Langgan

Hari Afrika 2025: Sambutan Warisan, Perpaduan dan Hubungan Global di Kuala Lumpur

Hari Afrika 2025 bukan sahaja meraikan Afrika—ia juga menyatukan dunia.
Oleh | TERJEMAHAN NurHani Natasha
2 minit untuk membaca
Published: May 20, 2025

Hari Afrika kembali lagi ke Kuala Lumpur pada 28 Mei 2025, membawa bersamanya satu perayaan yang penuh makna dan kenangan. Bertempat di Hotel InterContinental, acara ini bukan sekadar tarikh dalam kalendar – ia adalah penghormatan kepada seluruh benua Afrika, dengan sejarah, semangat dan masa depan yang cerah.

Gambar: Ihsan Clubhotel

Menghargai Sejarah & Matlamat Bersama

Disambut setiap tahun, Hari Afrika memperingati penubuhan bersejarah Pertubuhan Kesatuan Afrika (OAU) pada tahun 1963, yang kini dikenali sebagai Kesatuan Afrika (AU). Sejak itu, ia telah berkembang menjadi sebuah platform dinamik untuk merapatkan jurang budaya dan membuka ruang dialog antara Afrika dan Asia Tenggara, dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam hubungan tersebut.

Memperkukuh Hubungan Malaysia-Afrika

Edisi tahun ini menumpukan perhatian kepada kerjasama melalui forum bertaraf tinggi dan ucapan daripada tokoh-tokoh terkemuka. Perbincangan akan menjurus kepada peluang dua hala dalam bidang pendidikan, perdagangan dan pelaburan—tiga bidang utama yang mempunyai potensi besar untuk kerjasama antara Malaysia dan negara-negara Afrika. Topik-topik ini sejajar dengan Agenda 2063 Kesatuan Afrika, sebuah pelan induk jangka panjang yang bertujuan untuk pembangunan inklusif dan mampan di seluruh benua tersebut.

Gambar: African map logo/freepik

Meriah Dengan Budaya & Identiti Afrika

Namun, Hari Afrika bukan hanya tentang diplomasi dan dasar luar. Ia juga merupakan pentas yang menyerlahkan kekayaan budaya Afrika yang tidak ternilai—daripada seni, muzik, dan fesyen, sehinggalah kepada makanan dan gaya hidup. Para tetamu akan disajikan dengan pelbagai pengalaman yang mendidik dan menghiburkan: irama gendang yang menggamit jiwa, pakaian tradisional yang berwarna-warni, muzik yang merdu serta hidangan autentik dari pelbagai negara Afrika. Daripada nasi jollof Senegal sehinggalah kepada upacara kopi Ethiopia.

Perayaan Untuk Semua

Bagi rakyat Malaysia, ini adalah peluang istimewa untuk menyelami perspektif yang berbeza—mengenali Afrika bukan sebagai satu entiti tunggal, tetapi sebagai gabungan 54 negara yang kaya dengan pelbagai etnik, kisah dan aspirasi. Dalam dunia yang semakin saling terhubung, sambutan ini turut mengiktiraf peranan penting kerjasama antarabangsa dalam membentuk masa depan yang lebih baik, bukan sahaja untuk Afrika dan Malaysia, tetapi juga untuk dunia keseluruhannya.

Artikel asal: Grazia Malaysia

Hari Afrika 2025 adalah acara yang sukar untuk dilepaskan—gabungan unik antara diplomasi dan keraian yang mencerminkan semangat benua yang sedang bangkit. Sama ada anda seorang pelajar hubungan antarabangsa, pencinta budaya, atau hanya ingin mencuba sesuatu yang baharu, acara ini memberi peluang istimewa untuk menghargai warisan Afrika dan sumbangan rakyatnya di seluruh dunia.

Artikel asal daripada Grazia Malaysia.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down