnya. Melepasi kedua lagu ini dengan sebaiknya, Aisha menguasai segenap sudut pentas dengan baik.

Nyanyian live nya sangat cemerlang, jarang ada momen yang 'bocor' biar kadang dalam lelahnya dia komited sepanjang persembahan. Antara lagu-lagu lain yang dipersembahkan pada malam tersebut adalah "Terbang", "Kota Ini Tak Sama Tanpamu" dan "Lenkapilah Kita."

Tidak bersendirian di pentas, malam showcase tersebut turut menampilkan Aizat Amdan, Megat Fazley, Liza Hanim dan Lucidrari menerusi rangkaian lagu-lagu seperti "Titik Temu" antaranya. Aisha turut menyanyikan lagu terbarunya bersama Aizat Amdan yang akan diedarkan pada masa terdekat.

Apa yang dipersembahkan Aisha adalah potensi, keupayaan berpentas dan kesungguhannya dalam bermuzik. Ini satu permulaan panjang yang bakal dia bentangkan seiring kematangan dan keseriusan yang dia miliki untuk bergerak sebagai bakat pelapis yang seharusnya diraikan.

 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down