Langgan

UR-MU Di Toffee, Jalan Raja Chulan : Gedung Urban Tersimpan Segala Khazanah Moden Buat Pencinta-Pencinta Seni Metropolitan

Meniti perjalanan menelusuri UR-MU @Toffee, menerokai koleksi peribadi karya-karya seni di UR-MU @ Toffee
3 minit untuk membaca
Published: September 11, 2024
ur-mu toffee

Bayangkan. Setelah puas berjuang meredah keributan metropolitan, sesudah sepagi yang gegak-gempita bunyi trafik… dan hari itu dinoktahi dengan melewati ruang-ruang pameran yang terpenuhi karya-karya seni moden di UR-MU. Menyamankan mata, menyentosakan jiwa dan menambah ilmu. 

Mendalami karya ‘The Lady Smoke Haze’ yang dihasilkan oleh Umibaizurah Mahir di aras tiga, kemudiannya bergerak ke aras dua kerana mahu menerbitkan semangat patriotik menerusi karya ‘Tanah Tumpahnya Darah Kita 2’ oleh Red Hong Yi.

Semua itu mudah dinikmati, seandainya berpeluang menjejakkan kaki ke UR-MU @ Toffee di Jalan Raja Chulan – muzium atau gedung khazanah yang menyimpan karya-karya seni moden kontemporari. Muzium moden UR-MU ini is one-of-a-kind, terletak dalam sebuah bangunan lama berkonsepkan art deco, yang dibaik pulih serta diperbaharui dan kini diberi nama The Toffee. 

ur-mu toffee

Tertanya-tanya, mana muncul perkataan ‘UR-MU’ itu? Umpama akronim, ia adalah pertautan daripada dua perkataan yakni ‘Urban Museum’, maka wujudnya ‘UR-MU’. 

Melanjurkan sedikit tentang UR-MU, terkandung dua pameran seni berlainan cabang daripada himpunan peribadi yang dirangka oleh dua orang pengumpul seni asal Malaysia. Membuatkan kita yang datang melawat, menungkai tapak untuk menghayati hasilan-hasilan seni yang menjernihkan pemahaman kita tentang aspirasi serta mood kota raya Kuala Lumpur, rantau dan negara. Dua aras utama menempatkan pameran seni kontemporari yang merangsang fikiran pengunjung-pengunjung, sekali gus mencetus perbualan. 

Pameran di Aras 6

Hasilan-hasilan seni kiasan dipamerkan di sini yakni ‘TUBUH : Selected Works from the Pakharuddin Sulaiman Collection.’ 

ur-mu toffee
'Super Girl (Made In Malaysia), 2008' hasil Wong Hoy Cheong

Pengumpul seni atau pencinta seni, Pakharuddin Sulaiman mula menghimpun karya-karya seni kontemporari ini dari tahun 1994 dan berkongsi minat yang sama dengan arwah isterinya, Fatimah Sulaiman. Sebanyak 100 hasilan seni oleh 15 artis segenap Malaysia dipertunjukkan di pameran aras enam ini – mempamerkan karya-karya seni dari tahun 1990 sehinggalah awal tahun 2000-an. Pameran aras enam menghebahkan peristiwa-peristiwa bersejarah yang cukup signifikan, termasuklah hasilan seni bertemakan gerakan Reformasi.

Perspektif seni di pameran aras enam ‘digaul’ dalam gagasan seni kiasan yang bermain dengan citra tubuh manusia untuk memanifestasikan kritik-kritik sosial, keagamaan, politik dan budaya. Ia membuka jendela minda kita untuk faham minat Pakharuddin kepada tema sosio-politik, identiti budaya dan hal ehwal global, yang digarap dalam jalinan cerita kelakar dan berupa satira. 

ur-mu toffee
'The Line, 2001' hasil Anurendra Jegadeva

Sarah Abu Bakar, selaku kurator bersama pameran ini, mengajak pengunjung-pengunjung untuk berkelana ke sembilan ruang bersekat dinding dan di setiap ruang ini mengandungi jalinan cerita unik fasal Malaysia serta sejarahnya. 

Pameran di Aras 5

Pengasas UR-MU merangka pameran seninya di aras lima – memperlihatkan seni-seni dan budaya-budaya berasaskan pengalaman, bermula dari Lounge Room bertemakan art deco tahun 1950-an sehinggalah pameran aneh Creatures. 

'Ace Cards, Limited Edition (Clover), series of 4, 2023' hasil Sugar Willim

Tema kontras seperti estetika minimal dalam rona hitam putih dan rona-rona bertenaga adalah sebahagian daripada pameran ini. Future Art memandang sudut terkedepan di kalangan pengumpul-pengumpul seni  gen Z dan artis-artis yang gemar tema inovasi, komik, grafiti dan imejan media sosial. The Pantry menyatukan seni dengan kehidupan harian manusia, manakala Power and War adalah persemukaan yang mempertemukan konflik manusia dengan kebingkasan. Silky Toffee pula meraikan aktiviti-aktiviti indah dan sesuatu yang unik. 

Bahagian luaran serta dalamannya cukup menakjubkan. Garapan seni bina pada setiap sudut tidak direka semberono, sebaliknya dilakukan dengan teliti, menjelmakan keterujaan mendalam dan bersemi menjadi eksplorasi urang tersebut. Visi seni bina sang pengasas muzium jadi kenyataan, mengintegrasikan hasilan-hasilan seni dengan konsep ruang pameran yang berteraskan Art Deco dan konsep era modernist Malaysia.

'Tanah Tumpahya Darah Kita 2, 2021' hasil Red Hong Yi
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down