
Sealiran senada dengan sambutan bulan Syawal, LINDBERG berkolaborasi dengan ELLE Malaysia mengacarai sesi penataan gaya hijab ‘Frame Your Look: Hijab x Eyewear Edit’. Bersama Penata Gaya Hijab Selebriti, Farhanah Fauzy yang berkongsi tips penggunaan hijab yang sebetulnya dan padanan kaca mata yang serasi daripada himpunan LINDBERG.
Pemahaman lazim kita tentang penggayaan tudung barangkali cukup sekadarkan cuma menudungi kepala. Atau menduga hanya ada satu, dua cara pengolahannya. Baik untuk bergaya kasual, ke kerja atau untuk gaya malam. Apalagi penggayaannya bersatu dengan pemakaian kaca mata yang tidak mengambil kira faktor keselesaan atau kesenangan dari aspek penyarungan.

Sesi Styling Hijab bersama LINDBERG
Woksyop interaktif ‘Frame Your Look: Hijab x Eyewear Edit’ mengundang 20 hadirin – barisan pempengaruh dan pembaca ELLE – untuk menyelami pengalaman yang dirasakan cukup peribadi dan mendekati kepraktisan penataan tudung yang digarap oleh Penata Gaya Hijab Selebriti, Farhanah Fauzy. Bukan hanya memahami teknik asas pemakaian hijab atau tudung serta meneliti estetika penggayaan, ia malah berlanjutan ke pemilihan kesesuaian kaca mata LINDBERG (reka bentuk bingkai dan siluet) dengan setiap look.
Seperkara tentang LINDBERG dan penggunaannya untuk wanita berhijab adalah kesenangan dari aspek penyarungan. Di samping tidak mencela rupa bentuk tudung, terutama sekali pada bahagian pelipis, keluarbiasaan LINDBERG juga melancarkan penyarungan yang serasa seamless. Menyingkir rasa seperti ada rintangan kala dipakai. Apalagi rekaan kaca mata LINDBERG yang sangat minimal dan ringan, lantas tidak menyempadani citra penggayaan hijab.
Keselesaan kaca mata LINDBERG juga terletak pada inovasi ciptaan bahan titanium yang fleksibel dan tidak memberi tekanan pada bahagian telinga. Ideal untuk wanita-wanita berhijab!
Seperti apa yang dikongsikan oleh Farhanah ketika sesi styling, cara lilitan memainkan peranan penting bagi memastikan hijab kekal nampak kemas, agar tidak menjejaskan struktur wajah. Lantaran itu, sesi styling ini memanggil empat hadirin yang memiliki roman muka yang berbeza – bermuka bujur, lonjong, bulat serta bersegi – untuk dijadikan rujukan atau model sepanjang sesi.
Farhanah menunjukkan cara penggayaan berdasarkan ‘face framing’ yang mampu menyerlahkan bentuk wajah yang ditata bersama kaca mata LINDBERG. Sekali gus menjadikan keseluruhan penampilan nampak lebih seimbang. Antara tips-tips yang Farhanah kongsi bersama hadirin adalah penggayaan turban untuk wajah lonjong dimadukan bersama kaca mata berbingkai bulat, manakala penggayaan hijab kasual untuk wajah bersegi dipadankan dengan kaca mata irregular shape.
Kaca mata irregular shape ini dilanjutkan untuk penataan gaya hijab dinner look untuk wajah berbentuk bulat dan gaya hijab eksperimen pula diserasikan dengan kaca mata berupa cat-eye.
Interaksi secara langung ini membuka ruang eksplorasi gaya yang lebih berani dan versatile, sesuai untuk pelbagai acara – daripada santai ke formal. Acara ini merupakan platform yang meraikan ekspresi diri dan keyakinan wanita moden, membuktikan penggayaan hijab dan kaca mata bergerak seiring. Dari sudut fesyen serta fungsi. Kolaborasi ini mengangkat naratif bahawa gaya yang sempurna bermula dengan keselesaan dan keyakinan adalah aksesori terbaik yang dimiliki oleh setiap wanita.











