Langgan

Kanta Studio: Mengabadikan Kenangan dan Menyambung Legasi

Kanta Saksi Sejarah
4 minit untuk membaca
Published: August 12, 2026
Sumber: Instagram (@initheakl)

Jeffrey Lim, pengasas bagi Kanta Studio, memulakan langkahnya ke dalam dunia fotografi  dengan usaha memahami identiti sendiri. Membesar dalam masyarakat Malaysia yang berbilang budaya, dia sering berdepan persoalan tentang asal-usulnya. “Saya tidak boleh berbahasa Cina dan saya tidak membesar dalam budaya itu tetapi saya masih dilabel sebagai Cina,” katanya. Persoalan itu mendorongnya menelusuri sejarah keluarganya menerusi ‘Projek Roots’. Walaupun keluarganya tidak mempunyai latar belakang sebagai jurugambar, himpunan foto hitam putih peninggalan keluarga membuka lembaran baru dalam pencariannya. Melalui foto-foto itulah Jeffrey mula menghargai sejarah yang dirakam dan menyedari bahawa fotografi bukan sekadar medium untuk merakam detik, tetapi juga ruang untuk memahami asal-usul serta mengekalkan legasi keluarga.

Menelusuri Akar Melalui Lensa

Jeffrey Lim
Sumber: Instagram (@_kanta.studio)

Penjelajahan itu bukan sahaja membawanya menghargai sejarah yang terakam dalam setiap keping gambar, malah mendorongnya mempelajari teknik fotografi filem dan bilik gelap bagi meneruskan legasi tersebut. Dari situ, pencariannya berkembang melangkaui keluarganya apabila dia mengembara ke seluruh Malaysia untuk melawat perkampungan Orang Asli bagi mengenali budaya mereka. Perjalanan inilah yang akhirnya melahirkan ‘Projek Kanta’, dinamakan sempena bahagian lensa atau kanta kamera. “Menerusi lensa yang berlainan, perspektif terhadap dunia dapat berubah,” jelasnya.

Projek Potret Jalanan
Sumber: Instagram (@_kanta.studio)

Pada peringkat awal, Jeffrey mengembara dengan kamera buatan sendiri. Daripada empat kamera rekaannya, hanya dua berjaya mengambil gambar dan masih berfungsi sehingga hari ini. Salah satu kamera awalnya dicipta daripada bahagian kamera vintaj dan sebuah tin minyak. Di dalam tin minyak itu jugalah gambar diambil dan dicetak. Apabila ditanya tentang jumlah koleksi kameranya sekarang, Jeffrey hanya ketawa. “Saya hilang kiraan,” katanya. Selalunya dia mengumpul kamera vintaj untuk dijadikan sumber alat ganti atau dipulihkan semula. Namun, apabila diperkenalkan kepada sebuah kamera dari sekitar tahun 1920-an bermodelkan kamera 1880-an, dia pada mulanya tidak berkenan. “Jenis kamera ini sebenarnya tak seberapa jarang seperti yang disangka,” jelas Jeffrey. “Saya boleh mengira dengan dua tangan berapa banyak yang telah saya lihat. Selalunya ia hanya dipamerkan di muzium atau kedai antik.”

Perjalanan Sebuah Kamera

K
Kamera abad ke-19 di Kanta Studio

Pada tahap itu, baginya kerja pemulihan kamera tersebut terlalu rumit serta memerlukan masa dan kos yang tinggi. Namun, apabila berpeluang menerima Geran Kreatif KL, dia mula merancang pembukaan sebuah studio fizikal. Walau bagaimanapun, Jeffrey mahu menenun sebuah naratif yang lebih mendalam di sebalik pembukaan studio tersebut. Walaupun telah lama menggunakan kamera dan teknik fotografi vintaj, dia mahukan satu cabaran baharu. Jeffrey teringat semula kamera yang berusia lebih 100 tahun yang sebelum ini tidak diendahkannya. Dia lebih tertarik setelah mengkaji lagi latar belakang kamera itu.

Berasal dari Beruas, Perak, kamera itu digunakan di sebuah studio sehingga sekitar tahun 1985. Selepas pemergian pemiliknya, kamera tersebut muncul di pasaran barangan antik sebelum akhirnya tiba di tangan Jeffrey. Walaupun nama studio dan pemilik asalnya telah dilupakan sejarah, hasil fotografi yang berkekalan sehingga hari ini dapat dijejak semula ke bandar kecil di Perak itu, membuktikan kamera itu digunakan selama bertahun-tahun untuk merakam kehidupan dari generasi ke generasi. Peluang melalui Geran Kreatif KL menyediakan lebih banyak sumber untuk Jeffrey memulihkan kamera itu, sekali gus mengekalkan legasinya. Selepas hampir setahun membaik pulihnya, Kanta Studio akhirnya dirasmikan pada September 2025.

Fotografi dalam Eranya

Kamera yang kini beroperasi di Kanta Studio ini telah mengekalkan hampir keseluruhan ciri asalnya, namun terdapat juga penambahbaikan dari segi teknikal kerana teknologi moden hari ini. Menurut Jeffrey proses penggambaran kamera sebegini memerlukan cahaya yang banyak, oleh itu studio fotografi lama atau kedai gambar pada zaman itu terletak dibahagian loteng dimana cahaya matahari memancar kuat. Keperluan cahaya ini juga menyebabkan proses merakam gambar itu juga perlahan. Pada ketika itu, untuk satu shot sahaja, subjek tidak boleh bergerak selama 20 saat. Inilah sebabnya kita jarang melihat orang senyum dalam gambar pada era ini. Malah ada juga alat untuk menyandar kepala bagi mengekalkan posisi sepanjang penggambaran. Segalanya berubah dengan kewujudan flash. Kini kamera ini tidak lagi bergantung kepada cahaya matahari dan gambar juga dapat ditangkap serta-merta.

Zaman moden bukan sahaja membawa perubahan teknikal kepada medium bersejarah ini, terdapat juga perbezaan dari segi budaya. Fotografi dahulunya hanya mampu dinikmati oleh golongan atasan untuk merakam potret perkahwinan atau upacara pengebumian. Kebanyakannya juga digunakan untuk merakam potret perempuan. “Mereka akan menyarung persalinan dan perhiasan terbaik dengan tujuan untuk menunjuk calon suami mereka,” kata Jeffrey. Sekarang semua orang bebas bergambar untuk apa-apa tujuan sahaja bukan sahaja dengan menggunakan peranti pintar mereka tetapi juga di Kanta Studio. 

Bukan Sekadar Gambar

Persoalannya, mengapakah ramai orang begitu tertarik kepada medium vintaj ini? Jawapannya tidak terletak pada usia kamera atau keunikan tekniknya tetapi pada hubungan yang diwujudkan antara manusia. Jeffrey mengutarakan kegembiraannya melihat pelanggan yang datang membawa ahli keluarga untuk bergambar bersama. Ada juga yang meminta untuk menghasilkan semula potret nenek moyang mereka. Baginya, teknologi akan terus berubah, namun nilai sesebuah gambar tidak bergantung pada kecanggihannya. Sebaliknya, ia terletak pada kemampuannya untuk menjadi sebahagian daripada sejarah sebuah keluarga. “Saya berharap budaya merakam potret bersama dan menyimpan kenangan itu akan terus kekal. Ia tidak semestinya menggunakan kamera ini, malah kamera moden juga boleh,” katanya.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down