
Dengan pembukaan butik kedua Golden Goose di Malaysia di Pavilion Kuala Lumpur, jenama ini memperkenalkan dimensi baharu dalam pengalaman mewah di ibu kota. ELLE berbicara bersama Giorgio Van den Borre, General Manager, APAC, Golden Goose, untuk menyelami lebih lanjut visi di sebalik pembukaan butik ini.

ELLE: Golden Goose telah bertapak di Malaysia sejak 2023. Apakah yang anda perhatikan tentang pelanggan Malaysia sejak jenama ini memasuki pasaran?
Giorgio: Sejak memasuki pasaran Malaysia, banyak yang kami pelajari daripada pelanggan, bukan sahaja melalui apa yang mereka beli di Malaysia, tetapi juga tingkah laku mereka ketika melancong ke luar negara. Golden Goose sangat mementingkan pelanggan, jadi kami sentiasa mahu memahami ke mana mereka pergi, apa yang mereka cari dan bagaimana kami boleh terus memenuhi keperluan mereka.
Kedua-dua butik kami di Kuala Lumpur juga mempunyai karakter yang berbeza dan dalam banyak cara, satu merupakan evolusi daripada yang sebelumnya. Kami melihat peningkatan yang sangat positif dari segi penerimaan dan penghargaan pelanggan tempatan terhadap jenama ini. Malaysia juga merupakan antara pasaran di Asia Tenggara yang menunjukkan minat tinggi terhadap pengalaman co-creation, selain penerimaan yang kukuh terhadap kategori ready-to-wear kami. Bagi kami, kedua-dua perkara ini merupakan petunjuk penting bahawa pelanggan Malaysia sudah bersedia untuk pengalaman seterusnya,
E: Dan ini yang membawa kepada pembukaan butik baharu di Pavilion Kuala Lumpur?
G: Tepat sekali. Pavilion tidak begitu jauh dari The Exchange TRX tetapi kami melihat sangat sedikit pertindihan antara kedua-dua butik kerana masing-masing memenuhi pasaran dan profil pelanggan yang berbeza. Tujuannya adalah dua perkara. Pertama, untuk mengekalkan pelanggan sedia ada sambil meningkatkan pengalaman mereka. Kedua, untuk menarik pelanggan baharu yang berminat dengan pengalaman co-creation merentasi lebih banyak kategori, bukan hanya kasut.
Sebaik sahaja memasuki butik ini, anda akan melihat sebuah meja besar yang hampir berfungsi seperti pentas untuk para artis atau Dream Maker kami. Di sini, pelanggan boleh meneroka pelbagai patch, karya seni dan contoh sulaman yang boleh diaplikasikan pada produk istimewa. Namun, apa yang kami tawarkan bukan sahaja customisation. Perbezaan ini sangat penting. Ia adalah co-creation. Kami duduk bersama pelanggan dan membayangkan bersama apa yang ingin mereka hasilkan. Pasukan kami dilatih untuk mengambil idea tersebut dan merealisasikan visi pelanggan.

E: Co-creation telah menjadi sebahagian penting daripada identiti Golden Goose. Apakah yang membezakan pengalaman ini daripada khidmat customisation yang ditawarkan jenama lain?
G: Sebenarnya, terdapat lebih banyak proses dan ketelitian di sebalik pengalaman ini daripada apa yang dapat dilihat apabila anda sekadar memasuki butik. Sejak pembukaan butik pertama kami di Milan, Golden Goose telah meletakkan ketukangan sebagai teras konsep membawa kemahiran dan ketukangan dari kilang terus ke dalam butik. Kini, peranan artis semakin penting dalam butik kami dan juga dalam keseluruhan falsafah reka bentuk jenama. Apa yang anda lihat di sini adalah pengalaman yang jauh lebih imersif.
Mereka bukan sekadar individu yang diambil bekerja secara tempatan kerana mempunyai kemahiran pertukangan yang baik. Kami telah membuat pelaburan yang sangat mendalam dalam falsafah ini. Di Venice, di ibu pejabat asal kami, kami menubuhkan sebuah kilang yang kini turut berfungsi sebagai akademi, tempat para artis dilatih sebelum mereka mula bekerja bersama pelanggan di butik. Jadi, seorang Dream Maker perlu menjalani latihan di Venice terlebih dahulu, di mana mereka belajar daripada para master kami.
Menariknya, ketua akademi tersebut merupakan antara pembuat terawal di Golden Goose. Dia terlibat dalam menghasilkan kasut Super-Star pertama kami pada 2008. Ada sesuatu yang begitu indah tentang kesinambungan ini. Mereka yang dahulunya bekerja di kilang kini menjadi tenaga pengajar dan master, mewariskan pengetahuan mereka kepada generasi seterusnya. Bagi saya, ini juga merupakan satu bentuk kelestarian. Memelihara ilmu, ketukangan dan kemahiran dengan mewariskannya dari satu generasi ke generasi yang lain. Kami adalah antara satu-satunya jenama yang bukan sekadar bercakap tentang ketukangan di kilang, tetapi membawanya secara langsung ke dalam butik.

