Dalam dunia fesyen, gaya peribadi bukan sahaja tentang apa yang disarungkan pada tubuh tetapi bagaimana seseorang menterjemahkan identiti, perspektif dan keberanian menerusi setiap penampilan. Membawa falsafah tersebut ke pentas pertandingan, siri terbaru 'Style Wars' menghimpunkan 72 peserta daripada pelbagai latar belakang. Kesemuanya bermatlamatkan merebut gelaran individu paling bergaya. Menariknya, barisan peserta bukan hanya terdiri daripada individu yang berpengalaman dalam dunia fesyen. Sebaliknya, pertandingan ini turut membuka ruang kepada pemilik jenama, penata gaya, model, pelajar universiti, pencipta kandungan, pereka fesyen, pengarah kreatif, pengurus kecantikan serta figura industri K-pop. Kepelbagaian latar belakang ini menjadikan setiap peserta hadir dengan interpretasi gaya yang tersendiri.

Pesona Lee Hyeri, bekas penyanyi kumpulan Girl's Day selaku pengacara pertandingan ini. 'Style Wars' menawarkan hadiah utama sebanyak 100 juta won kepada pemenang. Namun, perjalanan menuju takhta fesyen bukanlah sesuatu yang mudah apabila setiap penampilan perlu melepasi penilaian barisan juri berpengalaman. Antara nama yang menggalas tanggungjawab tersebut ialah Hong Jin-kyung. Seorang model dan personaliti televisyen. Jung Wook-jun, pereka fesyen Korea Selatan yang mempunyai pengaruh di persada antarabangsa. Bae Jung-nam, model veteren dan figura fesyen yang cukup dikenali dengan penampilannya. Choi Sil-jang seorang jurugaya terunggul Korea Selatan yang turut membawa perspektif tersendiri dalam penilaian gaya.
Challenge 0: 12 Terselamat
Sebelum cabaran sebenar bermula, Style Wars terlebih dahulu menguji naluri fesyen para pesertanya menerusi 'Challenge 0'. Dalam penilaian awal ini, 72 peserta perlu mempertaruhkan penampilan pertama dan identiti gaya masing-masing untuk memikat hati barisan juri. Namun, hanya 12 individu berjaya meraih perhatian dan memperoleh kelebihan untuk melangkah ke tugasan seterusnya. Antara yang berjaya mencuri perhatian termasuk bekas idola K-pop, model veteran berusia 71 tahun serta peserta berimej gothic yang tampil dengan estetika tersendiri. Kehadiran mereka membuktikan bahawa fesyen tidak mengenal batas usia, latar belakang mahupun definisi kecantikan konvensional. Setiap individu hadir dengan bahasa gaya yang berbeza, tetapi persoalannya, sejauh mana identiti tersebut mampu bertahan apabila kreativiti mula diuji?

Melepasi 'Challenge 0' hanyalah permulaan. Dengan persaingan yang semakin sengit, peserta kini perlu membuktikan bahawa gaya mereka bukan sekadar memukau pada pandangan pertama, tetapi cukup berani untuk mencabar norma dan melangkaui jangkaan juri.
'Challenge 1': Vintaj, Kreativiti dan Eksperimen
Antara cabaran awal yang mencuri perhatian ialah tugasan berkonsepkan fesyen vintaj. Lambakan pakaian vintaj seberat 9,071 kilogram disediakan daripada kilang perlu dipilih, diubah suai dan menggabungkan helaian pakaian mengikut interpretasi masing-masing. Malah, mereka turut perlu menentukan sendiri gaya solekan yang bersesuaian bagi melengkapkan penampilan. Namun, cabaran tersebut bukan sekadar menguji kebolehan peserta menyusun pakaian. Mereka perlu menghasilkan penampilan yang mempunyai karakter tersendiri dalam tempoh masa satu jam, sekali gus menambahkan tekanan kepada peserta untuk membuat keputusan dengan pantas.
Sistem penyingkiran pula menjadikan setiap penilaian lebih mendebarkan. Peserta perlu mendapatkan sekurang-kurangnya tiga undian juri untuk meneruskan perjalanan. Dua undian meletakkan mereka dalam senarai menunggu, manakala satu undian sahaja bermakna perjalanan mereka berakhir. Menerusi cabaran ini, seramai 36 peserta terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada pertandingan. Angka tersebut membuktikan bahawa memiliki pakaian berjenama atau mengikuti trend semasa semata-mata belum cukup untuk membuktikan kelebihan seseorang dalam dunia fesyen.
Apabila Gaya Peribadi Menjadi Senjata
Apa yang menjadikan 'Style Wars' menarik ialah bagaimana pertandingan ini mengangkat fesyen sebagai satu bentuk ekspresi diri, bukannya perlumbaan untuk menghasilkan penampilan paling mahal atau mengikut trend terkini. Setiap peserta mempunyai peluang untuk memperlihatkan perspektif masing-masing tetapi mereka juga perlu memahami bahawa kreativiti hadir bersama keberanian mengambil risiko. Ada waktunya, seseorang perlu meninggalkan keselesaan gaya peribadi untuk meneroka sesuatu yang lebih asing dan tidak dijangka. 'Style Wars' bukan hanya tentang siapa yang paling bergaya, tetapi siapa yang benar-benar mampu membuktikan bahawa gaya mempunyai identiti, pemikiran dan cerita tersendiri.

Sudahkah anda bersedia untuk menyaksikan pertarungan gaya yang bakal mencetuskan perbualan dalam dunia fesyen Korea Selatan? 'Style Wars' mula ditayangkan pada 11 November 2026 menerusi Disney+ dengan keseluruhan 10 episod. Dua episod baharu akan dilancarkan setiap hari Rabu, menjadikan pertandingan ini sebuah tontonan mingguan sehingga episod kemuncaknya pada 9 Disember 2026. Dengan hadiah utama bernilai 100 juta won, 72 peserta dan pelbagai cabaran yang menguji kreativiti, 'Style Wars' menjanjikan perspektif baharu tentang bagaimana fesyen boleh menjadi medan ekspresi, identiti dan persaingan.

