Langgan

Burberry Memperkenalkan Kot Untuk Keluar Bersosial

Fesyen yang menggagumkan sentiasa menjadi alasan terbaik untuk berparti.
Oleh | TERJEMAHAN Athirah Zahra
2 minit untuk membaca
Published: February 26, 2026

 

Burberry sememangnya ada gaya.

Di pertunjukan koleksi Musim Dingin 2026 oleh jenama warisan British itu, runut bunyi oleh FKA Twigs menggegarkan ruang dengan dentuman yang begitu kuat sehingga setiap kerusi terasa bergetar. Rosie Huntington-Whiteley dan Romeo Beckham melangkah di pentas peragaan dengan rentak yang membangkitkan suasana rave. Model pembuka, Charlotte Boggia tampil dengan anting-anting mutiara berjuntai yang sekilas pandang menyerupai Apple EarPods yang sedang memainkan muzik. Di barisan hadapan, Kate Moss turut menghayati irama sambil menari mengikut rentak.

 

Burberry Kot

 

Dalam nota pertunjukan, ketua pegawai kreatif Daniel Lee menjelaskan bahawa koleksi tersebut merupakan “kembalinyanya kepada budaya keluar bersosial dengan cara yang sangat London” — suasana di mana hujan lebat menjadi kebiasaan. Dan, tidak kira sehebat mana pun blaus anda, tetap perlu ada sesuatu untuk melindunginya.

Disebabkan itu, kot baharu untuk keluar bersosial diperkenalkan oleh Burberry, seperti yang diperagakan oleh gadis-gadis ‘It’ seperti Angelina Kendall, Sacha Quenby dan Sunday Urban di pentas peragaan.

 

Burberry Kot

 

Terdapat jaket daripada kulit anak biri-biri dengan kilauan di satu sisi, jaket berbulu tebal, jaket kulit berkilat seakan minyak yang mengimbau era indie sleaze Burberry yang pernah menjadi buruan ramai, serta deruan berterusan kot trench — berleher rufel daripada fabrik faille, dipotong pendek dengan siluet sedikit mengembang atau disarung “seperti aksesori di atas gaun satin yang anggun,” kata Daniel Lee.

Antaranya termasuk gaun sutera biru navy yang berpotongan rendah di bahagian hadapan dan skirt manik berona merah gelap dengan jumbaian yang berbunyi klik-klak pada setiap langkah. (Malah terdapat kot musim dingin dalam rona biru dakwat dengan cetakan grid peta London di seluruh permukaan — sekiranya telefon anda kehabisan bateri dan anda perlu pulang ke rumah pada jam 4 pagi tanpa bantuan Google Maps.)

Namun, hanya kerana koleksi ini diinspirasikan oleh suasana malam di London, tidak bermakna Burberry menjadi kebudak-budakan. Ini adalah pakaian yang cukup bergaya untuk golongan dewasa yang peka terhadap fesyen. Untuk mereka yang tahu bahawa corak ikonik Burberry (seperti yang terlihat pada selendang dan jaket berbulu di atas pentas peragaan) dipanggil signature check, bukannya plaid. Helaian-helaian ini dihasilkan daripada material yang tahan untuk mengharungi malam hebat dan cukup berkualiti untuk kekal relevan melangkaui kitaran sesebuah trend biasa.

 

Burberry Kot
Burberry Kot

 

Mungkin inilah magis sebenar jenama ini. Setiap musim, Burberry menjadikan gaya klasik terasa baharu dan memberi kita alasan untuk menukar kot menjadi alasan terbaik untuk berparti.

Dan sudah tentu, kehadiran Kate Moss sememangnya membantu.

Artikel asal diterjemah daripada ELLE USA

 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down