Langgan

Mirsham Habib Membahas Inisiatif HARTA dalam Memelihara Seni dan Budaya Malaysia

Tribut kepada kesenian tempatan di mana seni dan budaya menjadi bersatu.
6 minit untuk membaca
Published: September 8, 2024

Gambar: luxuo.com

Jenama barang kemas mewah milik syarikat Malaysia, HABIB telah melancarkan HARTA yang diambil daripada singkatan 'Habib: Action for Revival of our Traditions Arts'. Ia adalah inisiatif beliau untuk meraikan seni budaya asal usul Peranakan. Syarikat HABIB bukan sahaja terkenal dengan seni pertukangan yang sangat indah malah mereka komited dalam memelihara dan menghidupkan kembali tradisi dan seni Malaysia. Sebagai seorang yang berasal dari Pulau Pinang, beliau berusaha untuk mempersembahkan kekayaan budaya Malaysia kepada masyarakat. HARTA terdiri daripada tiga komponen utama. Yang pertama adalah muzium yang mempamerkan keindahan warisan Peranakan dengan pelbagai etnik. Muzium ini menyajikan lebih daripada 800 koleksi unik yang telah dikumpulkan selama 65 tahun, menggambarkan keagungan dan kekayaan budaya Peranakan. Bagi melengkapkan pengalaman di Muzium HARTA, sebuah galeri seni telah ditubuhkan sebagai platform utama untuk mempamerkan karya-karya kontemporari para artis dan artisan di Malaysia. Di galeri ini, pengunjung dapat menikmati karya eksklusif daripada 16 artis berbakat. Selanjutnya, mereka boleh singgah di kafe untuk menikmati pelbagai sajian yang memikat selera, sambil berdiskusi mengenai budaya Malaysia, baik yang lampau mahupun yang terkini.

LUXUO berkesempatan berbicara secara eksklusif bersama Mirsham Meer, Pengarah HARTA, mengenai minat beliau terhadap seni kontemporari Malaysia, idea di sebalik konsep HARTA, dan usahanya untuk menghidupkan semula minat generasi muda terhadap warisan budaya serta seni tempatan.

Sejak bila anda mula menunjukkan minat terhadap seni tempatan?

Sejak kecil, ibu bapa saya telah mendedahkan kami dalam dunia seni, khususnya seni Malaysia. Mereka telah lama mengumpul karya seni sejak zaman saya masih kecil dan telah menjalin hubungan rapat dengan beberapa artis.

Ibu bapa saya sentiasa berbangga menjadi rakyat Malaysia dan komited dalam memelihara sejarah negara ini. Mereka ingin generasi yang akan datang memahami budaya, tradisi, dan sejarah kita.

Bagaimanakah seni mendorong anda bersama keluarga untuk merancang penubuhan Muzium dan Galeri Seni HARTA?

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 HABIB. Ketika kami memikirkan matlamat jenama kami yang melangkaui aspek kewangan, kami memutuskan untuk menjadikan jenama ini sebagai agen untuk meningkatkan rasa kecintaan rakyat Malaysia terhadap negara kita, melalui pendidikan dan pendedahan generasi muda Malaysia kepada tradisi dan seni kita, sehingga lahirlah HARTA.

Gambar: luxuo.com

Adakah ini menghubungkan anda dengan warisan diri anda serta legasi datuk anda yang mengasaskan Kumpulan Habib?

Sudah tentu! Datuk saya memulakan perniagaan ini 65 tahun yang lalu dan berperanan penting dalam membentuk industri perhiasan barang kemas di Malaysia, khususnya di negeri-negeri utara seperti Pulau Pinang, Kedah, dan Kelantan.

Datuk saya amat berbangga menjadi seorang rakyat Malaysia dan pastinya beliau akan berasa sangat gembira melihat tradisi serta warisan kita diteruskan kepada generasi muda.

Apa yang mendorong anda untuk memupuk minat yang begitu mendalam terhadap seni kontemporari Malaysia?

Selain daripada pendedahan yang kami terima semasa membesar, saya juga pernah tinggal di United Kingdom selama beberapa tahun. Di sana, saya berpeluang melihat beberapa karya seni paling terkenal dalam sejarah (Muzium Tate Modern hanya 10 minit berjalan kaki dari universiti saya). Inilah saat di mana minat saya terhadap dunia seni semakin mendalam. Ia menjadi satu obsesi. Setelah berpindah kembali ke Kuala Lumpur pada tahun 2019, saya berhasrat untuk benar-benar mengenali dunia seni serta berkenalan dengan pemilik galeri dan artis di sini. Ramai golongan muda kini mula meminati bidang seni, jadi rasanya ini adalah waktu yang sangat menarik dan tepat untuk terlibat dalam dunia kreatif, sama ada sebagai artis, pemilik galeri, pengumpul, atau penggemar. Galeri-galeri baru kerap muncul beberapa bulan sekali, dan setiap hujung minggu ada pameran baru untuk dikunjungi. Suasana ini benar-benar membuat saya rasa teruja.

