BERSAMA DR. NUR IZZATI AZIZ, Pensyarah Kanan Fakulti Seni dan Sains Sosial, Universiti Malaya

Dr. Izzati Aziz melanjutkan pelajarannya ke peringkat tertinggi. Setelah merangkul Ijazah Sarjana di Universiti Cardiff, berpeluang menjadi pendidik di sana selama enam tahun dan kini, Izzati pulang ke tanah air untuk berkhidmat bersama Universiti Malaya – mengajar media, kewartawanan dan identiti budaya. Keterlibatan Izzati menjurus kepada eksplorasi skop bersama anak-anak muda, terutama sekali generasi Z, lantas menegaskan bahawa konteks pengajarannya tentang kualiti serta kreatiiti dalam lapangan media dan digital. Kongsi Izzati, “Interpersonal dan intrapersonal membimbing anak-anak muda ini untuk menjadi pemimpin. Human skill yang paling asas seperti adab dan semangat kompetitif membantu mereka dalam hal-hal kesediaan masa hadapan.”
ELLE Malaysia: Bagaimana golongan pendidik beralih daripada metode pengajaran tradisional?
Izzati Aziz: Berdasarkan pengalaman professional, saya susun atur kandungan modul serta kandungan subjek. Saya tidak mahu mendedahkan pelajar-pelajar kepada teori sahaja, kerana teori terkadang terlalu diskriptif. Teori hanya menerangkan apa yang berlaku, namun tidak menjelaskan sebab, proses atau tindakan seterusnya. Saya memperluaskan pemirikan kritis mereka dengan cara pendedahan terhadap hal-hal yang berkaitan dengan interaksi bersama ‘realiti’ atau real-life setting.
Interaksi itu bukan hanya dalam ruang lingkup yang kecil, namun dengan pengamal industri. Ia mengajar mereka untuk mengkritik atau mencorakkan suatu pandangan tentang konsep yang bersifat teoretikal. Saya menggalakkan juga komunikasi dua hala, contohnya seperti diskusi. Saya membenarkan anak-anak muda ini menghubungkan diskusi tersebut dengan pengalaman peribadi mereka dan dibincangkan bersama.
Komunikasi dua hala itu tidak selalunya ada pemuafakatan, barangkali ada bantahan?
Ya, benar. Apalagi bila diskusi itu melibatkan dua atau tiga generasi yang berbeza dan masing-masing punya daya pemikiran yang mungkin tidak sehaluan. Misalnya, ada yang mengkritik atau memberi pendapat bahawa kaedah yang digunakan agak lapuk dan hanya berlandaskan teori Barat. Ada yang mempersoalkan, “Kenapa perlu ikut buku ‘Mat Saleh’?” Itulah pemikiran kritis. Dan bila menyentuh hal produksi media, ada yang menjelaskan, “Kita patut berbicara tentang prosumer. Kerana kita adalah producer dan consumer.” Makanya, hal-hal sebegini mendorong mereka untuk terbabit bersama dan merangsangkan perbicaraan ilmiah.

Bantuan bimbingan pendidik membentuk keupayaan intelektual mereka (pelajar)?
Saya membangkitkan semangat mereka untuk memiliki pemikiran kritis, menjadi tajam atau peka dalam menilai idea dan ada skil komunikasi yang bagus. Amat penting untuk mereka mempunyai identiti dari aspek mengekspreasikan idea.
Bercakap tentang generational gap, bagaimanakah anda mahu menggantikan corak pengajaran tersebut dari generasi sekarang ke generasi mendatang?
Consume what they consume. Contoh mudah, seperti baca buku apa yang generasi semasa baca. Atau kalau sentuh bab media sosial, mungkin follow personaliti-personaliti yang dekat dengan hati generasi semasa. Ia membuka minda saya untuk memahami atau mengenali pola pemikiran generasi semasa dan saya mengadaptasikan ia dalam metode pengajaran. Peralihan zaman atau trend dan seumpamanya yang bertunas kepada keingintahuan tinggi itu perlu ada untuk menerapkan relevansi pengajaran.
Golongan pendidik seharusnya selalu berfikiran terbuka, pro-aktif, merendahkan diri dan tidak ‘ego’ ketika menerima kritikan daripada pelajar-pelajar. Ia mempengaruhi corak pengajaran agar tidak berulang menggunakan material yang sama. Agak mencabar, kerana golongan pendidik kena sentiasa revise content, namun ia perlu untuk memastikan kelancaran dalam mengajar.
Apakah lagi cara golongan pendidik untuk menerokai potensi anak-anak muda, agar memperkasakan minda mereka?
Interaksi secara langsung atau bersifat keindividuan itu penting. Ia membuatkan tenaga pendidik untuk mengenal pasti hala tuju mereka. Betul, ia bukan bertujuan untuk menentukan terus bidang atau lapangan kerjaya mereka. Tugas kami adalah untuk mereka mengembangkan minda dan ada nilai kesedaran tentang pertimbangan haluan diri. Dan, ia akan berhujung dengan diri mereka sendiri untuk membuat pilihan. It’s good to have a professional adult to give them the assurance.

Dari aspek ujian yang dihadapi oleh golongan pendidik?
Sejujurnya, generational gap menguji capaian persefahaman. Kerana ia hadir dengan dua pola pemikiran yang berbeza dan mencari titik persamaan itu bukan mudah begitu sahaja. Kelakuan atau tingkah laku dua generasi yang berlainan adalah sebahagian daripada cabaran juga. Di samping itu, batas waktu malah menjadi ujian golongan pendidik. Untuk kekal relevan, ia memakan masa kerana golongan pendidik mengambil apa sahaja kesempatan yang ada untuk mengkaji, meneliti dan sebagainya. Dan, salah satu lagi cabaran adalah kesesuaian material pengajaran yang barangkali tidak cocok dengan golongan minoriti. Kerana dalam kelas, ada pelbagai latar belakang dan profil. Perkara seperti menyesuaikan material itu dengan kesemua pelajar perlu diambil kira agar tidak bersikap berat sebelah.
Kemahiran atau skil yang perlu ditanam oleh anak-anak muda untuk berhadapan dengan masa hadapan mereka?
Etika adalah perkara paling penting. Tiada etika yang betul akan mengakibatkan krisis atau permasalahan. Skil komunikasi yang tinggi amat perlu untuk mereka menganalisis kepekaan. Contohnya, cultural sensitivity, racial sensitivity dan seumpamanya, yang memperkukuhkan ‘produk’ mereka. Also, always reinvent themselves. Keupayaan menyesuaikan diri atau kebolehsuaian mengiringi mereka untuk menjadi pemimpin yang bagus.


