
Ke New York untuk bercengkerama atau melimbang atas sebab kerja, datang bertamu dan menginap di hotel Moxy Times Square – mercu tanda yang memusatkan sinergi urban yang inovatif dan stylish.
Selepas merobek langit lebih 24 jam, dari Kuala Lumpur dan kemudiannya tiba di New York, ekspedisi memintas benua ini bukan sekadar penerbangan biasa. Mengabdikan diri untuk bersinggah transit beberapa jam lamanya, mencongak lagi perubahan zon waktu berbancuh dengan kecapaian serta keterujaan, pasti menuntut penghujung yang memiliki kenikmatan yang tidak terkalahkan.
Apalagi tujuan kelana kali ini cukup istimewa: yakni menghadiri New York Fashion Week atau Minggu Fesyen New York. Memprioritikan penginapan selesa dan memastikan keberadaannya bertumpu di lokasi strategik adalah faktor terpenting.

Akhirnya, pilihan jatuh kepada hotel Moxy Times Square, sebuah penginapan yang mencerminkan ritma buana urban, bertenaga serta kreatif dan keserasiannya mengatur sehari suntuk bekerja ketika berlangsungnya Minggu Fesyen New York. Bertempat di 7th Avenue, Moxy Times Square pada awalnya adalah sebuah hotel lama yang berusia lebih seabad dan berteraskan konsep binaan Neo-Renaissance. Pemulihan muka bangunan menudungi usia bangunan, dimodenkan mengikut identiti Moxy.
Setibanya di Moxy Times Square, aspek jaraknya membicarakan kesenangan untuk si perantau yang sejujurnya mendambakan mood di tengah-tengah kota Manhattan. Lebih kurang sembikan ke sepuluh minit berjalan kaki ke Times Square, cukup dekat dengan Herald Square, tren bawah tanah pula hanya beberapa langkah, diversifikasi restoran serta kafe, flagship stores dan juga berhampiran dengan teater-teater Broadway.
Fleksibiliti buat perantau-perantau seperti saya yang datang untuk bekerja seraya berlibur. Di sela-sela kepadatan jadual Minggu Fesyen New York, mudah untuk saya bertemasya sebentar menikmati kopi, mengitari Midtown atau sekadar keluar untuk menyerap energy kota.
BERJIWA MUDA!
Seperkara tentang Moxy Times Square adalah kesempurnaan visualnya yang menggugah jiwa muda dan ia bertunas kepada pengalaman immersive. Hotel ini direka oleh studio reka bentuk yang cukup dikenali, yakni Yabu Pushelberg, yang cukup bijak menyebatikan estetika New York industrial dengan sentuhan yang playful.
Sudut lobi Moxy Times Square serasa ruang komuniti kasual dan ditambah lagi sudut menunggu di aras dua yang bercantuman dengan Bar Moxy. Konsep ‘terbuka’ membenarkan penginap-penginap menggunakan sudut tersebut untuk bersosial, bekerja mahupun bersantai.
Kamar tidurnya sangat ‘pintar’. Ia menyalakan ingatan yang kamar tidurnya seumpama sudut persendirian yang terasa amat peribadi, lingkungan selesa untuk menenggelamkan gangguan persekitaran. Ruang dalaman kamar tidurnya cukup minimal, namun tidak menyingkir kefungsian. Ruangnya tidak perlu berlebih-lebihan dengan gambaran ultra-mewah, cukup sekadarkan mendakap aspek kepraktisan. Perabot-perabotnyamodular, dilengkapi ruang simpanan kreatif dan susun atur dalamannya efisien, menjadikan ia sangat inovatif.
PERSINGGAHAN DI MAGIC HOUR

Konsepnya unik – urban amusement park. Tarikan utama Moxy Times Square adalah bar atas bumbung, Magic Hour yang menjambatani pengunjung-pengunjung dengan panorama luar biasa Manhattan. Pemandangan jelas, bikin rasa terhubung dengan detik keindahan mentari tergelincir, lampu-lampu kota mula bergemerlapan, langit pula bertukar warna dan suasanaya seakan-akan sinematik.
Bar Magic Hour adalah persinggahan petang ke malam yang mengangkut pengunjung-pengunjung untuk meraih pengalaman mengasyikkan. Dengan fantasi tema yang berubah bilamana berganti musim – contohnya, sepanjang bulan Februari sehingga Mac lepas, Magic Hour menerapkan elemen atau installation musim salji, bertemakan Magic Hour Mountain Lodge yang berilhamkan Apsen dengan binaan calet “après-ski” – Magic Hour mengajak pengunjung-pengunjung untuk menghayati pameran interaktifnya.
Berlokasi di atas bumbung menjadikan Magic Hour antara bar yang amat popular di New York, masakan mereka yang datang juga mahu melepaskan peluang menyaksikan kaki langit kota New York seraya menikmati koktel atau moktel. Malah, sepanjang penginapan di sana, saya sendiri pun sempat menghirup minuman moktel tersebut ketika bersinggungan dengan waktu senja.
Secara keseluruhannya, Moxy Times Square mendakap erat tenaga kota New York. Harganya juga berpatutan dan tidak mengesampingkan gaya serta keselesaan. Ia menongkah angin, tidak berpandukan hotel tradisional dan memenangkan aspek komuniti. Seandainya berpeluang ke New York lagi, apakah mahu untuk menginap di Moxy Times Square lagi? Sudah tentu.
Tarikan lain di Moxy Times Square
LEGASEA BAR & GRILL

Bar serta restoran makanan laut dengan koktel menarik, yang menjadi tarikan utama Moxy Times Square
RUANG LOBI ATRIUM

Ruang di aras dua tersedia untuk mereka mahu sekadar bersantai atau ketika menunggu untuk mendaftar masuk
STUDIO SUITE

Bilik suite yang besar, berkeluasan 350 kaki persegi dilengkapi katil saiz king
QUEEN BEDROOM

Berkeluasan 200 kaki persegi khusus untuk mereka yang datang mengembara bersama teman atau si perantau solo









