Hanya lima hari sahaja lagi sebelum malam terbesar dunia fesyen kembali dengan gaya dan detik penuh glamor yang sentiasa dinanti-nantikan. Setiap tahun, acara berprestij ini menjadi pentas utama buat pereka fesyen, selebriti dan figura berpengaruh menampilkan interpretasi kreatif mereka menerusi busana yang luar biasa.
Berlangsung di The Metropolitan Museum of Art pada setiap Isnin pertama bulan Mei, Met Gala bukan sekadar acara karpet merah, malah merupakan majlis amal tahunan bagi mengumpul dana untuk Costume Institute. Tahun lalu, pihak muzium melaporkan jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah 77 tahun, mencecah sekitar USD31 juta.
View this post on Instagram
Bagi edisi 2026, 'Costume Art' dipilih sebagai tema pameran, manakala kod pakaian rasmi merupakan 'Fashion Is Art'. Tema ini membuka ruang kepada tetamu untuk mentafsir hubungan antara fesyen dan seni melalui gaya yang berani, konseptual dan imaginatif. Jelas, karpet merah tahun ini bakal dipenuhi dengan momen fesyen yang menarik, sama ada dengan siluet dramatik atau perincian avant-garde.
Seperti tradisi tahun-tahun sebelumnya, barisan hos turut menjadi tumpuan. Tahun ini, Beyoncé, Nicole Kidman, Venus Williams dan Anna Wintour dinamakan sebagai pengerusi bersama Met Gala 2026.
Selain hos utama, jawatankuasa khas turut dibarisi nama berprofil tinggi termasuk Anthony Vaccarello, Zoë Kravitz, Sabrina Carpenter, Doja Cat, LISA, Sam Smith, Teyana Taylor dan ramai lagi. Kehadiran mereka sudah tentu menambahkan lagi keterujaan peminat yang tidak sabar menantikan penampilan di tangga ikonik muzium tersebut.
Ramai tetamu masih belum diumumkan, sekali gus membuka ruang spekulasi tentang siapa yang bakal hadir dan bagaimana mereka mentafsir tema tahun ini. Namun, semua jawapan bakal terungkai Isnin ini, termasuk siapa yang menguasi karpet merah tahun ini. Saksikan siaran langsung di YouTube dan TikTok sekitar 6:00 pagi, 5 Mei 2026 (Selasa) waktu Malaysia, dan bersiap sedialah untuk momen fesyen daripada selebriti kegemaran anda!