E: Adakah butik The Exchange TRX juga akan mengadaptasi konsep yang sama pada masa akan datang?
G: Adalah penting untuk setiap butik mempunyai cerita yang berbeza. Itu tidak bermakna kami tidak akan menaik taraf The Exchange TRX atau menganggapnya sebagai butik kelas kedua. Sama sekali tidak. Profil pelanggan adalah berbeza dan, oleh itu, fungsi setiap butik juga perlu berbeza.
Dengan Pavilion Kuala Lumpur, kami mempunyai peluang untuk menyampaikan mesej baharu kepada Kuala Lumpur dan juga kepada mereka yang berkunjung ke bandar ini. Sebagai contoh, kami tahu ramai pelancong dari China lebih gemar membeli-belah di Pavilion, manakala pelanggan dari Timur Tengah mungkin lebih cenderung ke The Exchange TRX. Pilihan produk juga akan berbeza. Dan ya, butik di TRX juga akan dinaik taraf pada satu ketika nanti. Matlamat kami sentiasa untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan.
E: Bagaimana Kuala Lumpur berbanding dengan pasaran Asia lain yang menjadi lokasi Golden Goose? Adakah anda melihat perbezaan dari segi tingkah laku pelanggan?
G: Keindahan bekerja di Asia ialah setiap negara mempunyai budaya dan cita rasa yang tersendiri. Kami sentiasa belajar daripada perbezaan tempatan ini. Pada masa yang sama, Asia juga menarik kerana masyarakat di satu negara kerap melancong ke negara lain. Jadi, kami melihat kadar penerimaan yang berbeza dalam tingkah laku pembelian. Namun, sesuatu yang dikongsi di seluruh rantau ini ialah pelanggan yang sangat muda. Generasi muda khususnya tertarik kepada falsafah menghasilkan sesuatu yang benar-benar milik mereka. Mereka bukan sekadar mahu membeli sepasang kasut. Mereka mahukan sesuatu yang terasa unik dan mempunyai makna tersendiri. Sebab itulah co-creation mempunyai potensi yang begitu besar di Asia, khususnya di Asia Tenggara.

E: Adakah anda melihat pelanggan kembali untuk mengumpul koleksi Golden Goose?
G: Sudah tentu. Ini sesuatu yang kami lihat dan sangat kami hargai di Golden Goose. Kami mempunyai kelompok pelanggan yang sangat kukuh, malah ada yang berkunjung dan membuat pembelian lebih daripada tiga kali setahun. Mereka gemar mengumpul dan permintaan terhadap sesuatu yang eksklusif juga sangat tinggi. Kami mahu memenuhi permintaan itu bukan sahaja dengan memperkenalkan produk baharu ke pasaran tetapi dengan menghasilkan sesuatu yang unik bersama pelanggan melalui artis dan pengalaman co-creation kami.
Kami juga mempunyai pakar yang menghasilkan karya seni kecil dan perincian hiasan baharu yang boleh dilekatkan pada produk atau beg. Ini merupakan sebahagian daripada Skin Project, yang membolehkan kami memberikan sentuhan peribadi yang lebih mendalam kepada produk.
E: Apakah yang Golden Goose lakukan secara berbeza berbanding jenama fesyen mewah yang lain?
G: Kini, hampir semua jenama membawa elemen customisation ke dalam butik. Namun, customisation selalunya agak terhad. Pelanggan hanya boleh memilih daripada corak, huruf atau ilustrasi yang telah ditetapkan. Kami mempunyai artis yang mampu membawa proses itu jauh lebih daripada itu. Ini bukan bermaksud saya mempersoalkan kualiti yang boleh ditawarkan oleh jenama lain. Tetapi Golden Goose mempunyai sejarah co-creation yang sudah berlangsung selama 10 hingga 15 tahun. Itulah yang memberikan kami kredibiliti dan kelebihan. Kemudian, terdapat pula akademi serta sistem latihan yang telah kami bangunkan. Itu bukan sesuatu yang boleh diwujudkan dalam sekelip mata.
E: Berapa ramai artisan yang sedang anda latih untuk butik-butik Golden Goose?
G: Aspirasi kami adalah untuk mempunyai artis di setiap butik kami. Kami sudah pun membangunkan apa yang saya sifatkan sebagai butik masa hadapan – sebuah ruang yang semakin imersif dan semakin berfokus kepada co-creation, dipacu oleh detik-detik istimewa. Sebagai contoh, Formula 1 akan kembali ke Malaysia, yang merupakan satu acara besar. Sudah tentu akan ada banyak keterujaan, bukan sahaja daripada pelanggan tempatan tetapi juga pelancong. Kami mahu mencipta tema co-creation khusus bersempena detik-detik budaya dan sukan penting seperti ini.
Namun, apabila jumlah pelanggan meningkat, kita tidak boleh hanya bergantung kepada pengalaman satu-sama-satu. Itu tidak boleh diperluaskan secara berskala. Kami perlu menjadikan co-creation lebih mudah diakses dengan menjadikan prosesnya lebih intuitif dan memastikan seluruh pasukan butik mampu menyampaikan pengalaman tersebut. Pada masa ini, kira-kira 70 peratus daripada kakitangan butik kami telah dilatih dalam co-creation, dan kami mahu terus meningkatkan angka tersebut.

E: Bagi seseorang yang baru pertama kali mengenali Golden Goose, apakah satu perkara yang anda mahu mereka fahami tentang jenama ini?
G: Pertama, mereka perlu memahami kepentingan memiliki sesuatu yang bukan sekadar dibeli, tetapi menjadi simbol kepada satu detik istimewa Sesuatu yang membantu anda membina koleksi dan memori anda sendiri. Ini merupakan sebahagian yang sangat mendalam dan penting dalam falsafah kami. Produk tersebut tidak semestinya perlu sempurna. Terdapat hubungan yang penting antara kemewahan dan ketidaksempurnaan,dan ini adalah sesuatu yang perlu kami jelaskan dengan baik.
Kedua, produk kami bukan tentang teknologi. Ia mengenai hasil buatan tangan. Pengalaman premium bermula daripada sentuhan tangan manusia dan, melalui proses menghasilkan sesuatu secara manual di dalam butik.
Ketiga, penting untuk melihat Golden Goose sebagai sebuah produk Itali yang mempunyai kredibiliti. Ketukangan Itali dan sentuhan manusia merupakan asas kepada identiti kami.

