Langgan

Silvia Venturini Fendi: Antara  Warisan, Kreativiti Dan Bab Baharu FENDI

Siapakah bakal Pengarah Kreatif FENDI baharu?
2 minit untuk membaca
Published: September 30, 2025

FENDI mengumumkan Silvia Venturini Fendi akan memegang jawatan Presiden Kehormat selepas khidmat kreatifnya terhadap koleksi wanita sempena ulang tahun ke-100 jenama Itali itu.

Ada sesuatu yang begitu peribadi apabila berbicara tentang fesyen dan warisan. Di FENDI, ia bukan sekadar jenama, ia sebuah dinasti yang berakar daripada kekuatan wanita luar biasa. Kini, pada 1 Oktober, Silvia Venturini Fendi membuka lembaran baharu dalam kisah panjang Maison Roman ini apabila beliau secara rasmi dilantik sebagai Presiden Kehormat.

Silvia bukanlah nama asing. Beliau adalah generasi ketiga keluarga Fendi, menyambung legasi neneknya, Adele dan ibunya, Anna. Sejak tahun 1992, beliau berdiri di sisi mendiang Karl Lagerfeld, maestro yang telah mengubah FENDI menjadi kuasa besar global. Bersama Karl, Silvia belajar seni berkongsi, seni melindungi visi, dan seni berdiri dengan suara kreatifnya sendiri.

“Ia adalah perjalanan indah, bukan sahaja dari segi kreatif, tetapi juga dari sudut kemanusiaan. Dari Karl hingga Kim Jones, dan akhirnya bersama pasukan saya yang kini sudah seperti keluarga saya,” kata Silvia.

Sebagai pereka fesyen, Silvia dikenang kerana membentuk wajah moden aksesori dan koleksi lelaki FENDI, serta menyemarakkan semangat Maison dalam koleksi wanita. Khususnya semasa ulang tahun ke-100 FENDI tahun ini. Dari beg Baguetteikonik hingga rekaan-rekaan yang melampaui sempadan jantina, sentuhannya sentiasa ada dalam setiap helaian DNA jenama ini.

Presiden Kehormat Fendi Baharu

Sebagai Presiden Kehormat, Silvia kini menumpukan dirinya untuk menjaga dan menghidupkan kembali warisan FENDI. Termasuk dunia Fendi Casa, di mana fesyen bertemu dengan seni gaya hidup. Ia bukan noktah, tetapi permulaan baharu. Satu peranan yang membolehkan beliau mengangkat semula nilai klasik ke pentas moden dunia fesyen.

Silvia Venturini Fendi adalah bukti bahawa warisan bukan sekadar sejarah. Ia adalah kuasa hidup, sebuah kesinambungan antara masa lalu, masa kini, dan masa hadapan.

Siapakah pula yang akan menduduki kerusi Pengarah Kreatif FENDI selepas ini? 

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down