
Bagaikan tidak percaya single "Pengemis Muda" yang menjadi batu loncatan untuk legenda muzik Pop negara, Sheila Majid berkumandang mengisi permintaan berganti generasi. Dan siapa sahaja yang tidak mengenal melodi "Sinaran", "Dia" dan "Antara anyer & Jakarta" semuanya sudah termaktub dalam arkib Pop terbaik muzik tempatan.
Bersempena empat dekad dia bermuzik, Sheila Majid bakal membawakan sebuah konsert berskala besar di Axiata Arena Bukit Jalil pada 8 November nanti. Konsert diberi nama Sheila Majid 40 Years in Music ini akan meraikan penggemarnya sepanjang dia berkarier sebagai penyanyi dan penghibur. muzik nusantara

Sebuah Legasi Muzik
Penganjur menyifatkan konsert ini tidak hanya sebuah konsert tribute tetapi satu dedikasi berterusan legenda muzik ini yang belum lagi berhujung. Ia juga menjadi medan menyatukan peminat daripada generasi berbeza.
“Altus Prohouse sebagai penganjur cukup berbangga untuk mengumumkan Sheila Majid 40 Years in Music kerana dia adalah figura penting dalam dunia muzik Nusantara dan perlu untuk diraikan dalam sebuah penganjuran konsert yang cukup gah."
Sheila Majid menyifatkan ini adalah sebuah keberuntungan buatnya kerana dapat bertemu dan bekerjasama dengan banyak pihak yang menjadi penyumbang kepada harumnya nama beliau sehingga kini.
Sheila berkata ketika di majlis pelancaran konsert ini, “Empat dekad satu fasa perjalanan karier yang cukup panjang. Saya juga tidak pernah menyangka memiliki keberuntungan dicintai peminat yang tidak pernah berhenti menyokong saya sejak 40 tahun lepas."
“Ini adalah anugerah buat saya. Keberadaan empat dekad saya dalam industri seni muzik nusantara juga bukan kerana saya seorang tetapi saya telah bertuah kerana mendapat khidmat ramai yang membantu karier saya sehingga kini." Tambahnya lagi.
Mengemudi konsert ini ialah Mac Chew sebagai pengarah muzik bersama kolaborasi Jenny Chin dan pemuzik lainnya. Manakala Jennifer Thompson akan mengemudi acara konsert ini. Tiket dijual pada harga bermula RM268 sehingga RM3400 boleh didapatkan terus di laman web Ticket2U.