Gambar: luxuo.com

Malaysia mempunyai ramai artis berbakat, jadi apa kriteria anda dalam memilih artis baharu untuk dipersembahkan dalam galeri?

Kami ada dua tujuan utama untuk galeri kami:

  1. Untuk memberi lebih peluang kepada seniman tempatan.
  2. Untuk mengalakkan lebih ramai orang untuk menghargai seni Malaysia. 

Jadi, bila kami rancang pameran dan program untuk galeri, kami pastikan ia dibuat dengan jelas, mudah difahami, dan menarik untuk memikat minat penggemar seni baharu. Kami mahu mempamerkan artis terkenal dan bakat muda, kerana setiap satu mempunyai tujuan yang berbeza. Pendedahan kepada artis baru dapat membantu mereka membina kerjaya, sementara pameran artis yang sudah mampan pula boleh menarik minat orang ramai dan memberi inspirasi kepada artis muda.

Nampaknya anda sangat suka berinteraksi dengan golongan muda yang suka dengan karya seni. Jadi, boleh kongsikan lebih lagi tentang usaha ini?

Kami ingin generasi muda di Malaysia kagum dengan warisan dan seni tempatan. Seperti yang saya sebut tadi, kami mahu bantu membangkitkan rasa bangga terhadap negara kita, terutama dalam kalangan generasi muda.

Negara kita kaya dengan sejarah dan mempunyai warisan budaya yang sangat luas. Bukan itu sahaja, kita juga dikelilingi oleh artis-artis hebat yang menceritakan kisah mereka melalui karya seni yang mengagumkan. Saya benar-benar percaya bahawa artis-artis kita bertaraf antarabangsa, cuma mereka belum mendapat peluang yang sewajarnya. Di HARTA, kami berharap usaha kami dapat membantu mereka melangkah ke tahap seterusnya dalam mengembangkan seni Malaysia.

Gambar: luxuo.com

Ceritakan pameran-pameran yang sedang berlangsung di galeri seni menginterpretasikan konsep simbolik mengenai rumah?

Di galeri kami, kami tidak menguruskan pameran kami sendiri kerana kami lebih suka bekerjasama dengan kurator dan galeri luar yang mempunyai pandangan yang lebih tajam dalam dunia seni. Pameran pertama kami dikurasi oleh Aminah Ibrahim, 'freelance curator' di KL yang sebelum ini bekerja dengan A+ Gallery.

Pameran pertama HARTA berjudul 'Open House'. Pameran ini meneroka ruang rumah Malaysia sebagai sumber inspirasi dan aspirasi, memberikan pandangan lebih mendalam tentang kekayaan dalam kehidupan seharian. Pameran ini menampilkan karya multimedia oleh artis-artis seperti Azzah Sultan, Bayu Atom Radjikin, Chong Yan Chuah, Fawwaz Sukri, Gan Tee Sheng, James Seet, Nadirah Zakariya, Raimi Saini, Umi Baizurah, dan Yuki Tham, serta karya-karya daripada koleksi HARTA sendiri oleh Ahmad Zakii Anwar, Atiqah Khairul Anwar, Ismail Awi, Jalaini Abu Hassan, Lee Long Looi, dan Yee I-Lann. Pameran ini, ibarat sebuah rumah, dibahagikan kepada beberapa 'ruang': Dapur, Ruang Tamu, Bilik Tidur, dan Taman. Setiap ruang menggali aspek-aspek berbeza tentang kehidupan seharian. Para pengunjung boleh bebas menjelajah dan menyelami pelbagai cerita, objek, teknologi, emosi, dan sejarah yang dipamerkan oleh artis-artis.
Di Malaysia, 'Open House' sangat penting kerana kita suka menyambut keluarga, kawan, dan kenalan ke rumah. Kami rasa cara terbaik untuk memperkenalkan HARTA adalah dengan pendekatan yang mesra dan mudah didekati.

Boleh kongsikan lebih lanjut mengenai karya seni menakjubkan yang pernah anda comissioned daripada Najib?
Najib Ahmad Bamadhaj adalah seorang artis yang luar biasa dan saya benar-benar meminati karya-karyanya. Kami telah menjemput beliau untuk menghasilkan 'Kebaya Series', sebuah karya seni istimewa yang memaparkan tiga model dari pelbagai kaum yang mengenakan kebaya tradisional dan perhiasan Peranakan dari koleksi muzium kami. Kebaya adalah elemen yang unik dan universal dalam budaya kita, kerana ia boleh digayakan oleh sesiapa sahaja. Kami percaya ini adalah metafora ideal untuk apa yang HARTA wakili – sebuah ruang kreatif yang merangkul semua rakyat Malaysia untuk menghargai seni dan tradisi kita. Karya ini adalah gabungan seni yang menakjubkan, menggunakan arang, cat akrilik, kolaj kain kebaya, dan papan Meranti – setiap bahan menyumbang identiti dan keperibadian yang tersendiri. Ia juga adalah salah satu karya pertama yang menyambut anda sebaik sahaja anda memasuki HARTA.

