Sneakers kini bukan lagi sekadar kasut sukan biasa, sebaliknya ia telah berkembang menjadi simbol fesyen moden yang menggabungkan praktikaliti dan gaya. Tidak kira apa jua fesyen atau aktiviti, memiliki sepasang kasut yang tepat adalah kunci dalam memastikan anda kekal selesa dan bergaya sepanjang hari, tanpa sebarang kompromi.
Musim percutian sudah tiba dan pastinya keinginan untuk membeli sepasang kasut baharu (atau mungkin dua) semakin membara bagi melengkapkan gambar OOTD percutian yang sempurna. Sudah tentu sneakers menjadi pilihan utama dalam senarai barang yang wajib dibawa ketika mengemas bagasi. Kita tidak akan pakai kasut tumit tinggi untuk berjalan menerokai tempat baru seharian, benar? Berikut adalah kasut pilihan ELLE untuk hujung tahun ini dan sudah tentu, selamat membeli-belah!
The It Girl Sneaker: Puma Speedcat OG
Kasut yang menjadi kegilaan selebriti dan pempengaruh fesyen di media sosial tahun ini merupakan Puma Speedcat OG. Pertama kali diperkenalkan pada tahun 1999, kasut ini diinspirasikan oleh kelajuan litar perlumbaan. Reka bentuknya menampilkan tapak rendah dengan siluet yang memeluk kaki dengan sempurna, memberi gaya clean seakan kasut ballet flat. Kemaskini terbaru memperkenalkan motif kucing Puma dengan motif garisan di atas permukaan suede lembut, menjadikannya lebih sleek dan moden. Jelas, Speedcat OG adalah pilihan utama bagi mereka yang mencari gaya sporty-chic yang segar dan menonjol.
Iconic streetwear staple: Adidas Gazelle
Adidas Gazelle terus memikat hati dengan reka bentuk ‘T-toe’ klasik, serupa dengan adik-beradiknya Samba dan Spezial. Dikenali dengan keselesaan yang mampu memberi sokongan sempurna dalam setiap langkah, Gazelle hadir dengan siluet yang lebar dan tapak getah tebal. Reka bentuk ringkas menjadikannya sinonim dengan gaya urban dan boleh dipadankan dengan hampir apa sahaja, memberikan gaya yang tidak terhad. Dari gaya kasual santai hingga penampilan semi-formal, Gazelle merupakan simbol retro pemium dalam dunia streetwear.
Comfy running: New Balance Fresh Foam X 1080 v14
Bagi mereka yang aktif dan tidak pernah meninggalkan sesi larian pagi walaupun ketika bercuti, New Balance Fresh Foam X 1080 v14 merupakan pilihan yang tepat. Dilengkapi dengan teknologi cushioning yang lembut, kasut ini menyokong transisi pendaratan lancar dan memberikan kestabilan sempurna. Walaupun mempunyai lapisan tapak yang lebih tebal berbanding kasut biasa, ia tetap ringan dan fleksibel. Pasti anda boleh berjalan atau berlari sejauh 10 km tanpa rasa berat. Reka bentuknya yang mengutamakan keselesaan dan prestasi meletakkan kasut ini sebagai teman sempurna untuk mengharungi hari-hari aktif di destinasi percutian anda.
Chunky sneaker: Skechers UNO Chaos
Skechers telah lama sinonim dengan keselesaan dan kasut UNO Chaos ini tidak terkecuali. Kasut chunky ini mempamerkan siluet besar dan berotot atau boleh digelar sebagai ‘dad shoes’ yang kini masih trendy. Walaupun reka bentuknya bulky, kasut dengan tapak dua inci ini sebenarnya lebih ringan dari yang anda sangka. Ia merupakan pilihan ideal untuk digayakan bersama jaket oversized dan mom jeans untuk penampilan baggy street style. Skechers UNO Chaos bukan sahaja memberikan sokongan dan keselesaan sepanjang hari, tetapi juga menambah pernyataan bold dalam gaya anda.