
Bila berbicara tentang vokal dan kehadiran pentas yang mempesona, nama Salamiah Hassan dan Atilia Haron sentiasa menjadi sebutan peminat seni Malaysia. Atilia yang terkenal dengan suara lembut bernuansa jazz telah mencipta nama dalam industri muzik tanah air menerusi lagu-lagu seperti ‘Indah’ dan ‘Gelombang’. Gabungan unik jazz kontemporari dan pop menjadikan Atilia antara penyanyi paling serba boleh dalam generasinya.
Sementara itu, ibunya Salamiah sememangnya dianggap sebagai seorang legenda. Dengan kerjaya seni yang menjangkau lebih lima dekad, Salamiah telah menawan hati pendengar sejak era 1970-an dan tahun ini menandakan ulang tahun ke-55 nya dalam industri muzik, satu pencapaian luar biasa yang membuktikan bakat dan pengaruhnya kekal relevan.
Dalam kolaborasi yang sangat dinanti-nantikan ini, kedua-dua artis bakal bergabung dalam konsert bersama mereka, ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’, yang dijadualkan berlangsung bulan ini. Persembahan istimewa ini menjanjikan sebuah perjalanan emosi melalui kisah peribadi dan muzik mereka, sekali gus memberi peluang kepada peminat untuk menyelami ikatan mendalam yang menjadi nadi seni mereka. Menjelang konsert istimewa ini, kami berkesempatan berbicara bersama Atilia dan Salamiah untuk mendengar tentang persiapan mereka serta makna sebenar berkongsi pentas sebagai ibu dan anak.

ELLE: Atilia sudah banyak kali berkongsi pentas bersama ibu tetapi ini merupakan konsert penuh pertama bersama. Apa yang menjadikan ‘Konsert Gelombang Bahagiaku’ begitu bermakna?
Atilia: Konsert ini cukup istimewa kerana ia meraikan perjalanan kami sebagai ibu dan anak, juga sebagai artis. Berkongsi pentas dalam sebuah konsert penuh membolehkan kami menceritakan kisah kami, honour our bond dan menyampaikan rasa cinta kami terhadap muzik kepada para peminat dengan cara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
E: Apakah reaksi pertama Salamiah apabila idea konsert ini mula-mula dibangkitkan?
Salamiah: Sejujurnya, reaksi pertama saya adalah rasa syukur kerana dikurniakan seorang anak yang juga seorang penyanyi dan penghibur dan kini kami berpeluang untuk tampil bersama di hadapan para peminat dan rakan-rakan.
E: Apakah yang paling anda nantikan dalam konsert ini?
S: Saya sangat teruja kerana ini merupakan kali pertama kami benar-benar diberi peluang untuk berkongsi rasa cinta kami terhadap muzik dalam sebuah konsert. Walaupun kami pernah berkolaborasi sebelum ini, kami tidak pernah tampil di pentas konsert berskala sebesar ini. Ia membuatkan saya berasa lebih tenang kerana kami saling menyokong antara satu sama lain.
E: Boleh ceritakan sedikit tentang proses kreatif dalam menyusun senarai lagu untuk konsert ini?
A: Kami mahu senarai lagu ini mencerminkan perjalanan individu kami serta pengalaman yang kami kongsi bersama. Kami banyak mengimbas kenangan tentang lagu-lagu yang bermakna dan memilih dengan teliti lagu-lagu yang mewakili pelbagai fasa kehidupan kami. Proses ini sangat kolaboratif, penuh dengan tawa and a few debates!

E: Apakah maknanya bagi Salamiah dapat berkongsi pentas dengan Atilia pada tahap ini dalam kerjaya anda?
S: Ia sangat besar maknanya untuk kami berdua. Dalam industri muzik Malaysia, tidak ramai penyanyi ibu dan anak, apatah lagi yang masih aktif. Secara peribadi, ini adalah pencapaian yang sangat penting bagi saya. Setelah 55 tahun dalam industri, saya diberi peluang yang sangat jarang berlaku untuk mencipta sejarah sebagai konsert ibu-anak pertama dalam arena muzik Malaysia.
E: Adakah Atilia dan Salamiah mempunyai apa-apa ritual sebelum naik pentas?
A: Ya, kami selalu mengambil sedikit masa untuk berpegangan tangan, membaca doa ringkas dan saling mengingatkan supaya berseronok serta menikmati saat di pentas. Ia membantu menenangkan kami dan keeps us grounded.
E: Apakah surprise atau momen istimewa yang boleh peminat nantikan dalam konsert ini?
A: Without giving too much away, peminat boleh menjangkakan beberapa duet yang unexpected, cerita peribadi di sebalik lagu-lagu dan kehadiran tetamu istimewa. Kami mahu malam itu terasa intim dan penuh dengan kegembiraan.
E: Apakah cabaran terbesar dalam persiapan konsert ini?
A: Menyelaraskan jadual kami yang berbeza dan menyatukan idea kreatif masing-masing memang mencabar! Selain itu, memastikan keseluruhan konsert berjalan lancar dan terasa menyatu sambil tetap membiarkan keperibadian kami bersinar memerlukan banyak perancangan dan kompromi.
E: Apakah yang Atilia harap penonton rasakan atau bawa pulang selepas menonton konsert?
A: Saya berharap mereka pulang dengan perasaan terinspirasi dan bersemangat serta mendapat penghargaan yang lebih mendalam terhadap kuasa muzik dan kasih sayang keluarga. Saya mahu mereka benar-benar merasai ikatan yang kami kongsi dan mungkin teringat akan hubungan istimewa mereka sendiri.
E: Bagaimana hubungan Salamiah dengan Atilia berkembang melalui muzik?
S: Sebagai individu, saya dan Atilia memiliki keperibadian dan minat yang berbeza. Namun, minat dan kecintaan kami terhadap muzik yang menjadi pengikat utama. Dengan cara yang sangat unik dan istimewa, kecintaan terhadap performing ini telah menjadi benang yang menenun hubungan antara seorang ibu dan anak.
E: Apakah nasihat yang selalu Salamiah berikan kepada Atilia sebelum dia membuat persembahan?
S: To enjoy herself. Sebagai seorang artis dan performer, tenaga positif yang kita salurkan kepada peminat sama pentingnya dengan persediaan teknikal. Peminat akan sentiasa menghargai kegembiraan yang kita bawa.
Baca artikel penuh menerusi majalah ELLE Malaysia, isu Ogos 2025 di pasaran sekarang.

