Apabila disebut Singapura, apa yang terlintas di fikiran anda? Adakah ia konsert bertaraf dunia, arca Merlion yang megah, Singapore Flyer atau Grand Prix Formula One yang penuh debaran?
Namun, mengatasi semuanya, baik secara literal mahupun simbolik, adalah hotel mewah Marina Bay Sands. Keajaiban seni bina ini – dengan tiga menara yang dihubungkan oleh SkyPark Observation Deck – telah menjadi lambang kemewahan dan inovasi sejak pembukaannya pada tahun 2010.
Sejak pembinaannya, Marina Bay Sands telah bertekad untuk mentransformasi landskap pelancongan Singapura. Kini, lebih sedekad kemudian, ia terus mengangkat standard kemewahan melalui Paiza Collection – rangkaian suite dan bilik yang luar biasa, mendefinisikan semula erti hospitaliti mewah. Dalam kunjungan saya ke Singapura baru-baru ini, saya berpeluang untuk menikmati salah satu suite ini. Seperti yang dijangka, ia adalah pengalaman yang tiada tandingan. Paiza Collection menawarkan kemewahan yang sukar diungkapkan dengan kata-kata. You’d have to experience this for yourself!
Terdiri daripada suite-suite mewah, koleksi ini disokong oleh pasukan butler terbesar di Singapura, memastikan setiap detik dipenuhi dengan layanan peribadi efisien. Bermula dari lobi peribadi dan lif eksklusif, tetamu disambut mesra oleh butler peribadi mereka (terima kasih kepada butler saya, Aini yang sangat ramah!) sebelum diiringi ke suite masing-masing. Setiap suite diibaratkan sebuah mahligai berkonsepkan kediaman, direka untuk impress tetamu, tidak kira betapa tinggi cita rasa mereka.
Bilik saya, Paiza Bay Suite yang terletak di tingkat 44, adalah simbol reka bentuk canggih dan kemewahan. Sebaik melangkah masuk, saya terus terpukau dengan ruang yang luas, reka bentuk dalaman yang berkelas serta perincian yang sempurna. Ruang tamu yang elegan menawarkan pemandangan menakjubkan kota Singapura dan kehijauan Gardens by the Bay. Sistem pintar yang tersedia di bilik, lengkap dengan iPad, memudahkan kawalan pencahayaan dan langsir hanya dengan satu sentuhan.
Setiap sudut suite ini mencerminkan keunggulan, dengan elemen-elemen yang dihasilkan bersama artisan tersohor. Hiasan dinding bersulam dari Fromental, UK, menambah sentuhan keanggunan, sementara barangan kulit buatan Bynd Artisan menyerlahkan seni pertukangan tempatan.
Bersambung dengan ruang tamu adalah bilik tidur, di mana terletaknya katil double queen Savoir Bed yang menjadi tumpuan. Katil ini, dengan tilam buatan tangan menggunakan rambut kuda, bulu yak Mongolia dan kashmir tulen, dihiasi linen Frette 600 benang, bantal Ploh, serta selimut putih gebu – resepi sempurna untuk malam yang lena.
Bilik mandi pula adalah sebuah oasis kemewahan, dihiasi marmar indah dan dilengkapi tab mandi dengan jet air. TV cermin tersembunyi menambah sentuhan moden yang praktikal. Suite ini turut mempunyai almari pakaian walk-in besar dengan meja solek khas, sempurna untuk bersiap sedia ke acara malam. Perincian kecil seperti kelengkapan mandian Acqua Di Parma dan pengering rambut Dyson menambahkan kepada pengalaman mewah ini.
Walaupun kunjungan saya singkat, Paiza Bay Suite memberikan pengalaman yang cukup magis. Bagi mereka yang mengimpikan penginapan yang tiada tandingan di Singapura, Paiza Collection di Marina Bay Sands menawarkan dunia penuh keanggunan dan keselesaan.
Tempah penginapan anda di sini sekarang.