Juara Roland-Garros 2025, Coco Gauff bakal menghangatkan gelanggang tenis dalam koleksi New Balance dan Miu Miu terbaharu.
Kerjasama New Balance X Miu Miu diteruskan lagi, dan kali ini akan menampilkan bintang muda tenis Amerika, Coco Gauff. Juara Roland-Garros 2025 itu akan menggayakan seleksi pakaian dan kasut New Balance X Miu Miu di dalam dan luar gelanggang. Dia bakal menghangatkan arena tenis di Rom (7 hingga 18 Mei), Berlin (14 hingga 22 Jun), dan Cincinnati (5 hingga 28 Ogos).
Di atas gelanggang tenis, Coco akan memakai pakaian tenis klasik yang elegan dalam palet warna dinamik. Antaranya palet biru kelasi dan putih dengan sentuhan merah (Rom), putih dan hijau dengan sentuhan biru langit (Berlin), serta putih dan biru diraja dengan sentuhan merah (Cincinnati). Rekaan ini dicipta dengan fokus kepada prestasi, menampilkan reka bentuk color-blocked yang menghasilkan penampilan yang serba moden. Sebelum dan selepas perlawanan, Coco akan memakai jaket hoodie dan seluar trek dalam warna senada yang pasti akan melengkapkan lagi penampilannya.
Kasut Tenis Coco CG2
Coco Gauff juga akan memakai kasut versi khas dengan tandatangan, Coco CG2. Kasut sukan ini disuntik dengan gaya ikonik New Balance dan Miu Miu. Edisi khas Coco CG2 ini direka dengan teknologi inovatif untuk memenuhi keperluan atlet tenis elit sambil diinspirasikan oleh gaya hidup New Balance. Ia menggabungkan kekuatan dan keanggunan dalam kasut berprestasi tinggi. Di luar gelanggang pula, Coco akan mengenakan variasi baru kasut New Balance X Miu Miu 530 SL yang ikonik. Ia dihasilkan daripada kulit dan jaring dengan palet warna yang sama.
Koleksi New Balance X Miu Miu bersama Coco Gauff akan mula dijual pada 10 September di butik Miu Miu. Juga boleh didapati secara atas talian di miumiu.com. Pada hari yang sama, Coco akan menjadi tetamu eksklusif di acara Miu Miu Select di butik Miu Miu New York. Pada acara ini, kerjasama ini akan dipersembahkan bersama pilihan koleksi Coco daripada koleksi Miu Miu Musim Luruh/Dingin 2025.