Langgan

Ceritera Kebaya: Menyingkap Perjalanan Kebaya Merentas Zaman

Di sebalik setiap jahitan, sulaman dan helaian fabrik, tersimpan kisah yang diwariskan merentas generasi.
4 minit untuk membaca
Published: August 27, 2026
Evolusi Kebaya
Kebaya era yang berbeza daripada pelbagai komuniti di Malaysia
Gambar ihsan Wong Mee Fong dan Muzium Seni Asia, Universiti Malaya

Mengunjungi Melaka, tidak sukar untuk melihat wanita berkebaya bergambar di hadapan banggunan bersejarah, seolah-olah menghubungkan diri dengan masa lalu. Pemakaian kebaya juga tidak terhad kepada wanita tempatan, malah pelancong antarabangsa turut tertarik dengan keanggunan busana ini.  Di kota metropolitan pula, kelibat wanita berkebaya dapat dilihat sepanjang minggu, sama ada ke pejabat, menghadiri kuliah, majlis perkahwinan atau sekadar sebagai pilihan gaya harian. Jelas bahawa busana ini terus kekal relevan merentasi zaman. Pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara Kemanusiaan UNESCO mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai simbol warisan yang dikongsi bersama. Namun, di sebalik popularitinya hari ini, sejauh manakah kita benar-benar mengenali sejarah, evolusi dan kisah yang tersulam di sebalik setiap helaian kebaya?

Warisan yang Terus Hidup

Evolusi Kebaya
Kebaya era yang berbeza daripada pelbagai komuniti di Malaysia
Gambar ihsan Wong Mee Fong dan Muzium Seni Asia, Universiti Malaya

Sejarah kebaya sendiri mencerminkan sifatnya sebagai sebuah busana yang merentasi budaya. Dari segi etimologi asal usul namanya masih diperdebatkan, ada yang mengaitkannya dengan perkataan Arab atau Turki seperti habaya atau qabāʾ, namun ada juga yang merujuk kepada istilah Portugis, cabaya. Yang pasti, apabila tiba di Nusantara, kebaya terus berevolusi dan disesuaikan dengan budaya tempatan. Pengaruh Islam membentuk pemakaiannya menjadi lebih sopan. Hubungan perdagangan dengan India, China, Timur Tengah dan Eropah pula memperkayakan fabrik, teknik jahitan serta estetikanya. Akhirnya lahir kebaya yang dikenali hari ini.

Evolusi Kebaya
Saloma menggayakan kebaya dalam potret bersama P.Ramlee sekitar tahun 1960an

Seiring dengan perubahan masyarakat, kebaya turut mengalami evolusi yang berterusan. Daripada Kebaya Labuh yang pernah menghiasi istana dan majlis rasmi, ia berkembang kepada Baju Panjang. Kemudian berubah kepada siluet yang lebih pendek dan mengikut bentuk badan sekitar era 1950-an. Teknik seperti butterfly cut, sulam kerawang, ketuk lubang dan kemasan biku pula membuktikan bahawa setiap perincian pada kebaya bukan sekadar hiasan semata-mata tetapi hasil pertukangan halus yang diwariskan turun-temurun. Sepanjang abad ke-20, perubahan teknologi tekstil, era penjajahan, Perang Dunia Kedua dan kemerdekaan terus mempengaruhi fabrik, warna serta rekaannya. Kebaya kini antara busana paling dinamik dalam sejarah fesyen Nusantara.

Setiap Komuniti, Sebuah Cerita

Evolusi Kebaya
Keluarga Jawi Peranakan menyarungkan kebaya
Gambar ihsan Wong Mee Fong

Evolusi inilah yang akhirnya melahirkan kepelbagaian identiti kebaya yang dikenali hari ini. Walaupun sering dikaitkan dengan masyarakat Melayu dan Baba Nyonya, sejarahnya jauh lebih luas. Komuniti Chetti Peranakan, Kristang, Jawi Peranakan dan masyarakat di Malaysia Timur turut mempunyai interpretasi kebaya yang tersendiri. Masing-masing dipengaruhi oleh latar budaya, agama dan sejarah mereka. Di peringkat negeri pula, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, Perlis dan Selangor memperlihatkan identiti kebaya yang berbeza melalui potongan, fabrik dan cara pemakaiannya. Namun, kepelbagaian ini merentasi juga potongan dan fabriknya. Ia turut hidup melalui kisah individu daripada pelbagai komuniti yang terus mewarisi, memakai dan mentafsir semula kebaya mengikut pengalaman mereka sendiri.

