Pulau Langkawi mempunyai keunikannya tersendiri untuk sentiasa memikat hati setiap tetamu yang tiba ke sana. Setiap pelusuk kampung dan pantainya menawarkan tarikan yang mudah diterokai, sementara keindahan laut biru, kehijauan hutan hujan tropika dan warisan budaya yang kaya menjadikan pulau legenda ini kekal sebagai antara destinasi percutian paling ikonik di Malaysia. Namun, pengalaman 96 Hours in Langkawi: Four Hotels. Four Perspectives. One Destination bersama Marriott Bonvoy membuka dimensi baharu tentang cara menikmati pulau ini menerusi empat pengalaman hospitaliti yang berbeza.
Sepanjang empat hari tiga malam, Pengarang Rencana Bersekutu ELLE dibawa meneroka empat resort di bawah portfolio Marriott Bonvoy yang masing-masing mempunyai identiti tersendiri melalui pelbagai aktiviti.
Bermula dengan kemewahan eksklusif diikuti pengalaman menyatu dengan alam semula jadi, kesejahteraan holistik dan suasana sosial yang lebih santai. Setiap resort membentuk naratif berbeza tentang keindahan sudut pandang Pulau Langkawi.
Kemewahan Berinspirasikan Tradisi
Persinggahan di The St. Regis Langkawi memperlihatkan definisi sebenar kemewahan kontemporari. Sebaik sahaja melangkah masuk, tetamu disambut dalam suasana cukup eksklusif dengan perkhidmatan butler peribadi yang menjadi antara keistimewaan resort ini. Setiap pengalaman boleh disesuaikan mengikut citarasa, daripada menikmati ritual koktel signatur hinggalah bengkel-bengkel yang mengetengahkan seni dan warisan tempatan.

Antara pengalaman paling eksklusif ialah pelayaran persendirian menaiki kapal layar selama lebih tiga jam menyusuri perairan Pulau Langkawi. Dengan panorama Laut Andaman yang terbentang luas, tetamu berpeluang menikmati sisi pulau yang lebih tenang dan eksklusif, jauh daripada kesibukan ramai. Pengalaman ini menonjolkan lagi kemewahan The St. Regis yang terletak kepada seni bina dan layanan bertaraf dunianya. Ia juga terletak pada pengalaman yang dicipta untuk dinikmati dalam suasana penuh privasi.

Menyelami Keajaiban Alam
Daripada suasana elegan di bangunan estetiknya dan pasir pantai yang memutih. Perjalanan diteruskan ke The Ritz-Carlton, Langkawi yang membawa tetamunya lebih dekat dengan alam semula jadi. Terletak di tengah-tengah hutan hujan berusia jutaan tahun, resort ini menawarkan pengalaman cukup berbeza dengan pantai persendirian yang tersembunyi daripada tumpuan ramai. Lautnya yang jernih dengan rona biru kehijauan memberikan suasana damai seolah-olah berada di sebuah pulau persendirian.

Aktiviti di sini bersama naturalis membuka peluang memahami biodiversiti Langkawi dengan lebih mendalam termasuk kisah pemuliharaan hidupan marin di Sea Cucumber (gamat) Discovery Centre. Pendekatan dan perkongsiannya memperlihatkan lagi bahawa kemewahan percutian hari ini bukan lagi hanya tentang kemudahan bertaraf lima bintang yang menjadi kelesasaan. Namun ia juga termasuk mengenai pengalaman yang menghubungkan tetamu dengan alam dan usaha kelestarian kehidupan laut.

Mengutamakan Kesejahteraan
Bagi mereka yang mencari ruang merehatkan tubuh dan minda, The Westin Langkawi Resort & Spa menawarkan pengalaman berbeza yang berteraskan kesejahteraan. Daripada aktiviti santai di resort sehinggalah menikmati matahari terbenam di pesisir pantai. Resort ini menggalakkan tetamunya berehat dengan tenang dan benar-benar menghargai setiap detik percutian mewah.
Antara pengalaman yang paling menarik di sini merupakan sesi rawatan spa kaki dan badan yang dikendalikan oleh barisan terapi berpengalaman. Ia juga digabungkan dengan sesi yoga yang menghadap laut. Kombinasi ini bukan sahaja membantu merehatkan tubuh selepas seharian meneroka pulau lagenda malah memberikan pengalaman pemulihan menyeluruh daripada aspek fizikal dan mental.

Kemuncak pengalaman di sini ialah makan malam barbeku persendirian di vila dan lokasi resort yang menghadap laut. Suasana malam tenang diserikan dengan persembahan seni api yang memukau. Keupayaan mereka menampilkan putaran objek berapi, tiupan dan tarian yang bergerak seiring irama muzik cukup memukau.


Sentuhan Kreatif dan Budaya Tempatan
Perjalanan diakhiri di Aloft Langkawi Pantai Tengah yang membawa suasana lebih moden, santai dan penuh warna-warni. Cukup sesuai untuk golongan muda, pasangan sedang berbulan madu mahupun keluarga. Berbeza daripada resort-resort sebelumnya, Aloft mempunyai keunikan sendiri yang meraikan kreativiti komuniti tempatan menerusi pelbagai bengkel interaktif. Ia memberi peluang kepada tetamunya mengenali budaya Langkawi dengan lebih dekat. Ini dilakukan dengan mengadakan kelas membuat koktel dan bengkel mewarna batik di sana.

Suasana hotelnya yang kasual tetapi lengkap dengan fasiliti, digabungkan dengan seni bina kontemporari dan ruang sosial meriah menjadikan Aloft satu pilihan ideal. Ia turut sesuai buat mereka yang inginkan pengalaman percutian lebih santai tanpa mengorbankan nilai keselesaan.
Satu Destinasi, Pelbagai Cerita
Selain penginapan yang berbeza, pengalaman kulinari menjadi antara elemen paling menyerlah sepanjang perjalanan ini. Setiap resort mempersembahkan identiti gastronominya sendiri, daripada sajian tempatan yang diberi sentuhan moden hinggalah menu-menu antarabangsa yang disediakan menggunakan bahan-bahan segar tempatan.
Apa yang menjadikan pengalaman ini lebih bermakna merupakan cara Marriott Bonvoy menghubungkan setiap resort sebagai sebahagian daripada sebuah naratif lebih besar. Keempat-empat hotel tidak bersaing antara satu sama lain, sebaliknya saling melengkapi dalam memperlihatkan kepelbagaian keindahan Langkawi daripada perspektif yang berbeza.
Dalam tempoh hanya 96 jam, jelas bahawa Pulau Langkawi menawarkan lebih daripada pantai yang indah dan sejarahnya. Ia ialah sebuah destinasi yang menggabungkan kemewahan, alam semula jadi, kesejahteraan, budaya dan gastronomi dalam satu pengalaman yang lengkap untuk dirasai semua.
Melalui pengalaman yang dirancang dengan teliti ini, Marriott Bonvoy berjaya membuktikan bahawa cara terbaik menerokai Langkawi bukanlah dengan memilih hanya satu resort. Ia cara anda menikmati setiap perspektif yang menjadikan pulau legenda ini lebih istimewa.

