Langgan

Mengenang A. Samad Said Dalam Lima Karya Agung

Belasungkawa Sasterawan Negara, A. Samad Said
2 minit untuk membaca
Published: November 25, 2026
Datuk Seri A. Samad Said (Gambar: Merdeka Awards)

Dalam hujan semalam rakyat Malaysia menerima khabar duka pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said yang mesra dipanggil Pak Samad. Perjalanan panjangnya dalam memberi sumbangn terhadap pertumbuhan dunia sastera dan budaya tempatan menjadi beliau sebagai budayawan yang cukup dihormati.

Lahir pada tahun 1932 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka - Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kota Raja, Singapura sebelum melanjutkan pendidikan di Victoria Institution yang juga berpangkalan di kota singa.

Kerjaya awalnya dalam bidang penulisan bermula ketika menjadi pengarang di beberapa media utama seperti Utusan Melayu, Berita Harian dan New Straits Time. Pengalaman yang dikutip sebagai penulisan kemudiannya menjadikan beliau Pengarang di Berita Harian serta Ketua Perkembangan Sastera di Kumpulan Akhbar The New Straits Times.

Sepanjang hayatnya, A. Samad Said pernah diberi banyak penghargaan antaranya Pejuang Sastera (1976), Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards: 1979) dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara pada tahun 1985. Beliau juga pernah menerima Anugerah ASEAN (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darussalam (1993) dan pada tahun 2024 beliau diberi penganugerahan Anugerah Merdeka bagi kategori Pendidikan dan Komuniti.

Banyak karya-karya beliau yang dihasilkan menjadi rujukan penggemar dunia sastera tempatan berganti generasi. Ada yang sudah diadaptasi dalam format filem dan juga teater. Berikut lima karya beliau yang paling ikonik dan dikenali.

SALINA (1961)

Novel kedua karya Sasterawan Negara A. Samad Said ini mengambil latar Singapura pada akhir pendudukan Jepun. Mengisahkan kehidupan sukar penduduk kampung yang hidup dalam ketakutan serangan udara musuh sambil mencari makanan. Sungai yang menjadi tempat utama penduduk berkumpul digambarkan sebagai saksi bisu penderitaan manusia akibat peperangan. 

LANTAI T. PINKIE (1996)

Naskhah teks pentas ini merakam lembar kelaziman, semangat dan nuansa kehidupan era 50-an ketika Malaya masih dikenali sebagai Semenanjung Tanah Melayu. Fragmen kehidupan dirakam menjadi sebahagian sumbangan antroplogi, sosiologi, dan sejarah tempat kita dapat menjengah dan belajar tentang sebahagian hati nurani bangsa.

LANGIT PETANG (1980)

Naskhah ini pernah difilemkan menampilkan lakonan Azean Irdawati dan Dharma Harun yang turut memenangi beberapa kategori utama di Festival Filem Malaysia ke-3. Membawa cetera pencarian makna kehidupan, pengorbanan dan hakikat kewujudan manusia menerusi tiga watak utama dengan berbeza latar.

SUNGAI MENGALIR LESU (1997)

Mengambil latar Singapura ketika pendudukan Jepun, novel ini merakam kehidupan masyarakat di sebuah perkampungan Melayu yang bergelut dengan kelangsungan hidup dalam dunia yang sudah kehilangan arah. Novel ini menjadi antara karya sastera yang sempat merakamkan susah apayah masyarakat di sebatang sungai yang menjadi satu perlambangan kehidupan.

HUJAN PAGI (1987)

Kisah daripada naratif seorang wartawan generasi sebelum perang yang tidak lagi memahami dan menyesuaikan dirinya dengan arus rubah kehidupan. Apa yang berlaku di sekelilingnya diceritakan dengan begitu menyentuh hati. Persoalan pegangan hidup menjadi paksi dan buah fikir novel ini.

ADVERTISEMENT
Ikuti kami untuk mendapatkan berita terbaru, trend terhangat dan dopest drops.
LANGGAN SURAT BERITA ELLE MALAYSIA
Subscription Form
magnifiercrosschevron-down