Langgan

Anne Hathaway Hamil Pada Usia 43 Tahun. Mengapa Kehamilan Selepas 40 Kini Menjadi Normal Baharu?

What biological clock?
2 minit untuk membaca
Published: June 25, 2026

Daripada Anne Hathaway yang bakal menyambut cahaya mata ketiga pada usia 43 tahun hingga Sienna Miller yang mengembangkan keluarga pada usia 44 tahun, semakin ramai wanita membuktikan bahawa perjalanan menjadi ibu tidak lagi terikat pada satu garis masa.

Selama bertahun-tahun, masyarakat sering meletakkan jangkaan bahawa usia 30-an adalah "masa terbaik" untuk berkahwin dan mempunyai anak. Namun, landskap moden memperlihatkan naratif yang semakin berbeza. Hari ini, wanita memilih untuk membina kerjaya, mengejar impian dan mengenali diri sendiri terlebih dahulu sebelum melangkah ke fasa seterusnya dalam kehidupan.

Dan secara tidak langsung, Hollywood menjadi cerminan kepada perubahan ini.

Baru-baru ini, Anne Hathaway mengejutkan peminat apabila mengumumkan bahawa dia sedang hamil anak ketiga pada usia 43 tahun. Menerusi sebuah video yang sederhana, pelakon yang sinonim dengan gaya elegan itu memperlihatkan baby bump dalam persalinan putih yang minimalis, membuktikan bahawa keibuan dan keyakinan diri boleh berjalan seiring.

Tidak lama sebelum itu, Sienna Miller, 44, turut menyambut kelahiran anak ketiganya. Dalam beberapa perkongsian online, pelakon itu berkongsi bahawa pengalaman menjadi ibu pada usia 40-an jauh lebih tenang dan bermakna berbanding ketika dia pertama kali bergelar ibu pada usia 20-an.

Generasi Baharu Yang Memilih Mengikut Rentak Sendiri

Perubahan ini bukan sekadar trend dalam kalangan selebriti Hollywood, malah mencerminkan realiti yang semakin biasa berlaku.

Ramai wanita kini memilih untuk memberi fokus kepada pendidikan, kerjaya, kestabilan kewangan dan perkembangan diri sebelum memikirkan soal keluarga. Keputusan untuk menjadi ibu pada usia yang lebih matang bukan lagi sesuatu yang luar biasa, sebaliknya satu pilihan yang semakin diterima.

Selain Anne Hathaway dan Sienna Miller, beberapa nama besar turut membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk menikmati fasa keibuan.

Hilary Swank menyambut kelahiran anak kembar pada usia 48 tahun, Rachel Weisz melahirkan anak pada usia 48 tahun, manakala Janet Jackson menjadi ibu buat kali pertama pada usia 50 tahun. Naomi Campbell pula memilih untuk membina keluarganya pada usia 50-an, sekali gus membuka ruang kepada perbincangan yang lebih luas tentang pilihan wanita moden.

Keibuan Yang Hadir Bersama Keyakinan

Apa yang menarik, ramai dalam kalangan mereka menggambarkan pengalaman menjadi ibu pada usia matang sebagai sesuatu yang lebih bermakna.

Sienna Miller sendiri pernah berkongsi bahawa dia kini lebih sabar, lebih yakin dan tidak lagi terlalu memikirkan persepsi orang lain. Jika dahulu dia berasa perlu membuktikan dirinya sebagai ibu yang sempurna, kini dia lebih menghargai setiap detik bersama keluarga tanpa tekanan yang tidak perlu.

Anne Hathaway juga pernah menyuarakan bahawa perjalanan untuk mendapatkan zuriat bukanlah pengalaman yang sentiasa indah seperti yang sering digambarkan di media sosial. Dengan pengumuman kehamilan terbaharunya, dia sekali lagi mengingatkan bahawa setiap perjalanan wanita adalah unik dan tidak wajar dibandingkan.

Tiada Lagi Konsep "Terlambat"

Hakikatnya, semakin ramai wanita hari ini memilih untuk mengikut masa mereka sendiri, bukannya mengikut jangkaan masyarakat.

Walaupun aspek kesihatan dan kesuburan masih menjadi faktor penting yang perlu dipertimbangkan, kemajuan dalam dunia perubatan serta perubahan gaya hidup telah membuka lebih banyak pilihan untuk wanita yang ingin membina keluarga pada usia lebih matang.

Kerana akhirnya, kehidupan bukan perlumbaan untuk mencapai sesuatu sebelum usia tertentu. Sebaliknya, ia adalah perjalanan yang bergerak mengikut rentak sendiri, dengan setiap wanita berhak menentukan bila masanya sesuai untuk memulakan bab yang paling bermakna dalam hidup mereka.

ADVERTISEMENT
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down