Gambar: luxuo.com

Sejauh manakah pentingnya Kafe dalam keseluruhan konsep HARTA?

HARTA Café ini adalah kafe kecil dalam ruang kami. Kami sediakan kopi istimewa, matcha, coklat, serta pastri dan sandwic. Kafe ini menawarkan beberapa servis seperti tempat untuk pengunjung datang bersantai selepas singgah ke muzium, dan juga untuk menarik orang ramai datang dan rileks disini. Harapan kami, bila orang datang ke kafe ini, mereka akan singgah ke galeri atau muzium kami selepas itu.

Di dalam kafe, kami juga akan memaparkan karya seni daripada artis Malaysia yang akan ditukar setiap beberapa minggu. Karya-karya seni ini tidak diatur mengikut tema khusus, tetapi lebih kepada karya yang menyeronokkan dan menarik yang kami suka dan ingin pelanggan kami lihat.

Gambar: luxuo.com

Apa perancangan yang telah dirancang untuk galeri seni ini sepanjang tahun 2024?

Kami mempunyai banyak pameran dan acara pendidikan yang sudah dirancang. Kami akan bekerjasama dengan galeri dan institusi lain untuk menampilkan pelbagai pameran, termasuk pameran solo untuk artis baharu dan juga yang sudah berpengalaman. Kami juga mahu adakan bengkel dan ceramah tentang topik seperti sejarah Malaysia, budaya, fesyen, filem, dan banyak lagi!

Apa muzium kegemaran anda di Malaysia?

Saya kena pilih satu sahaja? Sejujurnya, saya rasa Malaysia mempunyai banyak muzium yang hebat, baik yang awam mahupun yang swasta.

Sudah tentu Muzium Negara adalah pilihan yang sangat mengagumkan dan saya cadangkan semua orang untuk melawatnya. Selain itu, Muzium Kesenian Islam di Kuala Lumpur dan Muzium Budaya Borneo di Kuching juga sangat menakjubkan. Kedua-duanya adalah destinasi yang tidak boleh dilepaskan!

Untuk peminat seni yang bakal ke Kuala Lumpur dan ingin merasai suasana seni di sini, apa cadangan anda?

Sekali lagi, terlalu banyak pilihan untuk dipilih.

Ilham Gallery memang luar biasa! Kualiti pamerannya betul-betul bertaraf dunia, dan saya sangat menghargai kehadiran institusi seperti ini di Malaysia. Bagi mereka yang mahu melihat karya artis tempatan, Muzium Seni Negara, Muzium Bank Negara Malaysia, G13 Gallery, dan Rissim Contemporary sangat menarik untuk dikunjungi. A+ dan Taksu juga menampilkan artis serantau dengan pameran yang sangat hebat. Dan tak boleh lupa juga, koleksi peribadi yang sangat menakjubkan dipamerkan di galeri seperti UR-MU dan Galeri Z.

Gambar: luxuo.com

Jika anda perlu menyebut seorang mentor yang telah memberi inspirasi dalam hidup anda, siapakah orang itu?

Rasanya sukar untuk memilih hanya seorang, tetapi kalau terpaksa, saya pasti akan memilih ibu bapa saya. Bukan hanya kerana dedikasi mereka terhadap projek ini, tetapi sepanjang hidup saya, mereka telah menjadi contoh yang cemerlang tentang bagaimana bekerja keras untuk mencapai kejayaan sambil kekal rendah hati dan merendah diri. Keikhlasan dan dedikasi mereka terhadap orang di sekeliling amat menginspirasikan. Saya harap melalui usaha kami ini, bukan sahaja kita dapat memelihara warisan dan tradisi Malaysia, tetapi juga meneruskan legasi yang telah mereka bina bersama.

Maklumat mengenai ruang pameran HARTA adalah seperti berikut:

Alamat: Habib Jewels Sdn Bhd, Lot 93-95, Ampang Point, Lorong Mamanda 2, 68000 Ampang, Selangor.

Waktu Operasi:

  • Muzium & Galeri Seni HARTA: 10AM – 5PM (Isnin – Ahad)
  • Kafe HARTA: 8.30AM – 5PM (Selasa – Jumaat), 10AM – 5PM (Sabtu – Ahad)

Artikel asal: LUXUO

Topics: , ,
Baca Artikel Seterusnya
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down