Langgan

Inspirasi Korset Ala Wuthering Heights

Romantic gothic kembali.
2 minit untuk membaca
Published: February 15, 2026

Ada sesuatu tentang estetika Wuthering Heights yang terasa liar, puitis dan penuh emosi. Adaptasi terbaru novel klasik karya Emily Brontë ini bukan sekadar menghidupkan kembali kisah cinta Catherine dan Heathcliff, ia turut membangkitkan semula obsesi terhadap siluet dramatik era Victoria. Dan di tengah-tengah kebangkitan itu? Korset.

Mengapa Korset Kembali Relevan?

Dalam dunia fesyen yang semakin obses dengan kontras, korset hadir sebagai elemen struktur di tengah arus fabrik flowy dan potongan longgar. Ia memberikan definisi pada tubuh tanpa perlu tampil berlebihan.

Lebih menarik, estetika “romantic gothic” kini menjadi rujukan generasi baharu. Gelap tetapi lembut, klasik tetapi kontemporari. Bayangkan padang rumput berkabus, gaun panjang berkibar dan rambut yang ditiup angin. Itulah aura yang cuba diterjemahkan ke dalam gaya moden hari ini.

Cara Mencapai Gaya Wuthering Heights Tanpa Terlihat Seperti Kostum

Kuncinya adalah keseimbangan. Anda mahu elemen dramatik, tetapi masih relevan untuk digayakan ke acara bahkan ke pejabat.

1. Lapisan yang Bijak

Padankan korset bersama kemeja putih puffed sleeves atau blouse chiffon lembut. Lapisan ini memberi dimensi dan mengurangkan kesan terlalu “theatrical".

2. Pilih Warna Berjiwa Drama

Hitam klasik sentiasa selamat, tetapi rona seperti burgundy, coklat gelap, forest green atau navy dalam tekstur satin dan brocade memberikan rasa lebih mendalam dan sinematik.

3. Jadikan Ia Kasual

Untuk pendekatan lebih santai, gayakan korset bersama jeans. Ia mencipta pertembungan antara klasik dan kontemporari, sesuai untuk makan malam atau acara fesyen yang tidak terlalu formal.

Korset Sebagai Simbol Baharu Feminin

Jika dahulu korset sering dikaitkan dengan kekangan, kini ia dibaca sebagai simbol struktur dan kawalan diri. Ia bukan lagi tentang mematuhi bentuk ideal, tetapi tentang memilih siluet yang membuat pemakainya rasa berkuasa dan yakin.

Estetika Wuthering Heights memberi kita lebih daripada sekadar nostalgia, ia mengingatkan bahawa romantik tidak semestinya lembut sepenuhnya. Ia boleh gelap. Ia boleh dramatik. Dan ia boleh menjadi sangat moden.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down