Langgan

Seni Kehidupan Kota Di SAX Paris

Parisian Luxury Lifestyle
3 minit untuk membaca
Published: July 25, 2026

Berhadapan dengan Menara Eiffel serta hanya beberapa langkah dari Champ-de-Mars yang ikonik, SAX Paris Hotel membiaskan visi kontemporari dan sofistikated tentang kehidupan mewah di salah satu alamat paling prestij di kota Paris.

Menggabungkan gaya hidup mewah dengan aura cool yang effortless, hotel ini menjadi titik pertemuan buat pengembara antarabangsa dan penduduk lokal. Destinasi untuk menginap, menjamu selera, bekerja dan menikmati ritma kota dalam suasana yang tenang serta sarat sofistikasi. Terletak di 7th arrondissement ibu kota Perancis, SAX Paris Hotel merupakan sebahagian daripada koleksi Hilton LXR Hotels & Resorts menjadi destinasi penginapan saya selama empat hari ketika menghadiri Minggu Fesyen Paris awal tahun ini.

Menampilkan galeri seni, bar, taman persendirian, spa, ruang bumbung dengan panorama kota Paris serta restoran Jepun kontemporari, Kinugawa Rive Gauche, setiap ruang di hotel ini direka untuk menawarkan pengalaman percutian yang lebih intim dan eksklusif. Dari seni reka hingga ke seni kulinari, daripada servis hingga suasana, hotel lima bintang ini memberikan interpretasi moden terhadap elegan gaya hidup elegan Perancis dalam menggabungkan budaya, estetika dan hospitaliti dengan cukup halus.

SAX Paris

Warisan Sejarah Kota Paris

Nama ‘SAX’ sendiri membawa kisah yang menarik. Berakar daripada sejarah Paris, kota yang setiap jalanan dan bangunannya mempunyai naratif tersendiri. Nama itu diambil sebagai penghormatan kepada Avenue de Saxe yang ikonik. Ia merujuk kepada Marshal of Saxony, Maurice de Saxe, tokoh ketenteraan Perancis yang terkenal menerusi Battle of Fontenoy pada tahun 1745. Pemilihan nama ini selari dengan tradisi Paris yang menghargai tokoh sejarah melalui pembangunan kota rayanya.

Beralamat di 55 Avenue de Saxe, bangunan ini juga memiliki sejarah yang signifikan. Terletak di salah satu kawasan kejiranan paling elegan di Paris, ia dibina pada tahun 1899 dengan karakter seni bina abad ke-19 dan pernah menjadi sebahagian daripada sejarah komunikasi Perancis. Hari ini, warisan itu dihidupkan semula menerusi transformasi yang menggabungkan seni reka kontemporari dengan hospitaliti mewah, jauh daripada hiruk-pikuk pelancong, namun masih mengekalkan jiwa autentik kota Paris.

Lokasinya yang strategik menjadikan hotel ini berada di tengah-tengah pusat budaya Paris. Jika tidak sibuk menghadiri pertunjukan fesyen sepanjang Minggu Fesyen Paris, saya akan menghabiskan masa di rooftop hotel untuk menikmati panorama latar langit Paris yang cukup memukau, terutamanya ketika matahari terbit dan terbenam di sebalik Menara Eiffel. Dari sini juga, terbentang pemandangan 360 darjah yang merangkumi Sacré Coeur di Montmartre, Pantheon dan Notre Dame. Dari hotel ini juga, saya boleh berjalan kaki ke mercu budaya seperti Musée Rodin dan Musée d'Orsay.

Sentuhan Kontemporari Nan Sofistikated

SAX Paris

Apa yang paling mengagumkan tentang SAX Paris Hotel ialah ketelitian pada setiap perincian. Bilik dan suite menggabungkan sentuhan kontemporari dengan elemen sejarah yang diperkaya. Manakala restorannya meraikan seni kulinari Perancis dengan pendekatan moden yang inovatif. Ia terasa seperti sebuah hidden gem di Left Bank, destinasi sempurna untuk eksplorasi intelektual dan artistik. Dikelilingi institusi budaya, taman, butik artisan dan restoran yang membiaskan Parisian chic sebenar.

Cita rasa luar biasa itu turut diterjemahkan melalui pengalaman kulinarinya. Bermula dengan sarapan pagi berlatarkan Menara Eiffel, sebelum malam bera khir dengan kerlipan cahaya ikonik kota Paris. SAX Paris Hotel seolah-olah menetapkan standard baharu untuk pengalaman gastronomi di pusat 7th arrondissement ini.

Setiap pagi sebelum memulakan jadual minggu fesyen, ritual saya bermula dengan kopi dan croissant sambil menikmati suasana pagi kota Paris. Pengalaman sarapan di Kinugawa Restaurant yang terletak di aras atas hotel terasa cukup istimewa. Dengan latar Menara Eiffel yang dramatik sambil menikmati pastri segar, jus buahan dan coklat panas terkenal dari Angelina Paris.

Kawasan kejiranan ini juga cukup sempurna untuk membeli-belah. Dari fesyen hingga dekorasi dalaman dan objek seni, setiap butik mempunyai karakter tersendiri. Sarah Lavoine misalnya menawarkan seleksi perabot dan objek reka bentuk dengan estetika Paris kontemporari yang chic. Dan tentunya, kunjungan ke Left Bank tidak lengkap tanpa singgah ke Le Bon Marche iaitu gedung beli-belah ikonik yang menjadi simbol gaya hidup mewah Paris. Tidak jauh dari hotel, Galignani Bookstore iaitu antara kedai buku tertua di Paris, menjadi syurga buat pencinta buku. Sementara Saxe-Breteuil Market pula menawarkan pengalaman pasar tempatan yang lebih autentik dan dekat dengan kehidupan warga Paris.

SAX Paris

Untuk menikmati waktu rehat yang lebih tenang, taman di SAX Hotel menghadirkan sebuah oasis hijau di tengah kota. Direka oleh Studio Ravn dengan inspirasi taman klasik Perancis, ruang ini memberikan ketenangan yang terasa jauh daripada kesibukan Paris, sekali gus mendefinisikan semula makna kemewahan moden. Dan apabila matahari mula terbenam, rooftop SAX Paris Hotel berubah menjadi antara lokasi paling mempesona di City of Lights. Menikmati sajian Jepun di Kinugawa Rive Gauche sambil menyaksikan kerlipan Menara Eiffel terasa seperti sebuah adegan filem Perancis yang sempurna.

Untuk menikmati Paris seperti seorang lokal, anda perlu memperlahankan langkah dan benar-benar menghayati ritma budaya serta gaya hidup kota ini. Dalam pencarian pengalaman Paris yang autentik dan penuh elegan, SAX Paris Hotel hadir sebagai destinasi yang cukup sempurna.

ADVERTISEMENT
Topics: ,
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down