
Namanya kini menjadi buah mulut industri, Dikson Mah hadir membawa nafas segar dengan sentuhan rekaan yang berani, inovatif dan futuristik. Mula mencorakkan identiti pada awal tahun 2024, kini jenamanya melangkah lebih jauh apabila diberi peluang membuat debut di pentas berprestij Mercedes-Benz Fashion Week Kuala Lumpur. Satu pencapaian yang diimpikan oleh ramai pereka fesyen dalam perjalanan kreatif mereka. Penulis mendekati pereka muda ini untuk menyelami idea, visi dan persediaannya menjelang detik penting yang bakal menentukan perkembangan labelnya.
Apakah yang mendorong anda menjadi pereka fesyen?
Saya gemar melukis sejak kecil. Saya akan melukis di mana-mana, atas buku teks, tugasan rumah atau apa-apa ruang yang dijumpai. Sejak itu, saya tahu bahawa saya ditakdirkan untuk melakukan sesuatu yang kreatif. Fesyen menjadi pilihan kerana saya sukakan inovasi dan cabaran yang melangkaui batas. Sama ada daripada segi struktur, material atau perincian yang tidak dijangka.
Apakah perasaan menjadi sebahagian daripada acara ini?
Saya tidak menyangka akan mendapat peluang untuk mempersembahkan hasil rekaan di pentas sebesar ini dalam masa yang begitu singkat. Bagi saya, pengalaman ini bukan sekadar peluang untuk mempersembahkan koleksi, tetapi juga satu proses pertumbuhan dan pengiktirafan. Walaupun ada tekanan, perasaan teruja dan bermotivasi itu lebih menguasai diri. Saya amat menghargai platform ini dan berharap orang ramai dapat merasai mesej serta tenaga yang ingin disampaikan.

Inspirasi di sebalik koleksi debut ini?
‘NEXUS’ diinspirasikan oleh konsep perhubungan dan pertemuan. Ia merupakan satu eksplorasi terhadap ketegangan dan keharmonian antara tubuh, struktur dan pakaian. Saya juga menyuntik elemen seperti pencetakan 3D, konstruk bertulang dan komposisi hasil tangan, sambil menggabungkan tekstur serta material yang berbeza. Sama ada hubungan antara garis tubuh dan bentuk pakaian, atau kontras antara material keras dan lembut, setiap helai direka sebagai titik pertemuan yang menzahirkan kuasa, ketegangan dan sentuhan futuristik.
Bagaimana anda menterjemah idea itu kepada rekaan sebenar?
Saya memulakan dengan mentafsir konsep-konsep abstrak seperti dualiti, perhubungan dan binaan ke dalam bentuk, material serta siluet. Koleksi ini menampilkan 21 rekaan, setiap satunya menceritakan kisah yang berbeza namun tetap saling berkait melalui bahasa visual yang sama.
Bagaimana anda melihat teknologi membentuk masa depan fesyen?
Teknologi mendefinisikan semula kemungkinan dalam fesyen. Rekaan digital dan pemodelan 3D membolehkan untuk mencipta prototaip dengan lebih pantas, manakala material baharu pula membuka ruang kepada inovasi daripada segi bentuk dan fungsi. Ia bukan hanya tentang estetika, tetapi bagaimana kita mencipta, memakai dan mengalami fesyen dalam perspektif baru.
Anda tidak mengehadkan diri terhadap penggunaan fabrik biasa, kenapa?
Saya sentiasa tertarik kepada struktur dan bentuk, bagaimana sesuatu material mampu membentuk, menyokong, malah berbicara. Cetakan 3D dan bahan alternatif membolehkan saya melangkaui batas fabrik tradisional dan membentuk rekaan yang terasa seperti seni bina tetapi boleh dipakai, bukan hanya pakaian.
Bahagian paling sukar ketika bekerja dengan pencetakan 3D?
Untuk memastikan rekaan bercetak 3D kelihatan timeless. Saya tidak mahu sekadar kelihatan seperti eksperimen. Ia perlu tampak clean, elevated dan refined, namun tetap menonjol. Mencari keseimbangan antara inovasi dan sofistikasi merupakan cabaran terbesar bagi saya..
Adakah anda mementingkan tentang wearability, mengimbangi antara praktikaliti dan kreativiti?
Setiap kali mereka, saya akan bertanya kepada diri sendiri “Di manakah rekaan ini boleh dipakai?”. Jika ia sesuai untuk acara sebenar, maka ia mempunyai nilai. Saya sentiasa mencari keseimbangan antara kreativiti dan praktikaliti, memastikan setiap rekaan terasa ekspresif dan bermakna.
Pelajaran terbaik sepanjang proses penghasilan?
Belajar untuk bekerja dengan lebih rapat bersama pasukan. Seperti cara mendelegasikan tugasan, bekerjasama dan mempercayai prosesnya. Saya juga menyedari betapa pentingnya p
engurusan masa dan bagaimana untuk mengatur rentak sendiri agar kesemuanya selesai mengikut masa.
Cara anda kekal bermotivasi sepanjang proses penghasilan?
Inspirasi tidak datang setiap masa. Saya sering mencarinya dalam kehidupan seharian, daripada emosi, bahasa tubuh atau momen kecil yang biasa tetapi menyentuh jiwa. Saya kumpulkan perasaan-perasaan itu sehingga membentuk sesuatu. Saya tidak tergesa-gesa, sebaliknya akan revisit, revise dan refine sehinggalah merasakan rekaan itu benar-benar mempunyai makna. Kelambatan itu adalah sebahagian daripada proses dan juga komitmen.
Bagaimana anda mahu penonton rasa ketika melihat koleksi anda di MBFWKL?
Sudah tentu, saya berharap mereka meninggalkan pertunjukan sambil memikirkan “Saya mahu beli itu”. Jika ada yang pulang dengan rasa ingin tahu tentang jenama saya atau mahu membuat pesanan, itulah bentuk penghargaan yang paling tinggi bagi saya.
‘What’s next’ selepas debut di MBFWKL?
Selepas MBFWKL, Dikson Mah bakal memasuki fasa baharu – lebih tersusun dan lebih berani. Kami sedang memperhalusi visi tentang wearable art, meneroka peluang kolaborasi dan bersedia untuk mempersembahkan sesuatu yang lebih berani pada musim akan datang. Ini hanyalah permulaan.
Bagi anda, bagaimana industri fesyen Malaysia boleh berkembang atau diperbaiki sebagai hab fesyen?
Industri fesyen Malaysia mempunyai begitu banyak potensi dan saya percaya bahawa pertumbuhan bermula dengan keterbukaan dalam kreativiti, budaya dan cara pemikiran.