Anda mungkin masih ingat saat Jennie mencuri perhatian di pop-up Ray-Ban di Seoul pada September lalu, tampil dengan Ray-Ban Wayfarer Puffer by A$AP Rocky Polished Black. Atau ketika dia menggayakan kaca mata Ray-Ban on stage di konsertnya beberapa bulan kemudian. Satu penampilan yang terus mengukuhkan naratif gaya peribadinya yang sentiasa berevolusi. Dikenali sebagai anggota BLACKPINK, selain menceburi dunia lakonan dan sebagai ikon gaya global, Jennie kini menambah satu lagi pencapaian penting dalam kerjayanya: Duta Global untuk Ray-Ban dan Ray-Ban Meta. Lebih daripada seorang bintang pop, Jennie merupakan antara figura budaya paling berpengaruh dalam generasinya.
Pelantikannya bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Jennie seakan-akan manifestasi hidup DNA Ray-Ban didorong oleh semangat ekspresi dan inovasi yang sentiasa berkembang. Peranan ini mencerminkan identiti kreatifnya, yang menghubungkan warisan dengan visi reka bentuk masa hadapan.
“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Ray-Ban. Semuanya terasa begitu semula jadi sejak awal lagi. Bagi saya, keyakinan bukanlah sesuatu yang lantang; ia hadir apabila kita selesa dengan diri sendiri dan mengekspresikan siapa diri kita dengan cara yang tenang. Ray-Ban mempunyai tenaga yang sama: ringkas, ekspresif dan mudah digayakan dalam kehidupan seharian. Saya sukakan pilihan yang sentiasa bersama kita setiap hari dan menjadi sebahagian daripada mood kita. Kolaborasi ini benar-benar menepati itu,” kata Jennie.
Buat pertama kalinya, Ray-Ban dan Ray-Ban Meta disatukan di bawah satu visi kreatif yang menyeluruh, diterjemahkan melalui kempen global yang merakam estetika berani, tenaga ekspresif dan keyakinan diri Jennie yang autentik. Visual Ray-Ban tampil berani namun minimal, diserlahkan dengan sentuhan merah pekat, rujukan halus kepada nama pentasnya, Jennie Ruby Jane. Sementara itu, kempen Ray-Ban Meta pula bergerak dalam palet biru lembut, menggabungkan fesyen editorial dengan teknologi generasi baharu dalam satu naratif yang segar dan futuristik.
Gambar ihsan Ray-Ban.