Evolusi Kebaya
Keluarga Lily Yew (Peranakan Cina) menyarungkan kebaya
Gambar ihsan Wong Mee Fong

Di sebalik sejarah, tersimpan ribuan kisah peribadi yang memberikan makna kepada setiap helaian busana ini. Menerusi segmen Ceritera dalam pameran Kebaya KITA: Antara Ceritera, Identiti & Ekspresi, kebaya dilihat daripada perspektif individu daripada pelbagai komuniti di Malaysia. Bagi Dr. Lee Su Kim daripada komuniti Baba Nyonya, bunyi geseran kain sarung yang dipakai neneknya masih “meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan." Manakala Hoon Bee Choon menyifatkan kebaya sebagai “warisan, memori dan identiti” yang diwarisi turun-temurun. Bagi Sara Frederica Santa Maria pula, Kebaya Kumpridu bukan sahaja mencerminkan identiti masyarakat Kristang, malah membuktikan bahawa ia telah lama mengamalkan prinsip slow fashion. Sementara itu, Amu Pillay melihat kebaya sebagai ruang untuk memperkenalkan sejarah komuniti Chetti yang kurang dikenali. Walaupun datang daripada latar budaya yang berbeza, kesemua mereka berkongsi satu kepercayaan yang sama. Kebaya bukan sekadar pakaian, tetapi warisan hidup yang terus diperkaya melalui memori, identiti dan pengalaman mereka yang memakainya.

Adaptasi Sebuah Tradisi

Wong Mee Fong di pameran Kebaya KITA: Antara Ceritera, Identiti & Ekspresi, Muzium Seni Asia, Universiti Malaya

Bagi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam tentang perjalanan kebaya, perbualan bersama salah seorang kurator bersama pameran 'Kebaya KITA: Antara Ceritera, Identiti & Ekspresi', Wong Mee Fong, membuka perspektif baharu tentang bagaimana busana ini terus berkembang mengikuti peredaran zaman. Bagi penyelidik bebas dan pengumpul kebaya itu, perubahan bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya diraikan. Menurut Mee Fong, “inovasi ialah satu-satunya cara tradisi terus hidup,” kerana kebaya perlu berkembang seiring perubahan gaya hidup dan identiti wanita masa kini. Dia turut menolak tanggapan bahawa kebaya hanya sesuai dipakai dalam potongan ketat atau pada majlis tertentu. Sebaliknya, ia boleh ditafsir semula melalui fabrik, siluet dan padanan moden selagi elemen asas seperti bukaan hadapan dan potongan rama-rama terus dipelihara. 

Nafas Baharu

Syomirizwa Gupta
Syomirizwa Gupta
BEHATI
BEHATI
Fiziwoo
Fiziwoo

Semangat untuk terus mentafsir semula warisan ini turut diterjemahkan oleh pereka tempatan hari ini. Daripada pendekatan eksperimental BEHATI yang mengolah elemen pakaian tradisional ke dalam siluet kontemporari hinggalah sentuhan couture Syomirizwa Gupta. Kebaya terus membuktikan keupayaannya berevolusi dalam dunia fesyen. Bagi Suna, pengasas Rimbun KL, kebaya tidak seharusnya kekal terperangkap dalam nostalgia. Di sebaliknya perlu menjadi busana yang mudah didekati dan relevan untuk generasi hari ini. Baginya, memodenkan kebaya tidak bererti mengorbankan identitinya, selagi siluet, pertukangan dan makna budayanya terus dihormati, warisan ini akan terus hidup melalui mereka yang memilih untuk memakainya.

Cinta Kebaya

Sumber: Instagram (@rimbunkl)

Daripada helaian yang pernah menghiasi istana hingga menjadi pilihan di jalanan kota hari ini, perjalanan kebaya membuktikan bahawa warisan bukanlah sesuatu yang statik, sebaliknya sentiasa berkembang mengikut zaman. Namun, di sebalik setiap perubahan, kekuatannya tetap terletak pada kisah, identiti dan pertukangan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya. Wong Mee Fong berharap lebih ramai masyarakat mengambil peluang untuk mengenali sejarah di sebalik busana ini kerana, seperti yang diungkapkannya, “Untuk mencintai kebaya, kita perlu benar-benar mengenali kebaya.” 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down