Langgan

'Mustika' Daripada Rizman Ruzaini Mencemerlangkan Wanita Melayu

Dubai Fashion Week sudah menjadi 'taman permainan' Rizman Ruzaini & kali ini, mereka mengetengahkan nostalgia Warisan Malaysia
2 minit untuk membaca
Published: October 31, 2024

Daripada ‘Seri Gumum’ ke ‘Mehrunissa’ sehinggalah ‘Mustika’. Rizman Ruzaini merintis jalan di Dubai Fashion Week dan ia merua luas, dilalui oleh jenama-jenama Asia yang lain. Apalagi bila dua musim sebelumnya, mereka beroleh kemenangan memapankan kedudukan dalam arena fesyen Dubai setelah menampilkan Naomi Campbell di atas pentas mereka. Masuk musim luruh / dingin 2024 pada awal tahun ini, himpunan ‘Mehrunissa’ pula dipersembahkan, yang mengangkat atribut maharani empayar Mughal tersebut.

Rizman Ruzaini

Menyebak halaman jurnal perjalanan fesyen, kali ini ELLE Malaysia menarung langit biru, berpeluang mengembarai bumi berantara dengan benua Asia dan benua Eropah – ke Timur Tengah, secara spesifiknya, ke Dubai sebagai undangan khas Dubai Fashion Week musim bunga / panas 2025 dan menyaksikan pementasan fesyen Rizman Ruzaini.

Di Dubai Fashion Week musim bunga / panas 2025, Rizman Ruzaini memanjangkan lagi posisi keberadaan mereka dengan memperkenalkan himpunan ‘Mustika’. Seperti sudah mengawani arena fesyen Dubai, mereka menganyam hajat untuk bernostalgia dengan warisan Malaysia kali ini. “Masyarakat Melayu zaman dulu-dulu suka emphasize bahagian pinggang,” kata Rizman, memulakan bicara. 

Rizman ruzaini

Rizman Ruzaini terap sifat kewanitaan Melayu dalam himpunan 'Mustika'

Bertemunya dua akal geliga Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil seperti ada dua cabang yang berbeza. Namun tiada disharmoni dan mereka sealiran senada. Ruzaini tergerak hati mengetengahkan ilham ini daripada kenangan lamanya, yang pernah melihat foto arwah neneknya melaram dalam kebaya dan kain sarong. Rizman melumpukkan ilham tersebut dalam aspek teknikal, membarui rupa klasik dengan citra kontemporari. Seperti penggunaan material denim, siluet moden, perincian dan mengubah stail untuk diserasikan dengan selera semasa.

“Kami ambil nama ‘Mustika’ (mengikut ejaan sebetulnya adalah ‘mestika’) berdasarkan sebuah karakter daripada karya Erma Fatima. Yakni ‘Perempuan Melayu Terakhir’, yang mencerekakan anarki dunia moden memelihara warisan budaya,” tambah Rizman. Lantas, ia menjadi seberkas idea yang dikutip oleh Rizman dan Ruzaini kerana nampak bati benar dengan ilham mereka. 

Rizman ruzaini

Terjangkau pemahaman setelah mendengar kenyataan daripada kedua-dua Rizman dan Ruzaini. Menjelaskan mengapa siluet kebaya atau citra yang berkaitan dengan bahagian pinggang menjadi keutamaan. Mereka mengintegrasikan siluet tersebut dengan perincian lisu bertingkat, dengan bahagian pinggul yang structured, dipadukan dalam korset bertetulang, bersama konsep dwiwarna dan malah, ada yang digabungkan dengan estetika Grecian. Permainan kolar makro dan asimilasi dengan gaya atletik pun diberi perhatian. 

Di samping mengetengahkan tambour beading, yang sinonim dengan Rizman Ruzaini, mereka juga mencemerlangkan batik sebagai highlight. Menyoal Ruzaini, mengapa ada konsep batik, jelasnya, “Kerana ia adalah simbol budaya yang berpangkal dari Nusantara dan ke seluruh Asia Tenggara.” Dan corak batik ini memperkukuhkan lagi rekaan-rekaan musim bunga / panas 2025. 

Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down