2025 menjadi tahun baik pemuzik muda tempatan khususnya dalam membentuk satu landskap baru muzik Pop dengan citarasa muzik terkini. Berikut senarai lagu-lagu yang paling tinggi jumlah penstriman digital tahun ini.
P RAMLEE SALOMA (ALPHA)
Mula diperkenalkan daripada program pencarian bakat Big Stage, ALPHA mencuri tumpuan dengan single perdana "Bang Bang" namun cukup digilai dengan single kedua mereka berjudul "P Ramlee Saloma" yang sehingga hari ini sudah distrim lebih 11 Juta kali di Spotify dan tontonan muzik video rasmi melebihi 3 Juta di YouTube.
MENJAGA JODOH ORANG LAIN (ARA JOHARI)
Bakat bermuziknya semakin diperakui dengan penghasilan single "Menjaga Jodoh Orang Lain" yang sehingga hari ini sudah distrim melebihi 20 Juta kali di Spotify. Lagu yang diedarkan tahun lalu ini semakin mencuri perhatian tahun ini. Ara turut mengedarkan sebuah lagi single baru berjudul "Terlalu Bodoh".
BUKAN LAGI KITA (NADEERA)
Ledakan populariti "Bukan Lagi Kita" tidak terhenti di awal tahun sahaja. Nadeera yang semakin laris sepanjang tahun ini terus diraikan dengan single yang sudah distrim lebih 20 Juta kali di Spotify. Manakala muzik video rasminya di YouTube sudah ditonton sebanayk 24 Juta kali.
RAHSIA TUHAN (NOH SALLEH)
Noh terus melewati perjalanan bermuziknya dengan begitu disenangi. "Rahsia Tuhan" sebuah kelangsungan bermuzik yang cukup kuat untuk mengukuhkan statusnya sebagai pemuzik establish. Lagu ini menjadi antara lagu yang paling kerap dimainkan di Spotify - melebihi 26 Juta kali dan muzik videonya ditonton lebih 13 Juta pengguna YouTube.
BINTANG (BUDAK KACAMATA)
Trend lagu-lagu lama kembali popular diteruskan dengan single "Bintang" yang dirakamkan kumpulan Budak Kacamata berjudul "Bintang". Cukup popular di kalangan pengguna TikTok sehingga menghasilkan versi baru yang dirakam penyanyi pelapis Haqiem Rusli, Tajul dan Afiq Syazwan dengan rendisi terbaru.
SENI BERDAMAI DENGAN TAKDIR (NAIM DANIEL)
Naim Daniel kembali mengungguli carta muzik tahun ini dengan single paling berjayanya bersama Adnin Roslan menerusi melodi penyembuhan "Seni Berdamai Dengan Takdir". Lagu ini meneruskan kelangsungan populariti sebuah lagi lagu Naim tahun ini iaitu "Lagu Lelaki Gila".

