
Singapura dipilih sebagai destinasi akhir Cartier mempersembahkan sebuah legasi bagi koleksi Cartier’s Nature Sauvage High Jewelry.
Delegasi media Malaysia diterbangkan ke Singapura untuk menikmati pengalaman bagi mendasari ketulenan serta warisan sebuah jenama yang cukup sinonim dalam penghasilan barang kemas berkualiti. Meneruskan pameran adicipta yang pernah diadakan di Vienna dan Shanghai - Singapura dipilih sebagai destinasi keraian Cartier selama tiga dekad di negara ini.
Pameran yang diadakan di Former Command House ini dipersembahkan dengan enam pengalaman berbeza yang setiap satunya mempamerkan elemen yang adala dalam budaya Peranakan. Apa yang lebih menarik setiap satu ruang ini membawa pengunjung melayari penyatuan elemen alam, budaya dan keterampilan yang disatukan sebagai sebuah kelestarian dalam warisan.
Salah satu daripada aktiviti yang disediakan adalah woksyop ‘Art of Stringing’ yang dikemudi oleh Pengarah Transmisi, Sejarah dan Patrimoni Cartier iaitu Michel Aliaga turut diadakan bersama artisan tempatan. Bertujuan bagi meneroka cabang kreativiti dalam kepelbagaian cabang seni dan juga warisan - woksyop ini membawa satu eskapisme yang berkait rapat dengan kehidupan.
Ia bergerak seiring dengan estetika seni warisan sulaman Peranakan bersama keterampilan adicipta barang kemas Cartier. Saya bersama rakan media diberi peluang untuk menikmati sendiri pengalaman menyulam buat kali pertama. Biar agak kekok awalnya, dengan adanya bantuan artisan berpengalaman, proses ini menjadi sesuatu yang begitu menarik untuk bergerak sebagai satu proses kreativiti yang menyatu dalam naratif tersendiri.
Penyatuan keterampilan Cartier dengan warisan Peranakan turut dipersembahkan menerusi empat bilik eksklusif penuh privasi yang memberi pengalaman eksklusif buat pengunjung. Setiap satunya ditata ilham dekorasinya dengan mengambil elemen Peranakan seperti batik yang disatukan dengan motif fauna yang banyak menjadi inspirasi utama barang kemas Cartier.

Sebuah Kelestarian Jenama
Perjalanan menikmati satu pengalaman jenama membawa saya meneroka jauh bagi mengenali sejarah jenama ini dalam enam pengalaman berbeza. Melangkah masuk ke ruang pertama ‘Thrill with the Wind’ yang cukup poetic dengan inspirasi pinggir laut dengan rona tanah yang melatari keseluruhan ruang. Di sini menjadi pengenalan mengapa Singapura dipilih sebagai destinasi terakhir Cartier Nature Sauvage mengemudi pameran serba mewah ini.
Melangkah masuk ke ruang ‘Treasures of Land’ mata tertumpu pada deretan barang kemas yang disusun kemas dalam bekas kaca. Setiap satunya datang dengan cerita tersendiri dan antara yang paling mencuri perhatian tentu sekali set barang kemas yang dipakai Zoe Saldana ketika kemenangannya awal tahun ini di acara Oscar. Di ruang ini tercipta satu keharmonian menerusi siluet geometri dan garis yang membentuk struktur alam yang menyatu dalam cerita penuh sejarah.
‘Shape of Water’ membawa kami dengan satu pengenalan akan dedikasi ilham air dalam penghasilan permata-permata Cartier. Sebuah interpretasi seni yang ditafsir sepenuhnya dengan ketelitian bagi memberi refleksi kemewahan bagi setiap barang kemas Cartier.

Susur Waktu
Pameran ini turut memberi ruang untuk pengunjung menikmati susur waktu dalam penghasilan jam tangan Cartier. Koleksi yang awal dihasilkan pada era 30-an merentas ke era 90-an sehingga adikarya terkini menjadi tumpuan.
Cartier Tradition meraikan penciptaan Maison yang cukup lestari dengan rekaan merentas waktu - pilihan koleksi vintaj yang dipersembahkan di sini turut memperlihatkan dokumentasi akan keaslian serta kehalusan seni pertukangan. Cukup kaya dengan cerita warisan yang tak ternilai harganya - setiap satu item ini memiliki keunikan, ketersendirian dalam penghasilan.
Kehalusan seni penciptaan jam tangan Cartier dipersembahkan dengan cukup mewah di ruang yang diinspirasikan daripada ilham seni bina moden. Pencahayaan melitupi ruang ini memberi justifikasi bermakna untuk setiap jam tangan yang dipamerkan. Di sini satu transformasi dapat dilihat dengan jelas terhadap setiap satu jam tangan yang dihasilkan. Exquisite beauty.
